SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG XVIII)

>> Sunday, May 27, 2007



Setelah menghabiskan masa hampir 3 jam di dalam Saladin Citadel, kami pun terus mencari jalan keluar. Destinasi kami yang seterusnya ialah kompleks Masjid Sultan Hassan & Masjid Ar-Rifa'i. Kedua-dua masjid ini terletak bertentangan antara satu sama lain. Masjid Sultan Hassan adalah salah sebuah hasil peninggalan senibina kerajaan Mamluk yang termasyhur di bumi Kaherah. Masjid ini mulai dibina pada tahun 1356 di bawah arahan Sultan yang memerintah Mesir pada waktu itu iaitu Hassan. Masjid ini siap sepenuhnya pada tahun 1363. Pembinaan masjid ini turut dibiayai oleh wang & harta-harta hasil tinggalan penduduk-penduduk Kaherah yang terkorban dalam peristiwa ‘Black Death’ yang menimpa hampir seluruh dunia pada pertengahan kurun ke-14.

Tujuan masjid ini dibina adalah untuk dijadikan rumah ibadat & juga pusat ilmiah bagi umat-umat Islam keempat-empat mazhab iaitu Shafi’e, Maliki, Hanafi & Hanbali. Setiap mazhab mempunyai kawasan madrasah yang tersendiri di dalam masjid yang luas ini. Sultan Hassan sebenarnya telah dibunuh sewaktu masjid ini masih lagi dalam proses pembinaan & mayatnya tidak berjaya dijumpai. Makam yang terdapat di dalam masjid ini adalah makam kedua-dua puteranya yang pada mulanya dibina untuk menempatkan jenazahnya. Masjid ini sememangnya tersangat tinggi & besar. Senibina luarannya juga agak unik, begitu juga dengan senibina dalamannya.


Masjid Sultan Hassan & Masjid Ar-Rifa'i, Kaherah, Mesir



Masjid Sultan Hassan & Masjid Ar-Rifa'i, Kaherah, Mesir



Lorong di antara Masjid Sultan Hassan & Masjid Ar-Rifa'i, Kaherah, Mesir



Lorong di antara Masjid Sultan Hassan & Masjid Ar-Rifa'i, Kaherah, Mesir



Di pintu masuk Masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir



Di pintu masuk Masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir



Di pintu masuk Masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir



Di pintu masuk Masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir



Di pintu masuk Masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Sultan Hassan, Kaherah, Mesir

Selepas melawat Masjid Sultan Hassan, kami melawat pula Masjid Ar-Rifa’i (Masjid Diraja) yang terletak bertentangan dengannya. Masjid Ar-Rifa'i ini sengaja dibina bertentangan dengan Masjid Sultan Hassan, bertujuan untuk bersaing dengan masjid tersebut dari sudut senibina. Masjid Ar-Rifa’i ini mulai dibina pada tahun 1869 di bawah arahan Khushyar Hanim, ibu kepada Ismail Pasha, bertujuan untuk memperbesarkan makam seorang ulamak yang bernama Ahmad Ar-Rifa’i & juga untuk menjadikan masjid ini sebagai tempat pengkebumian seluruh keluarganya. Walau bagaimanapun, pembinaan masjid ini tergendala sebentar pada tahun 1880 apabila Ismail Pasha yang memerintah Mesir pada waktu itu menuruni takhta & 5 tahun kemudian, ibunya, iaitu Khushyar Hanim pula meninggal dunia. Kerja-kerja pembinaan masjid ini hanya diteruskan pada tahun 1905 apabila Abbas Hilmi II menaiki takhta sebagai pemerintah Mesir. Tidak berapa lama selepas itu, masjid ini pun siap sepenuhnya. Senibina masjid ini juga tidak kurang hebatnya berbanding Masjid Sultan Hassan. Namun, pada pendapat aku, Masjid Sultan Hassan adalah lebih anggun & lebih menarik.


Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir

Di dalam Masjid Ar-Rifa'i ini terdapat beberapa buah makam. Antaranya ialah makam-makam ulamak yang terkenal iaitu Ahmad Ar-Rifa’i, Ali Abi Shubbak & Yahya al-Ansari. Makam Khushyar Hanim & anaknya, Ismail Pasha juga ditempatkan di dalam masjid ini. Begitu juga dengan makam-makam pemerintah Mesir yang lain seperti Raja Farouk. Selain itu, makam Shah terakhir Iran, iaitu Mohammad Reza Pahlavi juga ditempatkan di sini. Shah Iran yang terakhir tersebut telah melarikan diri dari Iran ke Kaherah sewaktu berlakunya Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 & setahun selepas itu, beliau meninggal dunia di sini.


Sebuah makam di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Sebuah makam di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Sebuah makam di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Sebuah makam di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Sebuah makam di dalam Masjid Ar-Rifa’i, Kaherah, Mesir



Mohammad Reza Pahlavi

Selepas melawat kedua-dua buah masjid tersebut, kami bertiga terus menuju ke Rumah Malaysia Abbasiyah untuk makan tengah hari & solat Zohor. Kemudian, kami dibawa pula oleh Ustaz Mat ke Masjid Amr ibn al-A’as. Kami sebenarnya sudah pernah datang ke masjid ini sebelum ini. Namun, tidak salah sekiranya kami ingin menjejakkan kaki di masjid yang bersejarah ini sekali lagi. Kami berehat-rehat sebentar di dalam masjid ini sementara menunggu masuknya waktu solat Asar. Apabila sudah masuk waktu solat Asar, kami pun menunaikan solat berjemaah dengan jemaah-jemaah lain di dalam masjid tersebut. Kemudian, Ustaz Mat pun membawa kami pulang semula ke Rumah Perlis. Kami akan berjumpa dengannya esok hari untuk menyambung ekspedisi kami. Selepas makan & solat, aku & Tok Wan pun terus melelapkan mata kepenatan.

Bersambung...

1 buah komen:

malaysia baru Friday, June 5, 2009 at 11:16:00 AM GMT+8  

Kubur Raja Farouk, Shah Iran di dalam masjid...kubur Imam Hasan Al Banna dan syuhada lain nun jauh dari masjid...

Apakah maknanya?

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP