BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XVI) - LJuBLJaNa I

>> Wednesday, January 27, 2010



Ljubljana terletak di titik pertemuan Sungai Ljubljanica & Sungai Sava. Ia merupakan ibu kota & juga bandar terbesar di dalam Slovenia. Ia terletak di tengah-tengah negara ini & mempunyai jumlah penduduk seramai 280,000 orang. Disebabkan kedudukan geografinya, Ljubljana merupakan pusat pertembungan kebudayaan Jerman, Latin & Slav pada suatu masa dahulu.


Peta kedudukan Ljubljana dalam Slovenia

Menurut sejarah, kota ini telah diduduki oleh orang-orang Veneti, Illyria & Celtic sebelum ia jatuh ke tangan Empayar Rom pada kurun pertama Masihi. Seterusnya, pada tahun 452, selepas kejatuhan Empayar Rom, kota ini diserang oleh tentera Han & Attila yang berasal dari Asia Tengah. Pada kurun ke-6, barulah orang-orang Slovene berpindah ke sini secara beramai-ramai. Seterusnya, pada kurun ke-9, kota ini jatuh pula ke tangan kerajaan Frank. Kemudiannya, pada tahun 1278, Ljubljana jatuh ke tangan pemerintahan Dinasti Habsburg yang memerintah Empayar Austria-Hungary. Antara tahun 1809 hingga 1813, kota ini berada di bawah pemerintahan Perancis pula yang pada waktu itu diketuai oleh Napoleon Bonaparte. Pada tahun 1813, Ljubljana kembali menjadi jajahan Empayar Austria-Hungary. Selepas kekalahan empayar tersebut dalam Perang Dunia Pertama, Ljubljana berada di bawah pemerintahan Slovenia yang kemudiannya bersatu dengan orang-orang Serb & Croat membentuk kerajaan Yugoslavia.

Sewaktu Perang Dunia Kedua, kota ini dicerobohi oleh tentera Fascisma Itali & kemudiannya oleh tentera Nazi Jerman. Selepas tamatnya perang tersebut, ia kembali berada di bawah pentadbiran Slovenia yang kemudiannya bergabung semula dengan Croatia & Serbia membentuk Republik Sosialis Yugoslavia. Selepas Slovenia mencapai kemerdekaan daripada republik itu, Ljubljana dijadikan ibu kota negara ini.

Lokasi pertama di Ljubljana yang aku kunjungi ialah Dragon Bridge, yang merupakan antara mercu tanda utama kota ini. Ia terletak berhampiran dengan sebuah dataran yang bernama Vodnik Square. Jambatan ini dibina merentangi Sungai Ljubljanica. Nama asalnya ialah Jubilee Bridge of the Emperor Franz Josef I. Akan tetapi, namanya kemudian ditukar menjadi Dragon Bridge kerana terdapatnya 4 buah patung naga di keempat-empat penjurunya. Naga-naga tersebut terdapat dalam kisah lagenda penduduk tempatan. Dragon Bridge ini mula dibina pada awal kurun ke-20 bagi menggantikan jambatan kayu yang telah roboh pada tahun 1895 akibat kejadian gempa bumi. Ia dibina sewaktu pemerintahan Maharaja Austria-Hungary yang bernama Franz Josef I, bersempena dengan ulangtahun ke-40 pemerintahannya.

Kerja-kerja pembinaan Dragon Bridge siap pada tahun 1901. Pada tahun 1985, jambatan ini diubahsuai bentuknya & pada tahun 2001, ulangtahun ke-100 pembinaan jambatan ini diraikan oleh penduduk tempatan. Dragon Bridge adalah antara jambatan yang tercantik di bumi Slovenia. Ia merupakan jambatan konkrit yang pertama dibina di Ljubljana & juga antara yang terawal di benua Eropah. Teknologi pembinaannya menjadi perhatian seluruh dunia.


Sungai Ljubljanica, Ljubljana, Slovenia


Dragon Bridge, Ljubljana, Slovenia


Dragon Bridge, Ljubljana, Slovenia

Selepas bergambar dengan Dragon Bridge, aku melintasinya untuk ke Vodnik Square. Dataran ini dinamakan bersempena dengan nama Valentin Vodnik, seorang paderi, jurnalis & sasterawan yang hidup sewaktu era Reformasi di benua Eropah. Di tengah-tengah dataran ini terdapat patungnya yang dibina pada tahun 1889. Pada zaman dahulu, terdapat sebuah sekolah di atas tapak Vlodnik Square ini. Walau bagaimanapun, kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 1895 telah merobohkan sekolah tersebut. Pada masa kini, kawasan ini dijadikan kawasan pasar yang dipenuhi oleh penduduk tempatan pada waktu pagi.


Vodnik Square, Ljubljana, Slovenia

Di kawasan Vodnik Square ini juga terdapat sederetan kedai yang mempunyai senibina yang unik yang terletak di pinggiran Sungai Lubljanica. Deretan kedai tersebut diberi nama Plecnik Colonnade. Ianya dibangunkan oleh tokoh arkitek tempatan yang banyak berjasa, iaitu Joze Plecnik. Terdapat pelbagai jenis barang dijual di kedai-kedai tersebut, terutamanya barangan berunsur makanan. Aku membeli beberapa jenis roti untuk dijadikan alas perut.


Plecnik Colonnade, Ljubljana, Slovenia


Plecnik Colonnade, Ljubljana, Slovenia

Selepas itu, aku menuju ke Ljubljana Castle yang terletak di atas puncak sebuah bukit yang diberi nama Castle Hill. Untuk ke istana tersebut, aku menaiki funikular. Stesen funikular tersebut terletak berhampiran dengan pasar di Vodnik Square. Setibanya aku di Ljubljana Castle, aku pun memulakan penjelajahan mengelilingi istana ini. Kewujudan istana ini telah disebut pada tahun 1144, di mana ianya merupakan kediaman pembesar orang-orang Carinthian. Pada kurun ke-15, ianya diperbesarkan dengan pembinaan benteng pertahanan yang lengkap berserta dengan menara pada pintu masuknya. Sebuah jambatan juga turut dibina di pintu masuk istana ini. Kemudian, pada kurun ke-16 & ke-17, beberapa lagi tambahan dibuat.

Walau bagaimanapun, lama-kelamaan istana ini mulai hilang kepentingannya. Pada kurun ke-19, ianya dijadikan sebagai penjara & pusat tahanan tentera. Ini menjadikan Ljubljana Castle ini semakin hilang popularitinya di kalangan penduduk tempatan. Kemudian, pada tahun 1905, istana ini diserahkan kepada majlis perbandaran & dijadikan pejabat mereka sehinggalah ke tahun 1960 apabila usaha untuk membaik pulih istana ini mula dijalankan. Kerja membaik pulih hanya siap sepenuhnya pada tahun 1995.

Istana ini pada masa kini sering dijadikan lokasi bergambar bagi pasangan pengantin yang baru berkahwin & juga lokasi majlis-majlis kebudayaan. Pada tahun 2006, landasan funicular mulai dibina & pada tahun 2007, barulah ianya dirasmikan & memulakan servisnya. Istana tersebut agak besar keluasannya. Dari atasnya, aku dapat menikmati panorama kota Ljubljana yang indah, lagi saujana mata memandang. Cantik sekali. Aku menghabiskan masa yang agak lama di Ljubljana Castle. Apabila sudah puas, aku pun turun semula ke kaki bukit dengan menaiki funikular.


Funikular untuk ke Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Funikular untuk ke Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia


Panorama kota Ljubljana dari Ljubljana Castle, Ljubljana, Slovenia

5 buah komen:

silversarina Wednesday, January 27, 2010 at 6:09:00 AM GMT+8  

Banyak jugak tempat bersejarah di Ljubijana , cantiknya .

JHaZKiTaRo Thursday, January 28, 2010 at 10:21:00 AM GMT+8  

muneer: insyaAllah nanti ada la rezeki tu.. HZ Travel dah buat trip gi Europe.. ape lagi.. hahah

makcik ina: byk laa jugak.. hehe

nza Saturday, January 30, 2010 at 4:09:00 PM GMT+8  

cantik sungguh pemandangan tu....terpegun dgn keindahan tu.

matahari Friday, February 5, 2010 at 8:32:00 PM GMT+8  

cantik sungguh...saya pernah ke Europe tahun 2003. Saya pergi ke German, Switzerland, Belgium, Amsterdam dan Paris..memang seronok.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP