BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XV) - SLoVeNia

>> Friday, January 22, 2010



Hari 6: 16 MEI 2008

Awal-awal pagi lebih kurang pukul 5.30 pagi, aku sudah pun membuka mata. Selepas selesai menunaikan kewajipan solat Subuh, membersihkan diri & sebagainya, aku terus berjalan menuju ke stesen keretapi Zagreb. Destinasi seterusnya dalam pengembaraan aku di bumi Balkan ialah Ljubljana, Slovenia. Keretapi yang aku naiki dari Zagreb mulai bertolak pada pukul 7.00 pagi. Perjalanan ke Ljubljana mengambil masa selama 2¼ jam.

Lebih kurang pukul 9.15 pagi, aku pun tiba di stesen keretapi Ljubljana. Setibanya aku di stesen keretapi tersebut, aku terus mencari lokasi hostel yang aku rujuk di dalam buku panduan aku. Agak susah juga untuk mencarinya kerana kedudukannya yang agak tersembunyi. Setelah puas mencari, akhirnya ketemu juga aku dengan hostel yang dicari. Selepas mendaftar masuk, aku pun meletakkan barang-barang aku di dalam bilik dorm di mana aku ditempatkan. Kemudian, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Ljubljana, Slovenia ini.

Slovenia adalah negara ketiga yang aku jejaki dalam pengembaraan aku di rantau Balkan. Negara ini disempadani oleh Itali di bahagian barat, Croatia di bahagian selatan & timur, Hungary di bahagian timur laut & Austria di bahagian utara. Bahagian barat dayanya pula adalah persisiran pantai yang menghadap Laut Adriatik. Negara ini adalah salah satu anggota Kesatuan Eropah & menggunakan matawang Euro. Penduduknya berjumlah 2,050,000 orang & bahasa kebangsaan mereka adalah Bahasa Slovene. Kaum etnik Slovene yang beragama Kristian Katolik adalah kaum etnik majoriti yang tinggal di negara ini, iaitu 83% daripada jumlah penduduknya. Yang selebihnya ialah kaum etnik Serb, Croat, Bosniak, Montenegrin & Macedonia. Sistem pentadbiran yang diamalkan di negara Slovenia adalah sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri.


Peta kedudukan Slovenia dalam Eropah


Peta Slovenia


Bendera Slovenia

Hampir separuh daripada negara ini dilitupi oleh hutan, menjadikannya negara ketiga di Eropah yang mempunyai simpanan hutan semulajadi yang terbesar, selepas Finland & Sweden. Disebabkan itu, ramai pelancong luar datang ke sini untuk menikmati keindahan alam semulajadi yang terdapat di sini.

Menurut sejarah, orang-orang Slav dari kaum etnik Slovene telah mula menetap di Slovenia mulai kurun ke-6 lagi. Mereka kemudiannya mengasaskan sebuah kerajaan yang diberi nama Carantania pada kurun ke-7. Tidak berapa lama kemudian, tanah mereka telah ditawan oleh kerajaan Bavaria & Frank. Pada waktu itulah ramai antara mereka mula memeluk ajaran Kristian Katolik. Tanah Slovenia ini kemudiannya diperintah oleh Empayar Holy Rom & kemudiannya oleh Empayar Austria-Hungary sehinggalah ke tahun 1918 apabila Empayar Austria-Hungary mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Pertama.

Orang-orang dari kaum etnik Slovene ini kemudiannya bersatu dengan orang-orang dari kaum etnik Serb & Croat untuk menubuhkan kerajaan Yugoslavia. Sewaktu Perang Dunia Kedua tercetus, Slovenia telah dicerobohi oleh tentera Nazi Jerman, Itali & Hungary. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Slovenia kembali bersatu dengan Serbia & Croatia untuk membentuk Republik Sosialis Yugoslavia. Kerana ketidakpuasan hati dengan kelebihan kuasa yang dinikmati oleh orang-orang dari kaum etnik Serb di Belgrade, Slovenia akhirnya mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1991 dengan pertumpahan darah yang tidak begitu teruk.

2 buah komen:

Anonymous Sunday, March 3, 2013 at 10:09:00 AM GMT+8  

buy valium valium 10mg dosagem - buy valium vietnam

Anonymous Friday, May 24, 2013 at 5:17:00 AM GMT+8  

Heya i'm for the first time here. I came across this board and I to find It really useful & it helped me out a lot. I am hoping to present something again and aid others like you aided me.

My blog post ... click here

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP