SuMMeR 2007 (BaNGKoK, THaiLaND) (TRaVeLoGue LeNGKaP)

>> Saturday, December 29, 2007



Trip ke bumi Bangkok, Thailand ini disertai oleh 2 orang sahaja iaitu aku & abah aku. Pada waktu ini, aku sedang menikmati cuti Musim Panas selama lebih kurang 2 bulan di Malaysia. Untuk mengisi masa yang terluang, aku pun mengambil keputusan untuk berkunjung ke Bangkok. Aku sebenarnya telah menempah tiket penerbangan Air Asia sejak bulan Januari lagi untuk aku & abah aku. Kami berdua hanya akan menjejakkan kaki di kota Bangkok sahaja. Kami tidak lama di Bangkok. Hanya 3 hari sahaja iaitu dari 24 hingga 26 Julai 2007. Sebagai panduan sewaktu berada di Bangkok, kami menggunakan buku ‘Thailand’ terbitan DK Eyewitness Travel Guides.

Hari 1: 24 JULAI 2007

Penerbangan Air Asia kami dari Pulau Pinang ke Bangkok akan berlepas pada pukul 10.30 pagi. Kami berdua bertolak awal dari rumah kerana takutkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang. Kami bertolak dari rumah pada pukul 7.00 pagi & selamat tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada pukul 8.15 pagi. Mujurlah kesesakan lalu lintas di jambatan tersebut tidak terlalu kronik. Setelah mendaftar masuk, kami pun menanti panggilan masuk ke dalam pesawat. Setelah beberapa minit menanti, akhirnya semua penumpang dijemput masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama kemudian, pesawat tersebut pun berlepas meninggalkan Pulau Pinang menuju ke Bangkok. Penerbangan kami mengambil masa selama 1¾ jam. Lebih kurang pada pukul 11.15 pagi waktu tempatan Thailand, kami pun tiba di Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi.

Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi ini adalah lapangan terbang utama Bangkok yang baru sahaja dirasmikan pada bulan September 2006. Ia menggantikan lapangan terbang lama Bangkok iaitu Lapangan Terbang Bangkok Don Mueang. Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi ini adalah lapangan terbang yang mempunyai bangunan terminal yang ke-2 terbesar di dunia selepas bangunan terminal di Lapangan Terbang Hong Kong, China. Lapangan terbang ini sememangnya amat besar, moden & cantik. Menara kawalannya adalah yang tertinggi di dunia. Lapangan terbang ini kini adalah antara lapangan terbang yang tersibuk di benua Asia. Apa yang benar-benar mengagumkan aku ialah terdapatnya sebuah surau yang disediakan untuk orang-orang Islam bagi menunaikan solat. Bukan senang hendak menjumpai surau di dalam lapangan terbang negara-negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam.


Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand



Di dalam Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand



Di dalam Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand

Selepas melepasi pemeriksaan imigresen, kami terus mencari jalan keluar. Kami menaiki teksi kepunyaan syarikat teksi lapangan terbang ini untuk ke pusat bandaraya Bangkok yang terletak lebih kurang 25 kilometer dari sini. Tambangnya agak mahal. Lebih kurang RM80.00. Kami tiada pilihan lain. Jikalau kami menaiki bas, kami tidak tahu ke mana hendak berhenti kerana ini adalah pertama kali kami menjejakkan kaki di Bangkok. Dengan menaiki teksi, kami dijamin akan tiba di destinasi kami dengan cepat & selamat. Destinasi kami ialah hostel yang telah pun aku tempah melalui internet beberapa bulan yang lepas. Ianya terletak betul-betul di pusat bandaraya Bangkok. Perjalanan kami dengan menaiki teksi tersebut memakan masa hampir 45 minit lamanya. Setibanya kami di hostel yang dimaksudkan, kami pun terus mendaftar masuk. Selepas berehat-rehat & menunaikan solat jamak Zohor & Asar, aku & abah aku keluar untuk memulakan penjelajahan kota Bangkok, Thailand.

Thailand adalah salah sebuah negara jiran Malaysia. Selain bersempadankan Malaysia di bahagian Selatan, negara ini juga turut bersempadankan Laos & Kemboja di bahagian Timur & Myanmar di bahagian Barat. Negara ini mempunyai persisiran pantai yang menghadap Laut Andaman & Teluk Siam. Thailand merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Raja Berperlembagaan yang diketuai oleh Raja. Ketua pentadbirannya pula ialah Perdana Menteri. Perdana Menterinya pada masa kini merupakan seorang Jeneral askar yang dilantik memegang jawatan Perdana Menteri selepas Tentera Diraja Thailand berjaya mengambil alih pentadbiran negara ini selepas menggulingkan bekas Perdana Menterinya iaitu Thaksin Shinawatra.


Peta kedudukan Thailand di rantau Asia Tenggara



Peta Thailand

Negara Thailand menggunakan mata wang Baht. RM1.00 bersamaan dengan 9.00 Baht. Waktu tempatan Thailand adalah 7 jam lebih awal berbanding waktu GMT, iaitu 1 jam lebih lewat berbanding waktu tempatan Malaysia. Penduduk negara ini bertutur dalam Bahasa Thai dalam kehidupan seharian mereka. Bahasa-bahasa lain yang dipertuturkan di negara ini adalah Bahasa Cina, Bahasa Mon, Bahasa Khmer & Bahasa Melayu di bahagian selatan negara ini. Penggunaan Bahasa Inggeris hanya meluas di bandar-bandar besar seperti di Bangkok. Agama Buddha aliran Theravada adalah agama yang paling ramai penganut di Thailand, diikuti dengan agama Islam yang dianuti oleh kaum Melayu di bahagian selatan Thailand. Selain itu, terdapat juga penduduk-penduduk yang beragama Kristian Roman Katholik, Hindu & Sikh. Namun, jumlah mereka tidak begitu ramai. Sukan & seni mempertahankan diri yang paling terkenal di Thailand pula sudah tentunya Tomoi atau nama tempatannya Muay Thai.


Tomoi

Utara negara Thailand diliputi oleh kawasan pergunungan. Negara ini secara umumnya beriklimkan Monsun Tropika. Thailand adalah sebuah negara industri yang baru. Eksport utamanya adalah beras, tekstil, kasut, barangan perikanan, getah, barangan kemas, automobil, komputer & barangan elektrik. Ia adalah pengeksport beras yang terbesar di dunia memandangkan penanaman padi adalah industri pertanian yang paling utama di negara ini.

Nama asal Thailand adalah Siam sehinggalah ianya ditukar kepada Thailand pada tahun 1939. Kemudiannya, nama Siam kembali digunakan antara tahun 1945 hingga tahun 1949. Disebabkan kedudukan geografinya yang terletak di antara 2 tamadun yang paling berpengaruh di benua Asia, iaitu China & India, kebudayaan Thailand sama seperti negara-negara lain di rantau Asia Tenggara telah banyak dipengaruhi oleh kedua-dua tamadun tersebut sejak zaman-berzaman. Penduduk Thai dikatakan berasal dari kawasan Yunnan di selatan China. Mereka berhijrah beramai-ramai ke kawasan tanah besar Asia Tenggara pada kurun ke-10. Pada waktu tersebut, kawasan tanah besar Asia Tenggara sedang diperintah oleh Kerajaan-kerajaan Mon, Khmer & Melayu.

Pada mulanya, kawasan Thailand ini terdiri daripada beberapa buah negeri kecil seperti Suvarnabhumi, Funan, Dvaravati, Lavo, Singhanavati, Pan Pan, Raktamaritika & Langkasuka. Kerajaan pertama yang diperintah oleh orang Thai ialah kerajaan Sukhothai yang ditubuhkan pada tahun 1238 setelah mendapat kemerdekaan daripada kerajaan Khmer. Raja pertamanya ialah Pho Khun Si Indrathit. Kerajaan Sukhothai ini menikmati zaman kegemilangannya sewaktu berada di bawah pemerintahan Raja yang bernama Ramkhamhaeng. Ramkhamhaeng inilah yang bertanggungjawab mengasaskan tulisan Thai yang masih digunakan hingga sekarang.

Selepas kematian Ramkhamhaeng pada tahun 1365, kerajaan Sukhothai semakin merosot & akhirnya pada tahun 1376, ianya ditakluk oleh kerajaan Ayutthaya yang semakin berkuasa. Kerajaan Ayutthaya ini mulai wujud pada tahun 1350 & diasaskan oleh Rajanya yang pertama iaitu Ramathibodi I. Ramathibodi I ini telah memberikan 2 sumbangan terbesar dalam sejarah Thailand. Sumbangan pertamanya ialah menjadikan agama Buddha aliran Theravada sebagai agama rasmi kerajaannya untuk membezakan kerajaannya dengan kerajaan jiran iaitu kerajaan Angkor yang beragama Hindu. Sumbangan keduanya pula ialah pengumpulan kod undang-undang Dharmaśāstra yang berpengaruh Hindu yang ditulis dalam Bahasa Sanskrit untuk dijadikan sumber perundangan kerajaannya yang terus digunakan di Thailand sehingga kurun ke-19.


Peta kerajaan Ayutthaya

400 tahun selepas penubuhannya, kerajaan Ayutthaya ini telah berjaya meluaskan tanah jajahannya sehingga membentuk kerajaan Siam yang saiznya lebih kurang sama besar dengan saiz negara Thailand pada masa kini. Kerajaan ini mempunyai hubungan yang rapat dengan India, China, Vietnam, Jepun & Parsi. Kemudian, mulai kurun ke-16, kerajaan ini meluaskan hubungannya dengan negara-negara Barat pula seperti Portugis, Sepanyol, Belanda & Perancis. Raja kerajaan Ayutthaya yang bernama Narai yang memerintah pada pertengahan kurun ke-17 mempunyai hubungan yang rapat dengan Raja Perancis pada waktu itu iaitu Louis XIV. Pada tahun 1750an & 1760an, kerajaan Burma yang merupakan musuh utama kerajaan Ayutthaya telah membuat beberapa serangan ke atas kerajaan Ayutthaya. Akhirnya, pada tahun 1767, kerajaan Burma telah berjaya menawan pusat pemerintahan kerajaan Ayutthaya & keturunan diraja Ayutthaya turut dihapuskan. Dengan itu, tamatlah riwayat kerajaan Ayutthaya yang telah wujud selama lebih 400 tahun lamanya.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1769, seorang jeneral yang bernama Taksin telah berjaya menyatukan kembali kerajaan Siam yang berpusat di Thonburi & kemudiannya melantik dirinya sebagai Raja. Namun, dia akhirnya dituduh gila, dipenjarakan & dikenakan hukuman bunuh pada tahun 1782. Buddha Yodfa Chulaloke kemudiannya menjadi pengganti kepada Taksin & menggelarkan dirinya sebagai Rama I. Rama I adalah Raja pertama dalam dinasti Chakri yang memerintah Thailand. Dinasti Chakri masih lagi memerintah Thailand sehingga ke hari ini. Pada tahun yang sama perlantikannya sebagai Raja Siam, Rama I telah mengasaskan bandar Bangkok & menjadikannya sebagai ibu kota kerajaannya yang baru, menggantikan Thonburi. Pada tahun 1790an, Burma telah berjaya dikalahkan & dihalau sepenuhnya dari bumi Siam.

Semenjak awal kurun ke-19 lagi, kerajaan Siam telah menjalinkan hubungan dengan negara-negara Barat yang menjajah di rantau Asia Tenggara, terutamanya British. Kerajaan Siam telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan British pada tahun 1826 yang menandakan pengiktirafan kerajaan Siam terhadap penjajahan British di rantau Asia Tenggara. Dengan perjanjian itu, kerajaan Siam terselamat daripada penjajahan Barat. Hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat pula mula dijalinkan pada tahun 1833.

Sewaktu pemerintahan Raja Siam yang bernama Mongkut & anaknya, Chulalongkorn, hubungan Siam dengan negara-negara Barat semakin akrab. Sebuah filem yang dibintangi oleh Chow Yun Fat, Jodie Foster & beberapa orang pelakon Malaysia yang bertajuk Anna And The King ada menceritakan bagaimana Raja Mongkut mempelawa seorang guru Bahasa Inggeris dari British untuk mengajar kaum-kerabatnya. Pada tahun 1909, kerajaan Siam yang pada waktu itu diperintah oleh Chulalongkorn telah menandatangani satu perjanjian dengan British. Perjanjian tersebut menandakan sempadan Siam dengan Tanah Melayu yang pada waktu itu dijajah oleh British. Perjanjian yang tidak adil ini telah menyebabkan negeri-negeri Melayu seperti Pattani, Yala, Narathiwat & Satun jadi ke tangan Siam. Perjanjian dengan kerajaan Perancis pula menandakan sempadan Siam dengan Kemboja & Laos yang dijajah oleh Perancis pada waktu itu.


Filem Anna And The King



Raja Mongkut



Raja Chulalongkorn

Pada tahun 1932, sistem pemerintahan Siam telah ditukarkan daripada sistem Raja Mutlak kepada Raja Berpelembagaan. Raja Siam yang memerintah pada waktu itu ialah Prajadhipok. Pada tahun 1949, nama ‘Siam’ secara rasminya ditukar kepada ‘Thailand’ yang bermaksud ‘negara yang bebas’. Thailand sememangnya adalah satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang tidak dijajah oleh mana-mana kuasa Barat. Pada masa kini, Thailand diperintah oleh Raja yang bernama Bhumibol Adulyadej (Rama IX) yang merupakan Ketua Negara yang paling lama memerintah di dunia, iaitu mencecah 51 tahun pada tahun ini.


Raja Bhumibol Adulyadej (Rama IX)

Bangkok atau nama tempatannya yang lain, Krung Thep pula adalah ibu negara & bandar yang terbesar di Thailand. Ianya terletak di pinggiran Sungai Chao Phraya. Bandar ini merupakan antara bandar yang menjadi penjana utama ekonomi & kewangan di rantau Asia Tenggara. Bangkok juga adalah antara bandar-bandar di dunia yang mempunyai pertumbuhan bangunan-bangunan pencakar langit yang terpantas di dunia. Bandar yang juga kaya dengan warisan kebudayaan ini juga merupakan antara bandar-bandar yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia. Malah, Bangkok menduduki tempat pertama dalam senarai bandar yang paling ramai dikunjungi pelancong di benua Asia & ia menduduki tempat ke-3 dalam dunia. Bandar ini juga mempunyai banyak terusan sehingga ianya turut digelar ‘Venice of the East’.

Sewaktu era kerajaan Ayutthaya, Bangkok hanya merupakan sebuah pekan kecil di pinggir Sungai Chao Phraya. Namun, selepas Buddha Yodfa Chulaloke (Rama I) ditabalkan sebagai Raja Siam, baginda telah menjadikan Bangkok sebagai pusat pemerintahannya yang baru pada tahun 1782. Sejak tahun 1780an, bandar Bangkok hanya dipenuhi dengan kuil-kuil Buddha & istana-istana Raja sahaja. Kemudiannya, mulai awal kurun ke-19, pengaruh Barat mulai bertapak di bumi Bangkok. Raja Siam yang bernama Mongkut & anaknya, Chulalongkorn adalah antara mereka yang bertanggung jawab dalam usaha pembangunan & pemodenan Bangkok secara khasnya & Siam secara amnya. Jalan berturap yang pertama telah siap dibina sewaktu pemerintahan Mongkut. Pada tahun 1863, Chulalongkorn pula meneruskan usaha ayahandanya menambah lagi bilangan jalan-jalan berturap di seluruh Bangkok, membina landasan keretapi & juga laluan tram.

Aku & abah aku mengelilingi Bangkok dengan menaiki sky train & juga bot di Sungai Chao Phraya yang merupakan antara sistem pengangkutan yang utama di Bangkok. Kami membeli tiket satu hari menaiki bot Sungai Chao Phraya. Harganya lebih kurang RM10.00. Sungai Chao Phraya adalah sungai yang utama & terpanjang di Thailand & merupakan antara sistem perhubungan yang utama & murah di sini. Setelah membeli tiket, kami pun menaiki bot melalui sepanjang sungai tersebut. Kami berhenti di sebuah jeti.


Sky Train di Bangkok, Thailand



Bot Sungai Chao Phraya, Bangkok, Thailand



Sungai Chao Phraya, Bangkok, Thailand



Sungai Chao Phraya, Bangkok, Thailand



Sungai Chao Phraya, Bangkok, Thailand

Kami pada mulanya hendak berkunjung ke kompleks Grand Palace & Wat Phra Kaeo. Walau bagaimanapun, setibanya kami di situ, kami diberitahu oleh seorang penduduk tempatan bahawa kompleks Grand Palace & Wat Phra Kaeo telah ditutup pada waktu tersebut kerana adanya satu upacara khas yang sedang berlaku di dalam kompleks tersebut. Kami terlewat sejam. Penduduk tempatan tersebut kemudiannya memberi cadangan kepada kami untuk menaiki tuk-tuk untuk mengelilingi kota Bangkok. Dia menandakan tempat-tempat lain yang perlu kami kunjungi pada peta yang kami bawa. Tidak berapa lama kemudian, dia menahan sebuah tuk-tuk & meminta pemandu tuk-tuk itu membawa kami berdua ke tempat-tempat yang ditandakan. Kami hanya perlu membayar lebih kurang RM4.00 sahaja. Murah yang teramat sangat. Aku & abah terus bersetuju. Kami berdua pun terus masuk ke dalam tuk-tuk tersebut & mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan itu.

Selepas itu, pemandu tuk-tuk tersebut pun membawa kami ke tempat-tempat yang telah ditandakan. Penguasaan Bahasa Inggeris pemandu tuk-tuk tersebut tidaklah begitu baik. Kami agak sukar untuk berkomunikasi dengannya. Walau bagaimanapun, dia tetap gigih mencuba untuk memberi penerangan dengan sebaik mungkin. Tuk-tuk sebenarnya adalah kenderaaan awam yang murah & utama di kota Bangkok. Saiznya adalah di antara saiz motorsikal & kereta. Ianya adalah salah satu daripada keunikan kota Bangkok.


Tuk Tuk di Bangkok, Thailand



Tuk Tuk di Bangkok, Thailand

Tempat pertama kami dibawa ialah sebuah kuil Buddha yang aku tidak pasti apa namanya. Setelah berjalan mengelilingi kuil tersebut & masuk ke dalamnya, kami pun dibawa ke beberapa destinasi yang seterusnya. Kami turut dibawa ke kedai-kedai barangan perhiasan. Kami berdua pun tidak pasti apa sebabnya pemandu tuk-tuk tersebut membawa kami ke kedai-kedai berkenaan. Kami bukannya orang kaya. Hahah.


Sebuah Kuil Buddha, Bangkok, Thailand



Sebuah Kuil Buddha, Bangkok, Thailand



Di Dalam Sebuah Kuil Buddha, Bangkok, Thailand

Antara destinasi lain yang kami kunjungi ialah sebuah lagi kuil Buddha yang bernama Wat Benchamabophit yang terletak di dalam daerah Dusit. Ianya juga dikenali sebagai ‘Marble Temple’. Kuil ini merupakan salah satu kuil yang tercantik di Bangkok & merupakan salah satu tarikan pelancong di kota ini. Pembinaan kuil ini telah dimulakan pada tahun 1899 sewaktu Siam di bawah arahan Raja Siam yang memerintah pada waktu itu iaitu Chulalongkorn. Istananya terletak berdekatan dengan kuil tersebut. Kuil ini dibina daripada batu marmar yang diimport dari Itali. Di dalam kuil ini terdapat sebuah patung Buddha yang bersenibinakan Sukhothai yang diberi nama Phra Buddhajinaraja, yang diperbuat pada tahun 1920, setelah patung Buddha asal dipindahkan ke Wat Mahathat. Abu Chulalongkorn ditanam di bawah patung tersebut. Di sekeliling perkarangan kuil ini terdapat lagi 52 buah patung Buddha yang berwarna hitam.


Wat Benchamabophit, Bangkok, Thailand



Wat Benchamabophit, Bangkok, Thailand



Patung Phra Buddhajinaraja Di Dalam Wat Benchamabophit, Bangkok, Thailand



Patung Phra Buddhajinaraja Di Dalam Wat Benchamabophit, Bangkok, Thailand



Di Dalam Kawasan Wat Benchamabophit, Bangkok, Thailand



Patung-Patung Buddha Berwarna Hitam Di Dalam Wat Benchamabophit, Bangkok, Thailand



Patung-Patung Buddha Berwarna Hitam Di Dalam Wat Benchamabophit, Bangkok, Thailand

Selepas bergambar di bahagian dalam & perkarangan kuil tersebut, pemandu tuk-tuk itu pun membawa kami ke sebuah jeti & meninggalkan kami berdua di situ. Ayah aku membayar lebih kurang 100.00 Baht kepadanya sebagai tanda terima kasih kami walaupun pada mulanya kami hanya perlu membayar lebih kurang 40.00 Baht sahaja. Selepas itu, kami pun menaiki bot & kemudiannya sky train untuk pulang semula ke hostel. Sebelum sampai ke hostel, kami singgah dahulu di sebuah kedai 7 Eleven untuk membeli roti & jem untuk makan malam. Kami tidak berjaya menjumpai mana-mana kedai makanan halal di kota Bangkok ini. Oleh itu, kami terpaksa makan roti berintikan jem sahaja.

Selepas makan & solat jamak Maghrib & Isyak, kami berdua keluar menuju ke Patpong, sebuah kawasan hiburan di Bangkok di mana terdapatnya banyak pusat-pusat hiburan & juga gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis barangan & cenderamata. Patpong ini juga sebenarnya pernah terkenal sebagai pusat pelacuran yang utama di kota Bangkok. Pelacur-pelacur yang terdapat di sini bukan sahaja daripada golongan wanita, malah terdapat juga golongan maknyah. MasyaAllah. Harap-harapnya aku & abah aku tidak diganggu oleh mana-mana pelacur. Hahaha. Tujuan kami ke sini hanyalah semata-mata untuk membeli cenderamata yang murah-murah. Patpong terletak sangat berhampiran dengan hostel kami, iaitu di kawasan Silom Road, jalan yang paling mahal di Thailand. Kami hanya berjalan kaki 10 minit sahaja ke kawasan Patpong tersebut.

Kami menghabiskan masa hampir sejam membelek-belek barang-barang yang dijual di gerai-gerai di Patpong ini. Abah aku akhirnya membeli beberapa helai baju untuk kami sekeluarga. Itu sahajalah yang kami beli. Selepas puas berjalan-jalan di kawasan Patpong, kami berdua pun pulang semula ke hostel untuk tidur.


Pemandangan Malam di Bangkok, Thailand



Pemandangan Malam di Bangkok, Thailand



Patpong, Bangkok, Thailand

Hari 2: 25 JULAI 2007

Selepas mandi & bersiap-siap, aku & abah aku pun terus keluar untuk menerokai kota Bangkok pada hari ke-2 kami di sini. Kami menaiki skytrain untuk ke jeti Saphan Taksin. Sesampainya kami di jeti tersebut, kami membeli tiket satu hari menaiki bot Sungai Chao Phraya, sama seperti semalam.


Skytrain, Bangkok, Thailand



Di Dalam Bot Sungai Chao Phraya, Bangkok, Thailand



Di Dalam Bot Sungai Chao Phraya, Bangkok, Thailand

Destinasi pertama kami ialah National Museum. Ianya adalah sebuah muzium yang mempamerkan sejarah & kesenian negara Thailand. Muzium ini telah dibuka secara rasminya pada tahun 1874 sewaktu pemerintahan Rama V. Setelah menghabiskan masa lebih kurang 30 minit di dalam muzium yang agak kecil ini, kami meneruskan perjalanan kami dengan berjalan kaki ke Grand Palace & Wat Phra Kaeo yang terletak tidak jauh dari muzium tersebut. Kedua-duanya terletak di dalam sebuah kompleks & untuk masuk ke dalamnya, kami perlu membeli tiket. Kawasan kompleks ini agak besar. Grand Palace atau nama lainnya Baromphiman Palace merupakan bekas kediaman diraja Thailand sejak kurun ke-18 sehingga ke pertengahan kurun ke-20. Kediaman diraja Thailand kemudiannya telah dipindahkan ke Chitralada Palace oleh Raja Thailand yang memerintah pada masa kini, iaitu Bhumibol Adulyadej (Rama IX) selepas kematian misteri abangnya yang memerintah Thailand sebelumnya, iaitu Ananda Mahidol (Rama VIII). Kerja-kerja membina Grand Palace ini telah dimulakan sejak pemerintahan Rama I lagi iaitu pada tahun 1782. Istana ini terletak di pinggiran Sungai Chao Phraya. Sekeliling istana ini dilindungi oleh tembok berwarna putih sepanjang 1,900 meter & merangkumi kawasan seluas 218,400 meter persegi.


National Museum, Bangkok, Thailand



National Museum, Bangkok, Thailand



Grand Palace & Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand



Grand Palace & Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand

Antara monumen-monumen penting yang terdapat di kawasan kompleks Grand Palace ini ialah Dusit Throne Hall, Aphonphimok Pavilion, Chakri Throne Hall, Phra Maha Monthien Buildings, Inner Palace, Siwalai Gardens & Audience Chamber. Dusit Throne Hall ialah sebuah dewan yang dibina semula pada tahun 1789, selepas bangunan asalnya yang dibina 5 tahun sebelumnya termusnah akibat disambar petir. Ianya kini dijadikan dewan untuk menyambut ulangtahun hari pertabalan pada setiap tahun. Aphonphimok Pavilion adalah sebuah struktur kecil yang diperbuat daripada kayu yang dibina sewaktu pemerintahan Raja Mongkut. Chakri Throne Hall pula yang juga dikenali sebagai Grand Palace Throne Hall telah dibina mengikut senibina Neo-klasikal. Arkiteknya adalah seorang warganegara British. Raja Thailand yang bernama Rama V telah mengupahnya untuk membina bangunan ini pada tahun 1882 sebagai peringatan ulangtahun ke-100 pemerintahan Dinasti Chakri.

Phra Maha Monthien Buildings pula ialah sekelompok bangunan yang bersambung-sambung yang juga turut dikenali sebagai Grand Residence. Antara bangunan-bangunannya ialah Amarin Winichai Hall, Phaisan Thaksin Hall yang pernah digunakan sebagai dewan makan oleh Rama I & Chakraphat Phiman Hall yang pernah menjadi tempat tinggal 3 orang Raja dari Dinasti Chakri yang pertama. Inner Palace pula dahulunya merupakan kediaman golongan wanita kerabat diraja sebelum pemerintahan Rama VII. Hanya Raja Thailand & golongan lelaki sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam bangunan ini. Siwalai Gardens pula adalah taman-taman bunga yang terdapat di dalam kompleks istana ini. Audience Chamber pula merupakan tempat para rakyat duduk untuk menyaksikan upacara pertabalan.


Dusit Throne Hall, Di Dalam Kawasan Grand Palace, Bangkok, Thailand



Chakri Throne Hall, Di Dalam Kawasan Grand Palace, Bangkok, Thailand

Selain kompleks-kompleks bangunan kediaman diraja, terdapat juga sebuah kompleks kuil Buddha di dalam kompleks istana ini, iaitu Wat Phra Kaeo (Temple of the Emerald Buddha). Kompleks kuil ini merupakan kompleks kuil Buddha yang paling suci bagi masyarakat beragama Buddha di Thailand. Kerja-kerja pembinaan kompleks kuil ini telah dimulakan sejak pemerintahan Buddha Yodfa Chulaloke (Rama I) lagi, iaitu pada tahun 1785. Tidak seperti kompleks-kompleks kuil Buddha yang lain, kompleks kuil ini tidak mempunyai kawasan kediaman sami-sami. Kawasan kompleks kuil ini hanya dihiasi dengan bangunan-bangunan suci, patung-patung & pagoda-pagoda.

Bot of the Emerald Buddha adalah bangunan yang paling utama di kompleks ini memandangkan ianya menempatkan patung Emerald Buddha, patung Buddha yang paling suci bagi masyarakat Buddha di Thailand. Saiz patung ini kecil sahaja. Menurut lagenda tempatan, patung yang diperbuat daripada batu zamrud hijau & berbajukan baju yang diperbuat daripada emas ini telah diperbuat di Patna, India pada tahun 43 SM. Selepas 300 tahun berada di Patna, patung ini dipindahkan pula ke Sri Lanka untuk menyelamatkannya daripada sebuah perang saudara yang berlaku di Patna. Kemudian, pada tahun 457, Raja Burma yang bernama Anuruth meminta agak patung tersebut dipindahkan ke kerajaannya bagi menandakan sokongan kerajaannya terhadap agama Buddha. Namun, kapal yang membawa patung tersebut karam & patung tersebut dikatakan telah terdampar di pinggiran pantai Kemboja. Selepas kerajaan Ayyuthaya berjaya menawan Angkor Wat di Kemboja, patung tersebut dibawa ke Thailand. Kemudiannya, patung tersebut disimpan di sebuah bandar yang bernama Lampang sehingga tahun 1468 apabila ianya dipindahkan pula ke Chiang Mai. Patung Buddha tersebut disimpan di Chiang Mai sehingga ke tahun 1552. Ianya kemudian dibawa pula ke Luang Prabang & seterusnya ke ibu kota kerajaan Lan Xang di Laos iaitu Vientiane. Akhirnya, pada tahun 1779, Raja Siam yang pertama iaitu Buddha Yodfa Chulaloke (Rama I) berjaya menawan Vientiane & membawa patung Buddha berkenaan ke Thonburi & seterusnya ke Wat Phra Kaeo pada tahun 1784 & patung tersebut kekal di situ sehingga kini.


Di Bot of the Emerald Buddha, Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand



Patung Emerald Buddha Di Dalam Bot of the Emerald Buddha, Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand

Antara bangunan-bangunan lain yang terdapat di dalam kompleks Wat Phra Kaeo ini ialah Chapel of the Gandharara Buddha, Phra Si Rattana Chedi, Phra Mondop, Royal Pantheon, Wihan Yot, Ho Phra Monthien Tham & Ramakien Gallery. Di dalam Chapel of the Gandharara Buddha terdapat sebuah patung Buddha yang berwarna gangsa yang digunakan dalam upacara memanggil hujan dalam bulan Mei setiap tahun. Phra Si Rattana Chedi pula adalah sebuah binaan bersalut emas yang merupakan binaan yang paling menonjol di kompleks ini. Binaan ini dibina sewaktu pemerintahan Mongkut & anaknya, Chulalongkorn. Phra Mondop yang terletak bersebelahan dengannya pula ialah sebuah perpustakaan yang dibina oleh Rama I untuk menempatkan manuskrip-manuskrip Buddha. Terdapat juga sebuah model Angkor Wat yang terletak di Kemboja bersebelahan dengan bangunan perpustakaan ini. Royal Pantheon pula menempatkan patung-patung saiz sebenar Raja-raja Dinasti Chakri. Ramakien Gallery adalah sebuah gallery yang mempamerkan patung-patung & lukisan-lukisan Ramayana iaitu lukisan-lukisan yang berasal dari India dalam versi Thailand.


Phra Si Rattana Chedi Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand



Ramakien Gallery, Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand



Ramakien Gallery, Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand



Phra Mondop, Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand



Phra Mondop, Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand



Royal Pantheon, Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand



Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand



Model Angkor Wat, Di Dalam Kawasan Wat Phra Kaeo, Bangkok, Thailand

Kawasan Grand Palace & Wat Phra Kaeo ini sememangnya amat luas. Kami menghabiskan masa hampir 3 jam di dalamnya. Ditambah pula apabila hujan mulai turun sewaktu kami berada di sini. Oleh itu, kami terpaksa berteduh di dalam kompleks ini untuk masa sejam lagi sebelum hujan mulai reda.

Setelah hujan mulai reda, kami meneruskan perjalanan kami ke Wat Pho (Temple of the Reclining Buddha) yang terletak tidak jauh dari kompleks Grand Palace & Wat Phra Kaeo. Untuk masuk ke dalamnya, kami perlu membeli tiket. Kerja-kerja pembinaan kompleks kuil Buddha ini telah dimulakan pada tahun 1788 bagi menggantikan bekas kuil yang terletak di sini iaitu Wat Phodharam. Sewaktu pemerintahan Rama III, kompleks kuil ini telah diperbesarkan & pada tahun 1982, ianya diperbesarkan lagi. Kompleks Wat Pho adalah kompleks kuil yang terbesar & tertua di Bangkok & merupakan antara kompleks kuil yang menempatkan bilangan patung Buddha yang terbanyak di bandar ini. Ianya juga merupakan pusat pembelajaran seni urutan Thai.

Di dalam kompleks kuil ini terdapat sebuah kuil yang menempatkan sebuah patung Buddha yang merupakan antara patung Buddha yang terbesar di dunia. Patung yang bersalut emas & bermatakan mutiara tersebut diberi nama Phra Buddhasaiyas (Reclining Buddha) & dibina sewaktu pemerintahan Rama III. Panjangnya ialah 46 meter & ketinggiannya pula ialah 15 meter. Bangunan-bangunan lain yang terdapat di dalam kompleks Wat Pho ialah Medicine Pavilion, Wihan, Miniature Mountains, Phra Si Sanphet Chedi & Main Boat yang di dalamnya terdapat sebuah patung Buddha gangsa. Terdapat juga sebuah pokok di dalam kawasan kompleks ini yang dipercayai tumbuh daripada potongan pokok di mana Buddha bermeditasi di India.


Wat Pho, Bangkok, Thailand



Phra Buddhasaiyas Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Phra Buddhasaiyas Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Phra Buddhasaiyas Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Patung Buddha Gangsa Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Pokok Buddha, Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand

Setelah puas bergambar di dalam kawasan kompleks Wat Pho, kami berdua meneruskan perjalanan kami ke Wat Arun pula yang terletak kawasan Thon Buri, di seberang Sungai Chao Phraya. Kami menyeberangi sungai tersebut dengan menaiki bot. Yang menjadikan kuil Buddha ini terkenal adalah kerana senibina menaranya yang cantik & mempunyai pengaruh senibina Khmer. Kuil ini dibina sewaktu era kerajaan Ayutthaya & pada waktu itu, ia diberi nama Wat Makok (Olive Temple). Sewaktu era Thonburi menjadi ibu kota kerajaan Siam yang diperintah oleh Taksin, nama kuil ini ditukar kepada Wat Chaeng. Kuil ini pernah menempatkan patung Emerald Buddha sebelum ia dipindahkan ke Wat Phra Kaeo pada tahun 1784. Raja Siam yang bernama Rama II kemudiannya menukar nama kuil ini menjadi Wat Arun. Nama Arun adalah bersempena dengan nama Aruna, salah satu Tuhan masyarakat India. Ianya kemudian diperbesarkan oleh Rama III & Rama IV.

Para pelancong yang berkunjung ke kuil ini dikenakan bayaran. Para pelancong juga dibenarkan memanjat tangga ke kuil ini untuk menuju ke puncak menaranya. Aku mengambil kesempatan ini untuk memanjat tangga tersebut & menuju ke puncak menara. Abah tidak ikut sekali kerana penat. Sewaktu berada di puncak menara tersebut, aku dapat menikmati pemandangan kota Bangkok yang sangat-sangat mempersonakan. Indah sekali. Selepas puas menikmati pemandangan tersebut, aku pun turun semula untuk mendapatkan abah aku.


Wat Arun, Bangkok, Thailand



Wat Arun, Bangkok, Thailand



Wat Arun, Bangkok, Thailand



Wat Arun, Bangkok, Thailand



Pemandangan Kota Bangkok Dari Atas Wat Arun, Bangkok, Thailand



Pemandangan Kota Bangkok Dari Atas Wat Arun, Bangkok, Thailand

Kemudian, kami menaiki bot untuk menyeberangi semula Sungai Chao Phraya. Selepas itu, kami menaiki bot lain & singgah di China Town. Kami tidak lama di sini. Sekadar untuk melihat-lihat sahaja. Ternyata, memang semua kedai-kedai yang terdapat di sini rata-ratanya kepunyaan bangsa Cina.


Chinatown, Bangkok, Thailand



Chinatown, Bangkok, Thailand

Kami kemudiannya menaiki bot untuk kembali semula ke jeti Saphan Taksin di mana kami kemudiannya menaiki skytrain untuk kembali semula ke hostel kami. Sesampainya di hostel, kami bergilir-gilir mandi. Kemudian, kami berehat-rehat sebentar di kawasan legar hostel berkenaan. Beberapa minit kemudian, kami menahan teksi untuk menuju ke Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi. Penerbangan pulang kami ke Pulau Pinang akan berlepas pada awal pagi esoknya, iaitu pada pukul 7.30 pagi. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk bermalam di lapangan terbang sahaja untuk menjimatkan wang.

Perjalanan dari hostel ke lapangan terbang tersebut memakan masa lebih kurang 45 minit. Sesampainya kami di lapangan terbang, kami terus menunaikan solat di bilik surau yang disediakan. Kemudian, kami makan malam dengan roti & jem yang kami beli di 7-Eleven. Selepas makan, kami pun mulai tidur sementara menunggu waktu untuk mendaftar masuk. Aku tidak dapat tidur dengan nyenyak memandangkan suhu di dalam lapangan terbang tersebut tersangat sejuk. Abah pula dapat tidur dengan nyenyak. Suatu perkara yang biasa bagi aku.

Hari 3: 26 JULAI 2007

Selepas beberapa jam menunggu, akhirnya kaunter pendaftaran untuk penerbangan kami pun dibuka. Selepas solat Subuh, aku & abah aku terus mendaftar masuk. Selepas beberapa minit menunggu, akhirnya semua penumpang dibenarkan masuk ke dalam pesawat. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, penerbangan Air Asia ke Pulau Pinang pun selamat berlepas. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1½ jam. Lebih kurang pukul 10.00 pagi waktu tempatan Malaysia, aku & abah aku selamat tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang. Alhamdulillah.

Pengalaman aku & abah aku di Bangkok, Thailand sememangnya suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Melancong dengan bapa sendiri sememangnya amat berbeza dengan melancong dengan kawan-kawan. Masing-masing ada keistimewaannya. Bangkok pula sememangnya sebuah kota yang unik. Walaupun ianya hanya dipenuhi oleh kuil-kuil Buddha, akan tetapi senibina kuil-kuil tersebut mempunyai keistimewaan masing-masing yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Kesimpulannya, Bangkok adalah antara tempat-tempat yang wajib dikunjungi.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP