SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG XXII)

>> Saturday, July 21, 2007



Hari 15: 15 OGOS 2006

Hari ini adalah hari terakhir aku di Mesir sebelum aku pulang ke Dublin pada awal pagi esoknya. Destinasi pertama aku & Tok Wan pada hari ini ialah Makam Anwar Sadat. Beliau adalah Presiden Mesir yang ke-3 yang berkuasa di Mesir dari tahun 1970 sehingga tahun 1981. Beliau adalah antara nama yang paling agung dalam sejarah Mesir moden. Anwar Sadat telah menyertai revolusi pada tahun 1952 untuk menggulingkan Raja Mesir pada waktu itu iaitu Raja Farouk I. Pada tahun 1964, sewaktu Mesir di bawah pemerintahan Presiden yang bernama Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat telah dilantik sebagai Timbalan Presiden. Akhirnya, selepas kematian Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat pun dilantik sebagai Presiden Mesir pada tahun 1970. Sewaktu di bawah pemerintahan Anwar Sadatlah berlakunya peperangan antara Mesir & Israel, iaitu Perang Oktober yang berlaku pada tahun 1973. Walau bagaimanapun, Anwar Sadat akhirnya telah menandatangani perjanjian pendamaian antara Mesir & Israel.

Pada tarikh 6 Oktober 1981, sewaktu perarakan ulangtahun perayaan 6 Oktober di Kaherah, Anwar Sadat telah dibunuh oleh seorang pembunuh upahan. Pembunuhan tersebut telah dirancang oleh pertubuhan Egyptian Islamic Jihad yang membantah tindakan Anwar Sadat berdamai dengan negara Israel. Selepas kematian Anwar Sadat, pucuk kepimpinan Mesir diambil alih oleh Hosni Mubarak. Selepas menziarahi makam Anwar Sadat, kami bergambar pula di hadapan cawangan Universiti Al-Azhar yang terletak tidak jauh dari makam tersebut. Bangunan-bangunan di situ kelihatan baru, tidak seperti di Midan Al-Hussin.


Anwar Sadat



Makam Anwar Sadat, Kaherah, Mesir



Makam Anwar Sadat, Kaherah, Mesir



Makam Anwar Sadat, Kaherah, Mesir



Cawangan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir

Kemudian, kami dibawa pula oleh Ustaz Mat ke Egyptian Museum, muzium yang mempamerkan khazanah-khazanah Mesir Purba yang paling berharga di seluruh dunia. Untuk masuk ke dalam muzium ini, kami perlu membeli tiket yang harganya tidaklah semahal mana. Ustaz Mat tidak masuk bersama. Hanya aku & Tok Wan sahaja yang masuk ke dalam muzium ini. Pelawat-pelawat tidak dibenarkan membawa kamera masuk ke dalam muzium tersebut. Oleh itu, kami meminta Ustaz Mat untuk menjaga kamera-kamera kami.


Egyptian Museum, Kaherah, Mesir



Di hadapan Egyptian Museum, Kaherah, Mesir

Lebih daripada 200,000 buah khazanah berharga Mesir Purba dipamerkan di sini. Muzium yang pertama di Mesir telah diasaskan oleh seorang warganegara Perancis yang bernama Auguste Mariette pada tahun 1863. Muzium tersebut kemudiannya semakin diperbesarkan & akhirnya ia terpaksa dipindahkan ke lokasi sekarang pada tahun 1902. Pelbagai khazanah Mesir Purba dapat kami lihat di dalam muzium ini. Tidak terkira banyaknya. Khazanah Mesir Purba yang paling berharga di dalam muzium ini ialah khazanah-khazanah yang diperolehi dari makam Firaun yang bernama Tutankhamun yang terletak di Valley of the Kings di bandar Luxor, Mesir. Khazanah-khazanah tersebut digali pada tahun 1923 & kemudiannya dibawa ke muzium ini untuk dipamerkan di bahagian Tutankhamun Galleries. Khazanah-khazanah yang terdapat di Tutankhamun Galleries ini amat bernilai sekali. Yang paling mengagumkan ialah topeng mumia Tutankhamun yang diperbuat daripada emas tulen. Begitu juga dengan kerandanya. Kagum sekali kami melihatnya.


Topeng mumia Tutankhamun di Tutankhamun Galleries di dalam Egyptian Museum, Kaherah, Mesir



Keranda Tutankhamun di Tutankhamun Galleries di dalam Egyptian Museum, Kaherah, Mesir

Kami kemudiannya masuk pula ke dalam Royal Mummy Room. Pelawat-pelawat perlu membeli tiket lain untuk masuk ke dalamnya. Harganya tidaklah terlampau mahal. Di dalam bilik tersebut terkandung mumia-mumia Firaun yang masyhur seperti Tuthmosis II, Seti I & juga Ramses II yang merupakan Firaun yang bermusuhan dengan Nabi Musa a.s. Mumia-mumia tersebut masih lagi utuh & tidak reput walaupun usia mumia-mumia itu sudah pun menjangkau lebih 3,000 tahun. MasyaAllah. Begitu hebat sekali ilmu pengawetan mayat masyarakat zaman Mesir Purba. Aku & Tok Wan berasa sangat beruntung kerana dapat melihat mumia-mumia tersebut dengan mata kami sendiri. Yang paling membanggakan ialah kami dapat melihat sendiri rupa Ramses II, Firaun yang menjadi musuh Nabi Musa a.s.


Royal Mummy Room di dalam Egyptian Museum, Kaherah, Mesir



Royal Mummy Room di dalam Egyptian Museum, Kaherah, Mesir



Mumia Ramses II di Royal Mummy Room di dalam Egyptian Museum, Kaherah, Mesir

Selepas menghabiskan masa lebih 2 jam di dalam Egyptian Museum, kami ke Khan Al-Khalili sekali lagi untuk membeli-belah buat kali terakhir. Selepas itu, barulah kami kembali ke Rumah Perlis. Memandangkan trip kami sudah pun tamat secara rasminya pada hari ini, kami mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Ustaz Mat yang telah menjadi pemandu pelancong kami sepanjang kami berada di bumi Mesir. Jasa beliau akan kami kenang sampai bila-bila. Kami juga turut dikunjungi oleh Ustaz Arif pada waktu petang hari ini. Beliau menghadiahkan kami masing-masing sebotol minyak atar. Kami turut mengucapkan terima kasih kepadanya kerana merancang jadual perjalanan kami di bumi Mesir. InsyaAllah, kami akan mempromosikan agensi pelancongan beliau di Ireland nanti. Kami yakin, ramai lagi pelajar Malaysia di Ireland yang berminat untuk ke Mesir.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP