SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG XXI)

>> Wednesday, July 18, 2007



Hari 14: 14 OGOS 2006

Awal-awal pagi lagi, aku, Tok Wan & Ustaz Mat bergerak menuju ke destinasi kami pada hari ini iaitu bandar Faiyum, yang terletak tidak berapa jauh dari bandar Kaherah. Perjalanan ke Faiyum dari Kaherah dengan menaiki kereta mengambil masa lebih kurang 1½ jam. Faiyum adalah kawasan yang subur & merupakan oasis yang terbesar di bumi Mesir. Pelbagai jenis perusahaan pertanian dikerjakan di sini. Tujuan utama kami ke Faiyum adalah untuk melihat dengan mata sendiri Tasik Qarun yang amat terkenal di sini. Keluasan tasik ini adalah 214 kilometer persegi dengan kedalaman sedalam 8 meter.

Menurut kisah penduduk tempatan, di tasik inilah wujudnya kota Qarun yang telah ditenggelamkan oleh Allah s.w.t beribu-ribu tahun yang lalu. Qarun sebenarnya adalah salah seorang daripada kaum Nabi Musa a.s & Allah s.w.t telah mengurniakan kekayaan yang tidak terhingga kepadanya. Kekayaannya melimpah ruah sehingga membolehkannya membina kotanya sendiri. Walau bagaimanapun, Qarun akhirnya menjadi tamak, bongkak & kedekut. Dia lupa bahawa nikmat yang diperolehinya adalah daripada Allah s.w.t. Disebabkan keegoannya, Allah s.w.t akhirnya menenggelamkan segala kekayaannya & terbentuklah Tasik Qarun seperti yang kita dapat lihat pada hari ini. Sesetengah penduduk tempatan percaya bahawa harta-harta Qarun masih lagi tersembunyi di dasar tasik berkenaan. Wallahu ‘alam. Kisah tentang Qarun & harta-hartanya ada disebut di dalam Al-Quran:

'Sesungguhnya Qarun adalah dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya, "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu). Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."

Qarun menjawab (dengan sombongnya), "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku." (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya). Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia, "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik." Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka), "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar."

Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun mulai sedar sambil berkata, "Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dialah juga yang menyempitkannya; kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!"' (Surah Al-Qasas: Ayat 76-82)


Setibanya kami bertiga di Tasik Qarun, kami mengambil kesempatan untuk menaiki sampan ke tengah-tengah tasik tersebut. Sampan itu didayung oleh seorang penduduk tempatan. Bayarannya amat murah.


Dalam perjalanan ke Faiyum, Mesir



Tasik Qarun, Faiyum, Mesir



Tasik Qarun, Faiyum, Mesir



Tasik Qarun, Faiyum, Mesir



Tasik Qarun, Faiyum, Mesir

Selepas puas bergambar & mengambil pengajaran daripada kisah Qarun, kami bertiga bergerak menuju ke pusat bandar Faiyum. Ustaz Mat membawa kami ke sebuah kawasan di mana terdapat mata air semulajadi. Kandungan mata air tersebut kaya dengan zat-zat nutrien yang amat baik untuk kesihatan manusia. Berhampiran dengan mata air tersebut terdapat gerai-gerai menjual buah mangga. Ustaz Mat membeli beberapa kilogram buah mangga untuk dibawa pulang ke Kaherah. Harga buah-buah mangga tersebut murah-murah belaka.


Mata air semulajadi di Faiyum, Mesir



Mata air semulajadi di Faiyum, Mesir

Selepas itu, kami dibawa pula ke kincir air yang terdapat di pusat bandar Faiyum. Teknologi kincir air sebenarnya sudah lama wujud di bumi Mesir sejak beribu-ribu tahun dahulu & ianya masih lagi digunakan sehingga kini. Selepas bergambar dengan kincir air tersebut, kami bertiga pun terus pulang ke Kaherah. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1½ jam. Sesampainya kami di Kaherah, kami makan tengah hari di sebuah restoran makanan segera. Selepas itu, kami pun pulang semula ke Rumah Perlis. Trip kami pada hari ini agak singkat, namun penuh dengan kepuasan. Acab, Johan & Ahmad sudah pun kembali ke Kaherah selepas beberapa hari mereka bertiga mengembara di negara Jordan.


Kincir air di Faiyum, Mesir



Kincir air di Faiyum, Mesir

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP