SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG XXIII/aKHiR)

>> Tuesday, July 24, 2007



Pada waktu malamnya, aku, Tok Wan, Yeop, Acab, Johan & Ahmad dijemput oleh seorang ustaz yang bernama Fauzi untuk ke rumahnya. Kami berenam berjalan kaki ke sana. Rumahnya tidaklah terlampau jauh dari Rumah Perlis. Ustaz Fauzi ini sebenarnya sering berkunjung ke Dublin setiap tahun untuk menjadi penceramah utama dalam program Deen Intensive Dublin (DID) yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia Ireland (PPIMI) pada bulan May & June setiap tahun.

Di rumahnya, kami dijamu dengan nasi ayam yang dimasak oleh isterinya. Boleh tahan sedapnya. Selepas makan & berbual panjang, kami berlima pun beransur pulang. Aku, Yeop & Tok Wan berjalan kaki ke Rumah Perlis, sementara Acab, Johan & Ahmad menaiki teksi ke Rumah Malaysia Abbasiyah. Aku perlu mengemas barang-barang aku kerana aku akan bertolak ke Lapangan Terbang Kaherah pada pukul 12.00 tengah malam nanti. Penerbangan Malev Hungarian Airlines ke Budapest akan bertolak pada pukul 4.15 pagi ini. Acab & Ahmad juga akan meninggalkan Kaherah pada awal pagi ini. Kami akan berjumpa di Rumah Malaysia Abbasiyah untuk bersama-sama menuju ke lapangan terbang. Kami meminta pertolongan Ustaz Mat untuk membawa kami ke lapangan terbang.


Di rumah Ustaz Fauzi di Kaherah, Mesir

Setelah semuanya sudah siap, aku pun mengambil beberapa keping gambar di dalam bilik tumpangan kami di Rumah Perlis ini untuk dijadikan kenangan. Aku juga mengambil sekeping gambar bersama Ustaz Nazim, penjaga Rumah Perlis yang banyak berjasa kepada aku & Tok Wan sepanjang kami menumpang di Rumah Perlis. Selepas bergambar, aku pun membawa beg-beg aku ke luar Rumah Perlis untuk menunggu Ustaz Mat. Tidak berapa lama selepas itu, Ustaz Mat pun tiba. Aku mengucapkan selamat tinggal kepada Tok Wan. Dia akan pulang ke Dublin dalam jangka masa 2 hari lagi. Dia akan pulang bersama-sama Johan. Aku juga mengucapkan selamat tinggal kepada Ustaz Nazim. Begitu juga dengan penghuni-penghuni Rumah Perlis yang lain. Aku sudah pastinya akan merindui mereka semua. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada mereka semua, aku & Ustaz Mat pun bergerak ke Rumah Malaysia Abbasiyah untuk mengambil Acab & Ahmad pula. Sesampainya kami di situ, aku berjumpa dengan beberapa penghuni Rumah Malaysia Abbasiyah seperti Faizal & Faisal yang turut banyak membantu kami sepanjang kami berada di bumi Kaherah. Jasa-jasa mereka akan sentiasa aku kenang. Selepas mengucapkan selamat tinggal, kami berempat pun terus menuju ke Lapangan Terbang Kaherah.


Di dalam bilik tumpangan di Rumah Perlis, Kaherah, Mesir



Di dalam bilik tumpangan di Rumah Perlis, Kaherah, Mesir



Bersama dengan Ustaz Nazim di Rumah Perlis, Kaherah, Mesir

Hari 16 (Akhir): 16 OGOS 2006

Sesampainya kami di lapangan terbang tersebut, Ustaz Mat meninggalkan aku & Ahmad di Terminal 1 di mana penerbangan kami akan berlepas. Sementara penerbangan Acab akan berlepas di Terminal 3. Aku sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustaz Mat. Selepas itu, aku & Ahmad pun terus berjalan masuk ke Terminal 1. Sewaktu kami berjalan seiringan, Ahmad tiba-tiba memberitahu aku bahawa dia bukanlah hendak pulang ke Dublin, tetapi dia hendak ke Khartoum, Sudan untuk berjumpa dengan ayahnya. Ya Allah. Aku benar-benar terkejut. Aku fikirkan dia akan pulang ke Dublin pada malam ini. Di dalam terminal tersebut, kami pun berpisah menuju ke kaunter pendaftaran masuk masing-masing. InsyaAllah kami akan berjumpa semula di Dublin nanti. Selepas mendaftar masuk, aku pun menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Beberapa lama selepas menunggu, akhirnya penumpang-penumpang pun mulai dibenarkan masuk. Penerbangan Malev Hungarian Airlines ke Budapest itu berlepas pada pukul 4.15 pagi. Perjalanan ke Budapest mengambil masa lebih kurang 3¼ jam.

Setibanya aku di Lapangan Terbang Budapest Ferihegy lebih kurang pada pukul 6.30 pagi, aku perlu menunggu 12½ jam lagi untuk menaiki penerbangan Malev Hungarian Airlines ke Dublin. Aku menghabiskan masa di lapangan terbang tersebut dengan membaca buku 'Angels & Demons' yang aku beli di sini. Selepas 12½ jam menunggu, akhirnya, tamatlah penantian aku. Penerbangan tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Budapest Ferihegy pada pukul 7.00 petang. Perjalanan mengambil masa hampir 3 jam lamanya. Aku tiba di Lapangan Terbang Dublin lebih kurang pukul 9.00 malam. Alhamdulillah. Aku akhirnya selamat tiba di Dublin semula.

Pengalaman selama hampir 16 hari di bumi Mesir ini tersangatlah berharga bagi diri aku. Inilah pengalaman pertama aku menjejakkan kaki di rantau Timur Tengah di mana hampir kesemua penduduknya bertutur dalam Bahasa Arab. Walaupun orang-orangnya agak kasar, namun mereka tetap baik hati & menghormati pelancong-pelancong Islam dari negara lain. Khazanah-khazanah & senibina-senibina yang terdapat di bumi Mesir dari zaman Mesir Purba, ke zaman Islam, sehinggalah ke zaman moden juga tersangatlah unik & lain daripada apa yang pernah aku lihat sebelum ini. Mesir sememangnya bumi yang kaya. InsyaAllah, aku akan ke sini lagi suatu hari nanti untuk menerokai lebih banyak lagi khazanah-khazanah yang terdapat di sini.

TAMAT

p/s: Pergghhh.. Akhirnya tamat juga travelogue Mesir aku setelah meleret-leret selame berbulan-bulan lamanya. Korang sure penat membaca kan? Hihihihi. Ape2 pun, aku harap korang semua enjoy membaca travelogue Mesir aku & semoga korang byk mendapat informasi drp apa yg aku tulis. Mesir mmg best!! Korang kene gi sane, baru la korang rase ke'best'annya.. Esok pagi insyaAllah aku akan ke Bangkok dgn abah aku utk 2 hari. Aku akan balik semula ke tanah air Msia pd waktu pagi Hari Khamis. So, till then, enjoy yourselves & doakan keselamatan aku & abah aku di Bangkok, ok.. Harap2nye tak hujan laa. Huhuhu. OK. Wassalam.....

1 buah komen:

Amermeftah Wednesday, November 2, 2011 at 8:41:00 AM GMT+8  

mungkin masa yg suntuk, rugi sedara tak sempat ke Islamic Cairo, buleh tgk city wall dgn gate nya dan byk masjid2 dlm tu

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP