JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG I) - PRoLoG I

>> Tuesday, February 15, 2011



P/S: Salam. Maaf atas kelewatan untuk menyiarkan Travelog Pulau Jawa ini. Aku telah berkunjung ke sana bersama-sama dengan 2 orang rakanku pada bulan Jun tahun lepas. Travelog ni sebenarnya sudah lama disiapkan, sebelum aku mula bekerja lagi. Cuma sekarang ni baru teringat untuk disiarkan. Heheh. Maaf sekali lagi. Apa-apa pun, selamat membaca ye.. Travelog ini ada 19 bahagian kesemuanya. :)

Idea untuk mengembara ke Pulau Jawa, Indonesia ini dicetuskan oleh sahabat aku, iaitu Acab, pelajar Tahun Akhir Perubatan di Penang Medical College. Sudah agak lama sebenarnya aku menyimpan hasrat untuk memijakkan kaki di negara Indonesia. Oleh itu, apabila Acab mengajak aku untuk bersama-sama dengannya mengembara ke pulau tersebut, aku tidak tidak teragak-agak untuk bersetuju kerana aku tidak ingin melepaskan peluang yang ada. Pada waktu tersebut, aku sudah pun mendapat keputusan peperiksaan & aku bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya, aku akhirnya lulus & berjaya mendapat gelaran doktor. Alhamdulillah. Pengembaraan di Pulau Jawa nanti boleh dikatakan sebagai hadiah buat kejayaan aku ini.

Kami berdua mengajak beberapa orang lagi teman kami untuk sama-sama menjelajahi pulau yang menyimpan seribu satu khazanah Indonesia itu. Namun, yang berminat untuk menerima ajakan kami cuma 2 orang sahaja, iaitu Syahir & Shafiq. Syahir adalah pelajar Tahun Keempat Perubatan di Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI) di Dublin, Ireland. Dia akan menghabiskan masanya di Malaysia mulai awal bulan Jun sehingga akhir bulan Ogos untuk menikmati cuti Musim Panasnya. Sementara itu, Shafiq pula sudah hampir 3 tahun bergelar doktor perubatan & dia sedang bertugas di Hospital Port Dickson.

Disebabkan Acab & Syahir sedang sibuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan mereka pada waktu itu, begitu juga dengan Shafiq yang sibuk dengan tugasnya sebagai seorang doktor, aku dengan sukarelanya menggunakan kelapangan masa yang aku ada sementara menunggu Hari Graduasi awal bulan Jun nanti untuk menempah tiket penerbangan & hotel & juga merangka jadual perjalanan kami. Kami berempat akan berlepas ke Jakarta dari Kuala Lumpur (LCCT) dengan menaiki pesawat Air Asia pada tarikh 21 Jun 2010 & kami akan pulang semula ke Kuala Lumpur (LCCT) dari Surabaya pada tarikh 29 Jun 2010 dengan menaiki pesawat Air Asia juga. Walau bagaimanapun, hanya aku, Acab & Syahir sahaja yang akan pulang semula pada tarikh 29 Jun 2010. Shafiq akan pulang ke Kuala Lumpur awal sehari, iaitu pada tarikh 28 Jun 2010 kerana urusan kerja. Oleh itu, secara kasarnya, kami akan menghabiskan masa lebih kurang 8-9 hari di sana.

Kami berempat akan berkunjung ke 4 buah bandar di Pulau Jawa, iaitu Jakarta, Bandung, Yogyakarta & Surabaya. Untuk bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain, kami menggunakan kemudahan perkhidmatan keretapi & juga bas mini. Di Bandung, Yogyakarta & Surabaya, kami akan bermalam di hotel-hotel yang sudah pun aku tempah secara online. Sementara di Jakarta pula, kami akan bermalam di rumah sahabat Acab yang bernama Zafran, yang merupakan pelajar Perubatan Tahun Akhir di situ. Aku juga turut mencetak informasi tentang keempat-empat buah bandar tersebut dari website Wikitravel untuk memudahkan pengembaraan kami.


Peta pengembaraan di Pulau Jawa, Indonesia

Indonesia adalah sebuah negara kepulauan yang terletak di Asia Tenggara. Ia adalah negara kedua di rantau ini yang aku jejaki, selepas Thailand. Negara ini terdiri daripada 17,508 buah pulau. 5 buah pulau yang paling utama ialah Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi & Papua (Irian Jaya). Dengan jumlah penduduk seramai 230 juta orang, Indonesia menduduki tangga keempat, selepas China, India & Amerika Syarikat dalam senarai negara-negara yang mempunyai paling banyak jumlah bilangan penduduk. Indonesia juga mempunyai jumlah penduduk beragama Islam yang paling ramai di dunia. 86% daripada penduduknya, iaitu lebih kurang seramai 200 juta orang adalah penganut agama Islam.

Negara ini berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea di Pulau Papua, Timor Timur di Pulau Timor & Malaysia di Pulau Borneo. Negara-negara lain yang terletak berhampiran dengannya ialah Singapura, Filipina & Australia. Indonesia mempunyai 3 buah zon waktu, iaitu Waktu Indonesia Barat (GMT+7), Waktu Indonesia Tengah (GMT+8) & Waktu Indonesia Timur (GMT+9). Negara ini dibahagikan kepada 33 buah wilayah atau propinsi. 5 buah daripadanya diberikan status istimewa & mempunyai kuasa autonomi dalam hal-hal tertentu, iaitu Aceh, Jakarta, Yogyakarta, Papua & Papua Barat. Sistem pemerintahan yang dipraktikkan di negara ini ialah sistem Republik yang diketuai oleh Presiden. Matawang yang digunakan pula ialah Rupiah. 1.00 Ringgit bersamaan dengan 2,800.00 Rupiah. Indonesia adalah salah satu daripada negara-negara anggota ASEAN & OIC.


Peta Indonesia


Peta Zon Waktu Indonesia


Peta Propinsi-Propinsi di Indonesia

Bahasa rasmi Indonesia adalah Bahasa Indonesia yang mempunyai banyak persamaan dengan Bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia kerana bahasa tersebut dirujuk daripada penggunaan bahasa penduduk-penduduk di kepulauan Riau. Selain Bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi, terdapat juga 740 buah lagi bahasa lain yang dipertuturkan di serata negara kepulauan ini. Penduduk negara ini terbahagi kepada lebih kurang 300 buah kumpulan etnik. Kumpulan etnik yang terbesar ialah kumpulan etnik Jawa yang merangkumi 42% daripada jumlah penduduknya. Kumpulan-kumpulan etnik lain yang agak dominan selepas kumpulan etnik Jawa ialah kumpulan etnik Sunda, Melayu & Madura. Kaum Cina yang cuma merangkumi 1% daripada jumlah penduduk memainkan peranan yang sangat penting dalam kegiatan ekonomi Indonesia sehingga adakalanya menimbulkan sentimen anti-Cina di kalangan penduduk bukan Cina.

Seperti yang telah dikatakan, 86% daripada penduduk Indonesia adalah penganut agama Islam. Yang selebihnya adalah penganut agama Kristian (8.7%), Hindu (3%), Buddha (1.5%) & lain-lain. Walaupun kebebasan beragama termaktub dalam perlembagaan Indonesia, cuma 6 agama sahaja yang diiktiraf oleh kerajaan negara ini, iaitu Islam, Kristian Protestant, Kristian Katolik, Hindu, Buddha & Confucianisma.

Disebabkan negara kepulauan Indonesia ini terletak betul-betul di sempadan-sempadan pertemuan plat tektonik Pasifik, Eurasian & Australian, ini menjadikannya sebagai antara kawasan-kawasan yang mempunyai banyak bilangan gunung berapi & juga kawasan-kawasan yang seringkalinya berlaku kejadian gempa bumi. Indonesia mempunyai sekurang-kurangnya sejumlah 150 buah gunung berapi yang masih aktif, termasuklah Krakatoa & Tambora yang pernah mencipta sejarah pada kurun ke-19 kerana telah mengorbankan beribu-ribu nyawa dengan letupannya yang dahsyat. Kejadian tsunami pada tahun 2004 yang telah membunuh banyak nyawa di serata Lautan Hindi berpunca daripada aktiviti gempa bumi bawah laut di persisiran pantai Sumatera. Kejadian gempa bumi yang menimpa Yogyakarta pada tahun 2006 lalu juga adalah antara yang paling teruk dalam catatan sejarah. Walau bagaimanapun, mala petaka yang sering menimpa juga sebenarnya menguntungkan penduduk. Kawasan di lereng-lereng gunung berapi sememangnya amat subur untuk bercucuk tanam. Maka tidak hairanlah ramai penduduk bertumpu di sekitar kawasan gunung berapi.


Peta lokasi gunung-gunung berapi di Indonesia


8 buah komen:

eeeda Tuesday, February 15, 2011 at 7:10:00 PM GMT+8  

Menarik catatan perjalan ke Indonesia.

MULAN Tuesday, February 15, 2011 at 7:43:00 PM GMT+8  

aritu ingat nak jgk travel dgn train from west east of jawa.. tapi volcano meletop la pulak.. insyA one day..

suhud Saturday, February 19, 2011 at 6:38:00 AM GMT+8  

kapan ke jakarta lagi? saya temani berpusing-pusing...

apisv2 Tuesday, March 1, 2011 at 9:15:00 PM GMT+8  

salam kunjungan dr sy...;)
dtg dr blog RM;D
slm perkenalan,
blog apisv2

Lenard Sunday, November 6, 2011 at 12:00:00 AM GMT+8  

This cannot have effect as a matter of fact, that is what I suppose.
steel building

Anonymous Monday, March 4, 2013 at 11:18:00 AM GMT+8  

buy valium from india does valium and xanax test the same - valium dosage panic attacks

Anonymous Thursday, March 21, 2013 at 8:22:00 AM GMT+8  

http://technologiesuae.com/#2938 xanax 50 mg - side effects yellow xanax bars

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP