SPRiNG iN NeW ZeaLaND - PaRT II (PRoLoGue II)

>> Wednesday, November 06, 2013



HARI 2 (KHAMIS, 17 OKTOBER 2013)

Lebih kurang pukul 9.50 pagi waktu tempatan New Zealand pada tarikh 17 Oktober 2013 (sehari selepas aku menaiki pesawat dari Singapore), barulah pesawat Jetstar yang aku naiki tiba di Auckland Airport. Waktu tempatan New Zealand adalah 5 jam lebih awal berbanding waktu tempatan Malaysia & Singapore. Malaysia & Singapore pada waktu tu baru pukul 4.50 pagi. Hati aku tersangatlah excited di kala hendak keluar daripada pesawat. Tak sabar hendak menjejakkan kaki aku di Auckland. Di saat kaki aku berpijak sahaja di atas lantai permukaan Auckland Airport tu, aku berasa happy tak terkira. Ya Allah. Tercapai jugak hajat aku dari kecil untuk memijakkan kaki di bumi New Zealand. Rasa nak sujud pun ada. Tapi nanti confirm orang akan tengok pelik semacam pulak kan. Hehehe.

Sesampainya di luar Auckland Airport, aku begitu teruja kerana dapat menghirup udara yang dingin. Sudah lama aku tak menghirup udara sedingin itu. Suhu ketika itu lebih kurang 16 darjah celcius. Rindu pulak aku pada bumi Dublin, Ireland, tempat aku menimba ilmu selama 8 tahun dulu. Aku lantas terus membeli tiket bas Airbus Express di sebuah kiosk kecil di sebelah tempat menunggu bas tersebut untuk ke Auckland City Centre. Aku beli tiket pergi balik yang berharga NZ$28 (RM73). Lebih jimat daripada membeli tiket sehala yang berharga NZ$16 (RM42). Bas tersebut berlepas setiap 15 minit. Sesampainya bas yang dinantikan, aku pun terus masuk ke dalamnya. Perjalanan dengan bas tersebut dari Auckland Airport ke Auckland City Centre memakan masa lebih kurang sejam lamanya. Jauh jugak kan city centre dari airport. Sepanjang perjalanan dengan bas tersebut, aku perhatikan keindahan pemandangan di luar. Langit yang biru pekat, awan-awan yang putih berarak, rumput-rampai yang hijau damai, rumah-rumah yang unik rupa bentuknya & bermacam-macam lagi. Aku seolah-seolah seperti bermimpi yang aku sekarang sudah berada di bumi New Zealand. Girang sekali hati aku. Sewaktu di dalam bas tersebut, aku menghantar SMS kepada rakan aku yang bekerja di Auckland, iaitu Raja. Dia sedang bekerja di hospital pada waktu itu. Aku memberitahunya yang aku telah pun tiba di Auckland & tidak sabar hendak berjumpa dengannya. Dia lantas membalas SMS aku & mengatur untuk dinner bersama malam nanti. Tak sabarnye!! Dah lebih 3 tahun aku tak berjumpa dengannya.

Auckland Airport

Bas Airbus Express

Lebih kurang sejam kemudian, aku pun tiba di Auckland City Centre. Di city centre, bas tersebut berhenti di enam hentian. Aku berhenti di hentian terakhir, iaitu di Ferry Terminal. Sesampainya di situ, aku terus berjalan mencari Nomads Fat Camel Hostel, hostel yang aku telah book online. Ia terletak tidak jauh dari Ferry Terminal tadi. Aku terpaksa bermalam di situ untuk malam itu memandangkan kawan aku, Raja terpaksa bekerja pada hari itu. Dia hanya dapat cuti pada keesokan harinya (Jumaat). Sabtu & Ahad pulak memang cuti weekend. Setelah mencari, akhirnya aku berjaya menjumpai hostel tersebut. Aku telah menempah bilik Basic 4 Bed Mixed Dorm. Disebabkan waktu check-in bilik adalah pada pukul 2.00 petang, maka aku tidak boleh masuk ke dalam bilik yang aku book itu lagi. Pada waktu itu, jam baru menunjukkan pukul 11.30 pagi. So, aku terpaksa meletakkan baggage aku di dalam luggage room yang disediakan oleh hostel tersebut. Kemudian, aku meminta kebenaran pemilik hostel untuk menggunakan shower untuk membersihkan diri. Setelah itu, barulah aku memulakan ekspedisi menjelajahi kota Auckland, New Zealand bersama-sama beg galas aku dan tripod sebagai peneman. Heheh.

New Zealand adalah sebuah negara kepulauan yang terletak di barat laut Lautan Pasifik, lautan yang terbesar di dunia. Dalam Bahasa Maori, ianya dipanggil Aotearoa. Ia mempunyai keluasan seluas 268,021 km2. Lebih kecil sedikit berbanding saiz Malaysia. Negara ini terbahagi kepada dua pulau utama, iaitu North Island (Te Ika-a-Māui) & South Island (Te Waipounamu) yang dipisahkan oleh selat yang diberi nama Cook Strait, sempena nama James Cook, pelayar British yang terkenal. Selain itu, ia juga mempunyai beberapa buah pulau kecil yang lain. New Zealand dipisahkan sejauh 1,500 km ke timur dari pulau Australia oleh Laut Tasman. Disebabkan kedudukannya yang agak terpencil di permukaan bumi, New Zealand adalah antara tanah yang paling lewat diterokai oleh manusia. Sebelum ianya diterokai oleh manusia, permukaan bumi New Zealand dihuni oleh spesis-spesis reptilia, burung & tumbuhan-tumbuhan yang unik, yang tidak terdapat di bahagian bumi yang lain. Antaranya ialah kiwi, tahake, kakapo, tuatara, skink, gecko, dan banyak lagi. Kebanyakan spesis-spesis tersebut mempunyai jangkahayat yang lama, mencecah usia lebih seratus tahun. MasyaAllah. Di sini jugak terdapat gunung-gunung berapi yang aktif & merupakan antara kawasan yang sering dilanda gempa bumi kerana kedudukannya di dalam Lingkaran Api Pasifik & di sempadan Plat Tektonik Australia & Pasifik.

Kedudukan New Zealand dalam Peta Dunia

Peta New Zealand

Bendera New Zealand

Daun Fern (daun kebangsaan New Zealand)

James Cook

Burung Kiwi

Burung Tahake

Burung Kakapo

Tuatara

Kedudukan New Zealand di sempadan Plat Tektonik Australia & Pasifik

Kedudukan New Zealand di Lingkaran Api Pasifik

Kaum Polynesia, iaitu kaum yang terdapat di pulau-pulau di bahagian selatan Lautan Pasifik, khasnya kaum etnik Maori hanya mula menerokai bumi New Zealand pada kurun ke-13 Masihi. Selepas ketibaan mereka, hutan semulajadi di New Zealand kebanyakannya telah dibakar & dicerahkan untuk dijadikan penempatan & kawasan pertanian mereka. Bangsa Eropah hanya tiba di New Zealand pada tahun 1642, iaitu seorang penjelajah yang berasal dari Belanda. Seterusnya, barulah tiba orang-orang British. Pelayar British terkenal yang bernama James Cook tiba di sini pada tahun 1769 & merupakan orang pertama yang melakar peta New Zealand. Pada tahun 1840, kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan orang-orang Maori, menjadikan New Zealand sebagai salah satu daripada tanah koloni / jajahan British di bawah pemerintahan Ratu Victoria. Nama perjanjian tersebut ialah Treaty of Waitangi. Mulai dari saat itulah, ramai penduduk British mula berhijrah ke New Zealand & mencetuskan beberapa konflik dengan kaum etnik Maori yang lebih awal menerokai bumi New Zealand. Selepas ketibaan bangsa Eropah, hutan semulajadi di New Zealand hanya tinggal lebih kurang 20% sahaja selepas dicerahkan untuk dijadikan kawasan penempatan & pertanian. Banyak spesis burung & reptilia yang hanya terdapat di New Zealand pupus akibat aktiviti mereka ini. Walaupun mendapat status pemerintahan sendiri daripada British pada tahun 1907, New Zealand sebenarnya masih belum merdeka sepenuhnya daripada British / United Kingdom. Kuasa teratasnya tetap Ratu United Kingdom, iaitu Ratu Elizabeth. Seterusnya Gabenor Jeneral, wakil kepada Ratu United Kingdom di New Zealand. Seterusnya barulah Perdana Menteri New Zealand.

Kaum etnik Maori (wanita)

Kaum etnik Maori (lelaki)

Hasil daripada penghijrahan penduduk British sewaktu era kolonialisma dulu, majoriti penduduk New Zealand yang berjumlah 4.5 juta orang ini adalah daripada bangsa Eropah / British, iaitu 67%. Kaum minoriti yang paling ramai ialah kaum etnik Maori, iaitu seramai 15%. Seterusnya adalah bangsa Asia (Cina, India, Melayu dan sebagainya) yang merangkumi 10%. Dan selebihnya adalah kaum etnik Polynesia yang lain. New Zealand mempunyai 3 bahara rasmi, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Maori & Bahasa Isyarat New Zealand. 96% daripada penduduknya fasih berbahasa Inggeris. Matawang yang digunakan ialah New Zealand Dollar. 1 New Zealand Dollar bersamaan dengan 2.6 Ringgit Malaysia. Ekonomi mereka adalah antara yang terkuat di dunia, begitu juga dengan taraf kemajuan negaranya. New Zealand terletak di kedudukan keenam tertinggi dalam ranking Human Development Index. Jenis soket peralatan elektrik yang digunakan berbeza daripada soket di Malaysia. Jenis soketnya sama dengan yang digunakan di Australia. Oleh itu, pelancong-pelancong dari Malaysia perlu membeli ‘plug converter’ untuk menggunakan peralatan elektrik buatan Malaysia di New Zealand.

Soket yang digunakan di New Zealand

Plug converter

Waktu tempatan New Zealand pula terbahagi kepada dua, iaitu New Zealand Standard Time (NZST) & New Zealand Daylight Time (NZDT). New Zealand Standard Time (GMT+12) berlangsung dari hari Isnin pertama bulan April sehingga hari Sabtu terakhir bulan September setiap tahun. Pada ketika ini, waktu tempatannya 4 jam lebih awal daripada waktu tempatan Malaysia. Sementara itu, New Zealand Daylight Time (GMT+13) pulak berlangsung dari hari Ahad terakhir bulan September sehingga Ahad pertama bulan April setiap tahun. Pada ketika ini, waktu tempatannya 5 jam lebih awal daripada waktu tempatan Malaysia. Disebabkan kedudukan New Zealand yang sangat hampir dengan International Date Line, ia adalah antara negara terawal di permukaan muka bumi yang menerima sinaran cahaya matahari setiap hari. Ia menerima cahaya matahari lebih awal daripada negara Jepun yang kononnya digelar Negara Matahari Terbit.

Kedudukan New Zealand yang amat hampir dengan International Date Line

New Zealand mempunyai iklim yang sederhana & kelautan. Ia mempunyai empat musim, iaitu Musim Panas (Disember-Februari), Musim Luruh (Mac-May), Musim Sejuk (Jun-Ogos) & Musim Bunga (September-November). Disebabkan kedudukan New Zealand yang terletak di Hemisfera Selatan permukaan bumi, sama seperti Australia, Afrika Selatan, Argentina, Chile dan sebagainya, waktu musim-musim yang dialaminya bertentangan dengan musim-musim yang dialami di negara-negara di Hemisfera Utara permukaan bumi seperti negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea Selatan, China dan sebagainya. Contohnya, ketika negara-negara di Hemisfera Utara sedang mengalami Musim Panas pada bulan Jun-Ogos, New Zealand sedang mengalami Musim Sejuk. Begitu jugalah sebaliknya pada bulan Disember-Februari.

Sukan yang paling terkenal di New Zealand sudah tentu tak lain tak bukan, sukan Ragbi. Pasukan ragbi New Zealand yang juga dikenali dengan nama All Blacks dianggap sebagai pasukan ragbi terhebat di dunia & sering menjuarai Rugby World Cup yang diadakan 4 tahun sekali.

Pasukan Ragbi All Blacks

Logo All Blacks

Bersambung...

5 buah komen:

Unknown Wednesday, November 6, 2013 at 6:31:00 PM GMT+8  

love your writing~ very informative and well written

Naramas Aman Thursday, November 7, 2013 at 11:36:00 AM GMT+8  

Info yang amat berguna. Pengembaraan yang saya jangka menarik.

Didi Kartika Osman Friday, July 17, 2015 at 1:18:00 AM GMT+8  

Terima kasih kerana berkongsi info yang sangat lengkap dan teratur.. InsyaAllah akan travel solo ke Auckland Disember ini.. =)

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP