3 DaYS iN VeNiCe oF THe eaST (BHG VII/aKHiR)

>> Friday, December 28, 2007



Kawasan Grand Palace & Wat Phra Kaeo ini sememangnya amat luas. Kami menghabiskan masa hampir 3 jam di dalamnya. Ditambah pula apabila hujan mulai turun sewaktu kami berada di sini. Oleh itu, kami terpaksa berteduh di dalam kompleks ini untuk masa sejam lagi sebelum hujan mulai reda.

Setelah hujan mulai reda, kami meneruskan perjalanan kami ke Wat Pho (Temple of the Reclining Buddha) yang terletak tidak jauh dari kompleks Grand Palace & Wat Phra Kaeo. Untuk masuk ke dalamnya, kami perlu membeli tiket. Kerja-kerja pembinaan kompleks kuil Buddha ini telah dimulakan pada tahun 1788 bagi menggantikan bekas kuil yang terletak di sini iaitu Wat Phodharam. Sewaktu pemerintahan Rama III, kompleks kuil ini telah diperbesarkan & pada tahun 1982, ianya diperbesarkan lagi. Kompleks Wat Pho adalah kompleks kuil yang terbesar & tertua di Bangkok & merupakan antara kompleks kuil yang menempatkan bilangan patung Buddha yang terbanyak di bandar ini. Ianya juga merupakan pusat pembelajaran seni urutan Thai.

Di dalam kompleks kuil ini terdapat sebuah kuil yang menempatkan sebuah patung Buddha yang merupakan antara patung Buddha yang terbesar di dunia. Patung yang bersalut emas & bermatakan mutiara tersebut diberi nama Phra Buddhasaiyas (Reclining Buddha) & dibina sewaktu pemerintahan Rama III. Panjangnya ialah 46 meter & ketinggiannya pula ialah 15 meter. Bangunan-bangunan lain yang terdapat di dalam kompleks Wat Pho ialah Medicine Pavilion, Wihan, Miniature Mountains, Phra Si Sanphet Chedi & Main Boat yang di dalamnya terdapat sebuah patung Buddha gangsa. Terdapat juga sebuah pokok di dalam kawasan kompleks ini yang dipercayai tumbuh daripada potongan pokok di mana Buddha bermeditasi di India.


Wat Pho, Bangkok, Thailand



Phra Buddhasaiyas Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Phra Buddhasaiyas Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Phra Buddhasaiyas Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Patung Buddha Gangsa Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand



Pokok Buddha, Di Dalam Kompleks Wat Pho, Bangkok, Thailand

Setelah puas bergambar di dalam kawasan kompleks Wat Pho, kami berdua meneruskan perjalanan kami ke Wat Arun pula yang terletak kawasan Thon Buri, di seberang Sungai Chao Phraya. Kami menyeberangi sungai tersebut dengan menaiki bot. Yang menjadikan kuil Buddha ini terkenal adalah kerana senibina menaranya yang cantik & mempunyai pengaruh senibina Khmer. Kuil ini dibina sewaktu era kerajaan Ayutthaya & pada waktu itu, ia diberi nama Wat Makok (Olive Temple). Sewaktu era Thonburi menjadi ibu kota kerajaan Siam yang diperintah oleh Taksin, nama kuil ini ditukar kepada Wat Chaeng. Kuil ini pernah menempatkan patung Emerald Buddha sebelum ia dipindahkan ke Wat Phra Kaeo pada tahun 1784. Raja Siam yang bernama Rama II kemudiannya menukar nama kuil ini menjadi Wat Arun. Nama Arun adalah bersempena dengan nama Aruna, salah satu Tuhan masyarakat India. Ianya kemudian diperbesarkan oleh Rama III & Rama IV.

Para pelancong yang berkunjung ke kuil ini dikenakan bayaran. Para pelancong juga dibenarkan memanjat tangga ke kuil ini untuk menuju ke puncak menaranya. Aku mengambil kesempatan ini untuk memanjat tangga tersebut & menuju ke puncak menara. Abah tidak ikut sekali kerana penat. Sewaktu berada di puncak menara tersebut, aku dapat menikmati pemandangan kota Bangkok yang sangat-sangat mempersonakan. Indah sekali. Selepas puas menikmati pemandangan tersebut, aku pun turun semula untuk mendapatkan abah aku.


Wat Arun, Bangkok, Thailand



Wat Arun, Bangkok, Thailand



Wat Arun, Bangkok, Thailand



Wat Arun, Bangkok, Thailand



Pemandangan Kota Bangkok Dari Atas Wat Arun, Bangkok, Thailand



Pemandangan Kota Bangkok Dari Atas Wat Arun, Bangkok, Thailand

Kemudian, kami menaiki bot untuk menyeberangi semula Sungai Chao Phraya. Selepas itu, kami menaiki bot lain & singgah di China Town. Kami tidak lama di sini. Sekadar untuk melihat-lihat sahaja. Ternyata, memang semua kedai-kedai yang terdapat di sini rata-ratanya kepunyaan bangsa Cina.


Chinatown, Bangkok, Thailand



Chinatown, Bangkok, Thailand

Kami kemudiannya menaiki bot untuk kembali semula ke jeti Saphan Taksin di mana kami kemudiannya menaiki skytrain untuk kembali semula ke hostel kami. Sesampainya di hostel, kami bergilir-gilir mandi. Kemudian, kami berehat-rehat sebentar di kawasan legar hostel berkenaan. Beberapa minit kemudian, kami menahan teksi untuk menuju ke Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi. Penerbangan pulang kami ke Pulau Pinang akan berlepas pada awal pagi esoknya, iaitu pada pukul 7.30 pagi. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk bermalam di lapangan terbang sahaja untuk menjimatkan wang.

Perjalanan dari hostel ke lapangan terbang tersebut memakan masa lebih kurang 45 minit. Sesampainya kami di lapangan terbang, kami terus menunaikan solat di bilik surau yang disediakan. Kemudian, kami makan malam dengan roti & jem yang kami beli di 7-Eleven. Selepas makan, kami pun mulai tidur sementara menunggu waktu untuk mendaftar masuk. Aku tidak dapat tidur dengan nyenyak memandangkan suhu di dalam lapangan terbang tersebut tersangat sejuk. Abah pula dapat tidur dengan nyenyak. Suatu perkara yang biasa bagi aku.

Hari 3: 26 JULAI 2007

Selepas beberapa jam menunggu, akhirnya kaunter pendaftaran untuk penerbangan kami pun dibuka. Selepas solat Subuh, aku & abah aku terus mendaftar masuk. Selepas beberapa minit menunggu, akhirnya semua penumpang dibenarkan masuk ke dalam pesawat. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, penerbangan Air Asia ke Pulau Pinang pun selamat berlepas. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1½ jam. Lebih kurang pukul 10.00 pagi waktu tempatan Malaysia, aku & abah aku selamat tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang. Alhamdulillah.

Pengalaman aku & abah aku di Bangkok, Thailand sememangnya suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Melancong dengan bapa sendiri sememangnya amat berbeza dengan melancong dengan kawan-kawan. Masing-masing ada keistimewaannya. Bangkok pula sememangnya sebuah kota yang unik. Walaupun ianya hanya dipenuhi oleh kuil-kuil Buddha, akan tetapi senibina kuil-kuil tersebut mempunyai keistimewaan masing-masing yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Kesimpulannya, Bangkok adalah antara tempat-tempat yang wajib dikunjungi.

TAMAT. Nantikan Travelogue di Baltic Countries (Estonia, Lithuania & Latvia) soon...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP