SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG XVI)

>> Sunday, May 20, 2007



Selepas itu, Ustaz Mat membawa kami melihat dengan lebih dekat lagi ukiran patung Great Sphinx of Giza yang merupakan sebuah ukiran patung yang berkepala manusia & berbadan singa yang turut menjadi daya tarikan utama pelancong-pelancong di Giza Plateau. Ianya adalah antara ukiran patung yang terbesar di dunia yang diukir daripada sebuah batu. Ia dipercayai diukir pada millennium ke-3 SM sewaktu pemerintahan Khafre. Selepas Giza Plateau terbiar sekian lama, Great Sphinx of Giza ini telah tertimbus oleh pasir. Ia hanya dijumpai kemudiannya oleh Firaun yang bernama Thutmose IV pada kurun ke-13 SM. Firaun yang bernama Ramesses II juga dikatakan telah melakukan kerja-kerja pembaikan ukiran patung ini. Namun, keseluruhan ukiran patung ini hanya berjaya digali pada tahun 1925.

Walau bagaimanapun, hidung patung tersebut telah hilang sama sekali. Ianya dikatakan hilang akibat serangan sama ada oleh tentera Napoleon Bonaparte, Mamluk ataupun Turki Uthmaniyah. Great Sphinx of Giza ini dipercayai dibina untuk menjadi pengawal kepada piramid-piramid di Giza Plateau. Terdapat sebuah runtuhan kuil di hadapannya yang kini ditutup kepada umum. Pada mulanya, aku fikirkan bahawa Great Sphinx of Giza ini bersaiz besar. Namun, ianya tidaklah sebesar yang aku sangkakan. Hahaha. Selepas bergambar dengan ukiran patung tersebut, kami pun terus menuju kembali ke pusat bandar Kaherah. Selamat tinggal Giza. Pengalaman di sini sememangnya tersangat berharga bagi diri aku.


Giza Plateau, Kaherah, Mesir



Great Sphinx of Giza di Giza Plateau, Kaherah, Mesir



Great Sphinx of Giza di Giza Plateau, Kaherah, Mesir

Setibanya kami di pusat bandar Kaherah, Ustaz Mat membawa kami ke Rumah Malaysia Abbasiyah untuk makan tengah hari & solat Zohor. Kemudian, kami ke destinasi kami yang seterusnya iaitu Cairo’s Zoo. Zoo ini agak bosan bagi aku & Tok Wan. Kami pada mulanya tidak berniat pun untuk masuk ke dalamnya. Tapi memandangkan Ustaz Mat sudah pun meletakkan keretanya di hadapan zoo tersebut, kami tiada pilihan lain. Terpaksalah kami mengikut Ustaz Mat masuk ke dalamnya. Aku sebenarnya kurang berminat untuk masuk ke dalam zoo tersebut kerana baunya yang tidak begitu enak. Namun, Ustaz Mat kelihatan gembira sahaja sewaktu berada di dalam zoo tersebut & ini telah memaksa aku menyembunyikan rasa ketidaksenangan aku. Hahaha.

Selepas hampir sejam kami menghabiskan masa di dalam zoo tersebut & setelah menunaikan solat Asar di sebuah surau yang terdapat di dalamnya, kami meneruskan perjalanan kami dengan menaiki kereta menuju ke tebing Sungai Nil. Kami akan menyusuri Sungai Nil dengan menaiki bot. Harga tambang tersangatlah murah. Namun, penyusuran kami tidaklah begitu lama. Hanya 15 minit sahaja. Namun, aku berasa puas kerana dapat menyusuri sungai yang merupakan sungai yang terpanjang di dunia. Bangga rasanya. Hahaha. Sewaktu menyusuri Sungai Nil ini, kami sempat bergambar berlatar belakangkan Cairo Tower yang merupakan sebuah menara televisyen yang terletak di atas sebuah pulau yang bernama Gezira yang terletak di tengah-tengah Sungai Nil. Menara ini mempunyai ketinggian 43 meter lebih tinggi daripada ketinggian Pyramid of Khufu. Cairo Tower ini siap dibina pada tahun 1961 & di atasnya terdapat sebuah restoran berputar. Dari atas menara ini, hampir seluruh kota Kaherah dapat diperhatikan.


Sungai Nil, Kaherah, Mesir



Sungai Nil, Kaherah, Mesir



Sungai Nil, Kaherah, Mesir



Di atas bot menyusuri Sungai Nil, Kaherah, Mesir



Di atas bot menyusuri Sungai Nil, Kaherah, Mesir



Berlatar belakangkan Cairo Tower sewaktu menaiki bot menyusuri Sungai Nil, Kaherah, Mesir



Cairo Tower, Kaherah, Mesir

Selepas menaiki bot menyusuri Sungai Nil, aku & Tok Wan dibawa pula ke Masjid Al-Azhar, antara masjid yang paling agung dalam sejarah Islam di bumi Kaherah. Masjid ini siap dibina pada tahun 971 sewaktu Mesir di bawah pemerintahan kerajaan Fatimiyah. Masjid ini terletak berhampiran dengan Universiti Al-Azhar, salah sebuah universiti yang ternama dalam dunia Islam.


Masjid Al-Azhar, Kaherah, Mesir



Masjid Al-Azhar, Kaherah, Mesir



Masjid Al-Azhar, Kaherah, Mesir



Masjid Al-Azhar, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Al-Azhar, Kaherah, Mesir

Selepas bergambar di dalam & di luar masjid yang terkenal & bersejarah ini, kami menuju pula ke Masjid Saidina Hussin yang terletak berdekatan dengan Masjid Al-Azhar. Masjid Saidina Hussin ini adalah antara masjid yang terpenting & tersuci dalam seluruh negara Mesir. Hanya orang-orang Islam sahaja dibenarkan masuk ke dalamnya.

Masjid yang baru ini siap dibina pada tahun 1870 sewaktu Kaherah berada di bawah pentadbiran wizurai Empayar Turki Uthmaniyah yang bernama Ismail Pasha. Ianya dibina di atas tapak sebuah masjid lama yang dibina pada awal kurun ke-12 sewaktu Mesir di bawah pemerintahan kerajaan Fatimiyah yang bermazhab Syi’ah. Masjid tersebut kemudiannya mengalami banyak pembaharuan selepas Kaherah berada di bawah pemerintahan kerajaan Ayyubiyah & seterusnya Turki Uthmaniyah.

Masjid Saidina Hussin ini sebenarnya menempatkan sebuah makam yang menyimpan kepala Saidina Hussin r.a, cucu kepada Rasulullah s.a.w yang dibawa ke sini dari Karbala, Iraq pada tahun 1153. Badannya pula masih kekal di Karbala, Iraq. Seperti yang kita semua maklumi, Saidina Hussin r.a telah terbunuh dalam Perang Karbala yang berlaku pada tahun 680 pada tarikh 10 Muharram. Disebabkan itulah, pada tarikh 10 Muharram setiap tahun, kawasan Masjid Saidina Hussin ini akan dipenuhi dengan penduduk-penduduk Kaherah terutamanya yang bermazhab Syi’ah bagi mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Hussin r.a.


Masjid Saidina Hussin, Kaherah, Mesir



Di dalam Masjid Saidina Hussin, Kaherah, Mesir



Makam yang menempatkan kepala Saidina Hussin r.a, Kaherah, Mesir

Selepas menghadiahkan Al-Fatihah kepada Saidina Hussin r.a, kami dibawa oleh Ustaz Mat kembali ke Rumah Perlis kerana hari sudah hampir senja. Kami akan berjumpa semula dengannya pada esok pagi untuk menyambung ekspedisi penerokaan kota Kaherah. Selepas solat Maghrib & Isyak, aku & Tok Wan pun terus melelapkan mata.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP