BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XIV) - ZaGReB

>> Thursday, January 21, 2010



Dah lama tak update travelog di bumi Balkan. Mulai hari ini, insyaAllah aku akan update travelog ni sekerap yg mungkin. Travelog ini sudah lama disiapkan. Cuma menunggu giliran utk dipublish saje. :)

Hari 5: 15 MEI 2008

Lebih kurang pukul 6.50 pagi, aku pun tiba di stesen keretapi Zagreb setelah hampir 9½ jam perjalanan dengan keretapi dari Sarajevo. Setibanya aku di stesen keretapi tersebut, aku ternanti-nanti kedatangan pemilik-pemilik hostel yang ingin menawarkan hostel masing-masing. Namun, penantian aku sia-sia. Tiada sesiapa pun yang ingin menawarkan hostel seperti yang berlaku di Mostar & Sarajevo. Oleh itu, terpaksalah aku merujuk buku panduan ‘Eastern Europe’ terbitan Lonely Planet kepunyaan aku. Mujurlah aku berjaya menjumpai sebuah hostel yang murah. Setibanya aku di hostel tersebut, aku pun mendaftar masuk. Selepas itu, aku membersihkan diri & kemudiannya, barulah aku keluar untuk memulakan ekspedisi mengembara di kota Zagreb, Croatia.

Zagreb adalah ibu negara & juga bandar yang terbesar di negara Croatia. Ia juga merupakan pusat kebudayaan, sains & ekonomi bagi negara ini. Bandar yang terletak di pinggiran Sungai Sava ini mempunyai jumlah penduduk seramai 1,200,000 orang. 92% daripadanya berasal dari kaum etnik Croat. Yang selebihnya adalah dari kaum etnik Serb, Bosniak, Albania, Slovene, Roma, Montenegro & Macedonia.


Peta kedudukan Zagreb di dalam Croatia

Sejarah pengasasan Zagreb bermula dari kurun ke-11 hingga kurun ke-13. Bandar ini pada mulanya terbahagi kepada dua buah bandar, iaitu Kaptol & Gradec. Penduduk-penduduk di kedua-dua buah bandar ini sering bertelagah antara satu sama lain sehinggalah ketibaan Empayar Turki Uthmaniyah di sini pada kurun ke-15. Pada waktu itu, barulah mereka bersatu untuk menentang percubaan empayar itu untuk menawan kedua-dua buah bandar tersebut. Penyatuan kedua-dua bandar ini akhirnya membentuk bandar Zagreb & merupakan antara bandar di Croatia yang tidak jatuh ke tangan Empayar Turki Uthmaniyah.

Zagreb kemudiannya berada di bawah pemerintahan Empayar Austria-Hungary. Sewaktu di bawah pemerintahan empayar tersebut, ia turut memainkan peranan yang penting sebagai pusat intelektual & politik. Pada tahun 1991, selepas kemerdekaan Croatia daripada Republik Sosialis Yugoslavia, Zagreb dijadikan ibu kota negara ini.

Tempat pertama di Zagreb yang aku jejaki ialah Ban Jelačić Square, dataran utama yang terletak di tengah-tengah kota ini. Dataran ini telah wujud sejak kurun ke-17 lagi. Bangunan-bangunan yang terdapat di sekelilingnya mempunyai kepelbagaian bentuk senibina daripada berlainan zaman. Di tengah-tengah Ban Jelačić Square ini terdapat sebuah monumen yang bernama Ban Jelačić Statue yang didedikasikan kepada tokoh tempatan yang banyak berjasa, iaitu Ban Josip Jelačić. Beliau adalah antara pejuang utama sewaktu revolusi menentang kerajaan Hungary yang berlaku pada tahun 1848.

Ban Jelačić Statue ini diletakkan di sini pada tahun 1866 oleh kerajaan Austria. Namun, pada tahun 1947, selepas penubuhan Republik Sosialis Yugoslavia, monumen ini dipindahkan & nama dataran ini ditukar menjadi Republic Square. Hanya pada tahun 1990 selepas kemerdekaan Croatia, barulah monumen tersebut dikembalikan ke tempat asalnya & nama dataran ini kemudiannya turut ditukar kepada nama asalnya. Pada masa kini, Ban Jelačić Square merupakan antara tempat rekreasi utama penduduk tempatan Zagreb.


Ban Jelačić Square, Zagreb, Croatia


Ban Jelačić Square, Zagreb, Croatia


Ban Jelačić Statue, Zagreb, Croatia

Tempat seterusnya yang aku kunjungi ialah Zagreb Cathedral atau nama lainnya Cathedral of Assumption of the Blessed Virgin Mary. Gereja Roman Katolik setinggi 105 meter yang terletak di dalam bahagian Kaptol di bandar Zagreb ini adalah bangunan yang tertinggi di negara Croatia. Ianya adalah antara mercu utama bandar ini & boleh dilihat hampir dari segenap pelusuk bandar ini. Pembinaan gereja ini disiapkan pada awal kurun ke-11. Walau bagaimanapun, ianya runtuh akibat diserang oleh orang-orang Tartar pada tahun 1242 & dibina semula tidak berapa lama selepas itu. Kemudiannya, pada akhir kurun ke-15, sewaktu Empayar Turki Uthmaniyah dalam percubaan untuk menawan Zagreb, sebuah kubu pertahanan dibina di sekeliling tapak gereja ini. Sisa tinggalan kubu tersebut masih lagi terdapat di sini.

Pada tahun 1880, satu kejadian gempa bumi telah berlaku di sini, menyebabkan Zagreb Cathedral mengalami kerosakan yang teruk. Usaha-usaha untuk membaik pulih gereja ini dimulakan tidak lama selepas itu & ianya masih lagi dalam proses membaik pulih sehingga kini.


Zagreb Cathedral, Zagreb, Croatia


Zagreb Cathedral, Zagreb, Croatia

Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Dolac Market, sebuah pasar tani yang terletak di tengah-tengah di antara bahagian Kaptol & Gradec. Pasar tani ini adalah yang terkenal di kota Zagreb & sentiasa dipenuhi oleh penduduk tempatan. Pelbagai jenis makanan dijual di sini.


Dolac Market, Zagreb, Croatia

Selepas melihat telatah manusia di Dolac Market, aku ke bahagian Gradec pula yang terletak di atas sebuah bukit di kota ini. Untuk ke sana, aku menaiki funicular. Terdapat banyak monumen di bahagian Gradec ini. Monumen pertama yang aku lawati ialah Lotrscak Tower, sebuah menara tinjau yang dibina untuk mempertahankan bahagian Gradec daripada serangan musuh pada zaman dahulu. Ianya dibina pada kurun ke-13. Di puncaknya terdapat sebuah meriam yang diletupkan setiap hari pada waktu tengah hari.


Funicular untuk ke bahagian Gradec, Zagreb, Croatia


Funicular untuk ke bahagian Gradec, Zagreb, Croatia


Panorama kota Zagreb dari bahagian Gradec, Zagreb, Croatia


Panorama kota Zagreb dari bahagian Gradec, Zagreb, Croatia


Panorama kota Zagreb dari bahagian Gradec, Zagreb, Croatia


Lotrscak Tower, Zagreb, Croatia

Monumen seterusnya ialah St Catherine’s Church, gereja yang dibina pada kurun ke-17. Selepas itu, aku berjalan pula ke St Mark’s Church, gereja yang paling penting di kota Zagreb. Ianya terletak di St Mark’s Square. Gereja ini dibina pada kurun ke-13 & mempunyai rekaan bumbung yang sangat menarik. Berdekatan dengan gereja tersebut ialah Banski Dvori, sebuah bangunan lama yang dibina pada kurun ke-19. Pada zaman dahulu, ia merupakan kediaman bangsawan di sini. Selepas Croatia berada di bawah pentadbiran Republik Sosialis Yugoslavia, bangunan ini menjadi kediaman pentadbir Croatia. Apabila Croatia mencapai kemerdekaan, bangunan ini mula menjadi pusat pentadbiran kerajaan ini.


St Catherine’s Church, Zagreb, Croatia


St Mark’s Church, Zagreb, Croatia


Banski Dvori, Zagreb, Croatia

Selain itu, terdapat juga beberapa buah muzium yang terletak di bahagian Gradec ini seperti Croatian History Museum & Croatian Naïve Art Museum. Selepas puas berkelana di sekitar bahagian Gradec, aku kembali turun ke kaki bukit dengan menaiki funicular. Kemudian, aku berjalan kaki melalui beberapa buah bangunan yang tidak kurang pentingnya di kota Zagreb, iaitu Archaelogical Museum & Modern Gallery. Aku kurang pasti tentang sejarah bangunan-bangunan tersebut.


Archaelogical Museum, Zagreb, Croatia


Modern Gallery, Zagreb, Croatia

Lokasi seterusnya yang aku jejaki ialah Kralja Tomislava Square yang terletak berhampiran stesen keretapi Zagreb. Di dataran yang agak besar ini terdapat sebuah monumen yang aku tidak pasti tentang sejarahnya. Walau bagaimanapun, kawasan dataran ini juga adalah antara kawasan yang menjadi tumpuan utama penduduk tempatan. Selepas itu, aku berjalan jauh ke sebuah muzium yang bernama Mimara Museum yang menyimpan hasil-hasil lukisan pelukis-pelukis yang terkenal di dunia seperti Lorenzetti, Rafaello & Caravaggio. Lokasi seterusnya ialah Croatian National Theatre yang dibuka pada tahun 1895, sewaktu pemerintahan Empayar Austria-Hungary di kota ini.


Kralja Tomislava Square, Zagreb, Croatia


Kralja Tomislava Square, Zagreb, Croatia


Stesen keretapi Zagreb, Croatia


Mimara Museum, Zagreb, Croatia


Croatian National Theatre, Zagreb, Croatia

Croatian National Theatre adalah lokasi terakhir yang aku lawati di bumi Zagreb. Aku seterusnya kembali ke hostel untuk berehat-rehat sementara menunggu malam. Sewaktu berada di dalam bilik dorm yang aku tumpangi, aku berbual-bual dengan 3 orang ahli dorm yang lain. Dua daripada mereka berasal dari Amerika Syarikat, sementara seorang lagi berasal dari Dublin, Ireland. Hahaha. Tak sangka pula aku dapat bertemu dengan orang Dublin. Mereka bertiga kemudiannya keluar meninggalkan aku keseorangan di dalam bilik tersebut. Aku pun kemudiannya melelapkan mata.

Apabila tiba waktu malam, aku pun mulai bangun. Selepas solat, aku keluar untuk mencari makanan. Aku menikmati makan malam di restoran MacDonald’s. Selepas makan, aku bersiar-siar menghirup udara malam kota Zagreb. Apabila sudah puas menghirup udara malam kota ini, aku pun kembali semula ke hostel untuk melelapkan mata.

1 buah komen:

Blogger Saturday, July 15, 2017 at 12:12:00 PM GMT+8  

QUANTUM BINARY SIGNALS

Get professional trading signals delivered to your mobile phone every day.

Start following our trades NOW & gain up to 270% per day.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP