3 DaYS iN VeNiCe oF THe eaST (BHG II)

>> Tuesday, August 21, 2007



Thailand adalah salah sebuah negara jiran Malaysia. Selain bersempadankan Malaysia di bahagian Selatan, negara ini juga turut bersempadankan Laos & Kemboja di bahagian Timur & Myanmar di bahagian Barat. Negara ini mempunyai persisiran pantai yang menghadap Laut Andaman & Teluk Siam. Thailand merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Raja Berperlembagaan yang diketuai oleh Raja. Ketua pentadbirannya pula ialah Perdana Menteri. Perdana Menterinya pada masa kini merupakan seorang Jeneral askar yang dilantik memegang jawatan Perdana Menteri selepas Tentera Diraja Thailand berjaya mengambil alih pentadbiran negara ini selepas menggulingkan bekas Perdana Menterinya iaitu Thaksin Shinawatra.


Peta kedudukan Thailand di rantau Asia Tenggara



Peta Thailand

Negara Thailand menggunakan mata wang Baht. RM1.00 bersamaan dengan 9.00 Baht. Waktu tempatan Thailand adalah 7 jam lebih awal berbanding waktu GMT, iaitu 1 jam lebih lewat berbanding waktu tempatan Malaysia. Penduduk negara ini bertutur dalam Bahasa Thai dalam kehidupan seharian mereka. Bahasa-bahasa lain yang dipertuturkan di negara ini adalah Bahasa Cina, Bahasa Mon, Bahasa Khmer & Bahasa Melayu di bahagian selatan negara ini. Penggunaan Bahasa Inggeris hanya meluas di bandar-bandar besar seperti di Bangkok. Agama Buddha aliran Theravada adalah agama yang paling ramai penganut di Thailand, diikuti dengan agama Islam yang dianuti oleh kaum Melayu di bahagian selatan Thailand. Selain itu, terdapat juga penduduk-penduduk yang beragama Kristian Roman Katholik, Hindu & Sikh. Namun, jumlah mereka tidak begitu ramai. Sukan & seni mempertahankan diri yang paling terkenal di Thailand pula sudah tentunya Tomoi atau nama tempatannya Muay Thai.


Tomoi

Utara negara Thailand diliputi oleh kawasan pergunungan. Negara ini secara umumnya beriklimkan Monsun Tropika. Thailand adalah sebuah negara industri yang baru. Eksport utamanya adalah beras, tekstil, kasut, barangan perikanan, getah, barangan kemas, automobil, komputer & barangan elektrik. Ia adalah pengeksport beras yang terbesar di dunia memandangkan penanaman padi adalah industri pertanian yang paling utama di negara ini.

Nama asal Thailand adalah Siam sehinggalah ianya ditukar kepada Thailand pada tahun 1939. Kemudiannya, nama Siam kembali digunakan antara tahun 1945 hingga tahun 1949. Disebabkan kedudukan geografinya yang terletak di antara 2 tamadun yang paling berpengaruh di benua Asia, iaitu China & India, kebudayaan Thailand sama seperti negara-negara lain di rantau Asia Tenggara telah banyak dipengaruhi oleh kedua-dua tamadun tersebut sejak zaman-berzaman. Penduduk Thai dikatakan berasal dari kawasan Yunnan di selatan China. Mereka berhijrah beramai-ramai ke kawasan tanah besar Asia Tenggara pada kurun ke-10. Pada waktu tersebut, kawasan tanah besar Asia Tenggara sedang diperintah oleh Kerajaan-kerajaan Mon, Khmer & Melayu.

Pada mulanya, kawasan Thailand ini terdiri daripada beberapa buah negeri kecil seperti Suvarnabhumi, Funan, Dvaravati, Lavo, Singhanavati, Pan Pan, Raktamaritika & Langkasuka. Kerajaan pertama yang diperintah oleh orang Thai ialah kerajaan Sukhothai yang ditubuhkan pada tahun 1238 setelah mendapat kemerdekaan daripada kerajaan Khmer. Raja pertamanya ialah Pho Khun Si Indrathit. Kerajaan Sukhothai ini menikmati zaman kegemilangannya sewaktu berada di bawah pemerintahan Raja yang bernama Ramkhamhaeng. Ramkhamhaeng inilah yang bertanggungjawab mengasaskan tulisan Thai yang masih digunakan hingga sekarang.

Selepas kematian Ramkhamhaeng pada tahun 1365, kerajaan Sukhothai semakin merosot & akhirnya pada tahun 1376, ianya ditakluk oleh kerajaan Ayutthaya yang semakin berkuasa. Kerajaan Ayutthaya ini mulai wujud pada tahun 1350 & diasaskan oleh Rajanya yang pertama iaitu Ramathibodi I. Ramathibodi I ini telah memberikan 2 sumbangan terbesar dalam sejarah Thailand. Sumbangan pertamanya ialah menjadikan agama Buddha aliran Theravada sebagai agama rasmi kerajaannya untuk membezakan kerajaannya dengan kerajaan jiran iaitu kerajaan Angkor yang beragama Hindu. Sumbangan keduanya pula ialah pengumpulan kod undang-undang Dharmaśāstra yang berpengaruh Hindu yang ditulis dalam Bahasa Sanskrit untuk dijadikan sumber perundangan kerajaannya yang terus digunakan di Thailand sehingga kurun ke-19.


Peta kerajaan Ayutthaya

Bersambung...

2 buah komen:

Anonymous Thursday, April 29, 2010 at 11:41:00 AM GMT+8  

Ada kesilapan tarikh kematian Rama Khamhaeung iaitu 1317 (?) bukan 1365 seperti saudara utara. Dalam sejarah lisan kelantan Rama Khamhaeung telah mati dibunuh oleh Puteri Urudja dari Kelantan dalam peperangan di Grahi (Chaiya). Kepala Raja Rama Khamhaeung telah diputus ditebas oleh Puteri Urudja dan badan beliau dicampakkan ke laut. Kepalanya kemudian dituntut oleh puluhan sami sami buddha dengan bayaran tinggi emas dan perak.

Peperangan Puteri Urudja dengan seorang Raja ada disebut dalam catatan Ibn Batutta dalam bukunya Rihla. Tarikh kematian Rama Khamhaeung masih menjadi tanda tanya pengkaji sejarah tetapi mungkin 1317 kerana
apabila Puteri Urudja balik ke Kelantan ayahandanya melantik baginda menjadi Raja pada tahun 1318 di tanah Serin Se kebun Bunga di Cintawasa atas jasa membantu mempertahanan kota Ghahi.

azzad Thursday, September 23, 2010 at 12:10:00 PM GMT+8  

assalamualaikum,

jom join mengembara dengan bas ke thailand. dari selatan ke utara thailand. melalui danok, hatyai, bangkok, chengmai, chengrai, maesai, golden triangle.

mungkin juga akan masuk mynmar dan laos

berminat
hubungi azzad69@gmail.com

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP