3 DaYS iN VeNiCe oF THe eaST (BHG I)

>> Saturday, August 18, 2007



Trip ke bumi Bangkok, Thailand ini disertai oleh 2 orang sahaja iaitu aku & abah aku. Pada waktu ini, aku sedang menikmati cuti Musim Panas selama lebih kurang 2 bulan di Malaysia. Untuk mengisi masa yang terluang, aku pun mengambil keputusan untuk berkunjung ke Bangkok. Aku sebenarnya telah menempah tiket penerbangan Air Asia sejak bulan Januari lagi untuk aku & abah aku. Kami berdua hanya akan menjejakkan kaki di kota Bangkok sahaja. Kami tidak lama di Bangkok. Hanya 3 hari sahaja iaitu dari 24 hingga 26 Julai 2007. Sebagai panduan sewaktu berada di Bangkok, kami menggunakan buku ‘Thailand’ terbitan DK Eyewitness Travel Guides.

Hari 1: 24 JULAI 2007

Penerbangan Air Asia kami dari Pulau Pinang ke Bangkok akan berlepas pada pukul 10.30 pagi. Kami berdua bertolak awal dari rumah kerana takutkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang. Kami bertolak dari rumah pada pukul 7.00 pagi & selamat tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada pukul 8.15 pagi. Mujurlah kesesakan lalu lintas di jambatan tersebut tidak terlalu kronik. Setelah mendaftar masuk, kami pun menanti panggilan masuk ke dalam pesawat. Setelah beberapa minit menanti, akhirnya semua penumpang dijemput masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama kemudian, pesawat tersebut pun berlepas meninggalkan Pulau Pinang menuju ke Bangkok. Penerbangan kami mengambil masa selama 1¾ jam. Lebih kurang pada pukul 11.15 pagi waktu tempatan Thailand, kami pun tiba di Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi.

Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi ini adalah lapangan terbang utama Bangkok yang baru sahaja dirasmikan pada bulan September 2006. Ia menggantikan lapangan terbang lama Bangkok iaitu Lapangan Terbang Bangkok Don Mueang. Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi ini adalah lapangan terbang yang mempunyai bangunan terminal yang ke-2 terbesar di dunia selepas bangunan terminal di Lapangan Terbang Hong Kong, China. Lapangan terbang ini sememangnya amat besar, moden & cantik. Menara kawalannya adalah yang tertinggi di dunia. Lapangan terbang ini kini adalah antara lapangan terbang yang tersibuk di benua Asia. Apa yang benar-benar mengagumkan aku ialah terdapatnya sebuah surau yang disediakan untuk orang-orang Islam bagi menunaikan solat. Bukan senang hendak menjumpai surau di dalam lapangan terbang negara-negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam.


Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand



Di dalam Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand



Di dalam Lapangan Terbang Bangkok Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand

Selepas melepasi pemeriksaan imigresen, kami terus mencari jalan keluar. Kami menaiki teksi kepunyaan syarikat teksi lapangan terbang ini untuk ke pusat bandaraya Bangkok yang terletak lebih kurang 25 kilometer dari sini. Tambangnya agak mahal. Lebih kurang RM80.00. Kami tiada pilihan lain. Jikalau kami menaiki bas, kami tidak tahu ke mana hendak berhenti kerana ini adalah pertama kali kami menjejakkan kaki di Bangkok. Dengan menaiki teksi, kami dijamin akan tiba di destinasi kami dengan cepat & selamat. Destinasi kami ialah hostel yang telah pun aku tempah melalui internet beberapa bulan yang lepas. Ianya terletak betul-betul di pusat bandaraya Bangkok. Perjalanan kami dengan menaiki teksi tersebut memakan masa hampir 45 minit lamanya. Setibanya kami di hostel yang dimaksudkan, kami pun terus mendaftar masuk. Selepas berehat-rehat & menunaikan solat jamak Zohor & Asar, aku & abah aku keluar untuk memulakan penjelajahan kota Bangkok, Thailand.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP