SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG XIII)

>> Saturday, May 05, 2007



Selepas bergambar dengan batu yang berbentuk seperti lembu tersebut, kami pun meneruskan perjalanan kami. Tempat seterusnya yang kami jejaki ialah sebuah makam yang dipercayai sebagai makam Nabi Saleh a.s. Nabi Saleh a.s diutuskan oleh Allah s.w.t kepada kaum Tsamud yang mahir dalam seni membelah dan memahat gunung-ganang. Namun, mereka tidak menyembah Allah s.w.t, sebaliknya mereka menyembah berhala. Nabi Saleh a.s telah berdakwah mereka, namun hanya sedikit sahaja yang mengikuti baginda & yang lainnya meminta baginda menunjukkan mukjizat jika baginda benar-benar pesuruh Allah s.w.t.

Allah s.w.t kemudiannya memunculkan seekor unta betina dari sebalik sebuah batu besar. Unta tersebut sihat & mengeluarkan susu yang tidak pernah habis. Nabi Saleh a.s meminta kaumnya agar jangan mengganggu unta tersebut. Namun, kaumnya tetap mengkhianati baginda. Unta itu dibunuh oleh 2 orang pemuda kaum tersebut. Setelah mengetahui tentang pembunuhan unta itu, Nabi Saleh a.s memberi waktu kepada kaumnya selama 3 hari agar mereka bertaubat. Akan tetapi, mereka tetap berdegil. Nabi Saleh a.s & pengikutnya kemudian meninggalkan kota tersebut. Sepeninggalan baginda & pengikutnya, Allah s.w.t telah mengazab kaum Tsamud yang degil tersebut dengan guruh & halilintar yang amat dahsyat sehingga kota mereka hancur-lebur menjadi debu. MasyaAllah.

Berhampiran dengan makam Nabi Saleh a.s, terdapat sebuah lagi makam. Kami tidak pasti milik siapakah makam tersebut. Apa yang pastinya, kedua-dua makam tersebut tidak dijaga dengan rapi oleh kerajaan Mesir. Sedih sungguh kami melihatnya.


Makam Nabi Saleh a.s, Semenanjung Sinai, Mesir



Makam Nabi Saleh a.s, Semenanjung Sinai, Mesir



Makam Nabi Saleh a.s, Semenanjung Sinai, Mesir

Kami seterusnya meneruskan perjalanan ke Hamam Firaun yang terletak di persisiran pantai Teluk Suez. Ianya adalah rumah mandi air panas semulajadi yang terletak di dalam sebuah gua kecil. Untuk masuk ke dalamnya, kami terpaksa merangkak. Udara di dalam rumah mandi semulajadi itu sememangnya agak panas. Subhanallah. Menurut cerita penduduk tempatan, ianya merupakan tempat di mana Firaun menyembuhkan penyakit rheumatismanya.


Hamam Firaun, Semenanjung Sinai, Mesir



Hamam Firaun, Semenanjung Sinai, Mesir

Kemudiannya, kami bergerak menuju ke kawasan yang merupakan medan pertempuran Perang Oktober yang berlaku pada tahun 1973. Kami telah dibawa mengelilingi kawasan ini oleh seorang askar tempatan yang bertugas di sini. Bahasa Inggeris beliau agak bagus. Beliau banyak menerangkan kepada kami tentang apa yang berlaku sewaktu peperangan tersebut & beliau juga turut menunjukkan beberapa peralatan yang digunakan sewaktu peperangan itu. Selepas itu, kami pun terus beransur pulang semula ke Kaherah. Sewaktu dalam perjalanan ke Kaherah, kami singgah dahulu di sebuah restoran untuk makan tengah hari & kemudiannya di sebuah masjid untuk menunaikan solat jamak Zohor & Asar. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan pulang ke Kaherah. Sudah banyak tempat di Semenanjung Sinai yang telah kami jejaki & kami berasa amat puas.


Medan pertempuran Perang Oktober, Semenanjung Sinai, Mesir



Medan pertempuran Perang Oktober, Semenanjung Sinai, Mesir

Kami tiba di Kaherah lebih kurang pada pukul 5.00 petang. Kami mengucapkan terima kasih kepada pemandu van yang berbangsa tempatan tersebut & tidak lupa kepada Ustaz Azhari yang telah menjadi pemandu pelancong yang sangat kami kagumi. Tanpa beliau, trip kami ke Semenanjung Sinai sudah tentunya tidak akan bermakna. Setibanya kami di Rumah Perlis, aku & Tok Wan terus masuk ke dalam bilik kami untuk berehat-rehat. Penat sungguh rasanya.

Sementara itu, Acab, Johan & Ahmad pula dibawa oleh Ustaz Azhari ke sebuah stesen bas di kota Kaherah kerana mereka bertiga akan ke Jordan pada malam nanti. Mereka akan menaiki bas ke Nuweiba yang terletak di Semenanjung Sinai & dari situ, mereka akan menaiki feri ke Aqaba, Jordan. Aku & Tok Wan yang pada mulanya bercadang untuk ke Jordan terpaksa membatalkan hajat kami kerana kesuntukan masa. Banyak lagi tempat di Kaherah yang belum kami jejaki. Aku sebenarnya tersangat ingin menjejakkan kaki di bumi Jordan. Namun, apakan daya. Allah s.w.t Maha Berkuasa menentukan segalanya.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP