WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG X)

>> Monday, June 29, 2009



Suhu di Riga pada pagi ini agak sejuk. Di luar kelihatan pokok-pokok & rumput-rumput putih diselaputi salji. Malam tadi salji turun rupa-rupanya. Indah sungguh pemandangan di luar. Musim Sejuk sememangnya musim yang paling aku gemari kerana turunnya salji pada musim ini. Aku tidak pernah jemu melihat & bermain dengan salji. Salah satu fenomena alam yang unik & mengasyikkan.


Salji di Riga, Latvia


Riga, Latvia

Lokasi pertama di Riga yang aku kunjungi ialah stesen keretapinya. Sahaja ingin bergambar di hadapannya. Menara jam yang terdapat di stesen keretapi ini agak unik senibinanya. Pada waktu ini, salji mulai turun dengan lebatnya & keadaan amat sejuk pada waktu ini, menyebabkan aku terpaksa memakai sarung tangan. Agak susah pula sebenarnya untuk memegang kamera sambil memakai sarung tangan. Selepas itu, aku berjalan menuju ke House of the Blackheads (Melngalvju Nams). Bangunan ini sebenarnya baru sahaja dibina semula antara tahun 1995-1999 selepas ianya dibom oleh tentera Jerman pada tahun 1941 sewaktu Perang Dunia Kedua. Sewaktu Latvia di bawah pemerintahan Soviet Union, bangunan ini diabaikan. Usaha untuk membina semula bangunan ini hanya dimulakan selepas kemerdekaannya. Ia siap sepenuhnya pada tahun 2001 & dirasmikan pada tahun tersebut sempena menyambut ulangtahun ke-800 tahun bandar Riga. Pada masa kini, House of the Blackheads ini berfungsi sebagai muzium & kadangkala sebagai dewan konsert.


Stesen keretapi Riga, Latvia


Menara Jam di Stesen keretapi Riga, Latvia


House of the Blackheads, Riga, Latvia

Berhampiran dengan House of the Blackheads terdapat sebuah gereja yang bernama St Peter’s Church yang didedikasikan kepada St Peter, salah seorang daripada Twelve Apostles. Gereja ini dibina pada tahun 1209 & diperbesarkan pada kurun ke-15. Menara gereja yang dilihat pada hari ini sebenarnya hanya dibina pada tahun 1746. Menara tersebut pernah disambar kilat sebanyak 6 kali & pernah runtuh sebanyak 2 kali akibat insiden tersebut iaitu pada tahun 1666 & 1721. Sebelum Perang Dunia Kedua, bangunan menara ini merupakan bangunan yang diperbuat daripada kayu yang tertinggi di benua Eropah. Namun, ianya mengalami kerosakan yang teruk ketika perang tersebut. Pembaikan semula gereja ini diusahakan pada tahun 1970-an sewaktu di bawah era pemerintahan Soviet Union.


House of the Blackheads & St Peter’s Church, Riga, Latvia

Museum of the Occupation of Latvia (Latvijas Okupācijas Muzejs) merupakan destinasi aku yang seterusnya. Bangunan ini adalah sebuah muzium yang memberi informasi tentang kisah-kisah Latvia & rakyatnya sewaktu ianya dijajah oleh Soviet Union & Jerman dari tahun 1941 hingga tahun 1990. Muzium ini terletak berhampiran dengan tebing Sungai Daugava yang menjadi lokasi seterusnya yang aku jejaki. Pemandangan di tebing sungai ini agak mengasyikkan. Terdapat sebuah jambatan yang mempunyai senibina yang agak menarik. Keadaan di sini lebih sejuk berbanding lokasi-lokasi lain di bandar Riga ini. Ini mungkin kerana pengaruh air sungai & angin sejuk yang bertiup di sini.


Museum of the Occupation of Latvia, Riga, Latvia


Pinggiran Sungai Daugava, Riga, Latvia


Pinggiran Sungai Daugava, Riga, Latvia

Aku kemudiannya bergerak menuju ke sebuah lagi bangunan penting yang terdapat di kota Riga, iaitu Riga Cathedral (Rīgas Doms). Ianya merupakan gereja yang terpenting di sini & merupakan gereja mazhab Protestant. Ia siap dibina pada tahun 1211 & merupakan gereja medieval yang terbesar di rantau Baltik. Sebuah lagi gereja yang penting di bandar Riga ialah St Jacob’s Cathedral. Berlainan dengan Riga Cathedral, St Jacob’s Cathedral ini adalah gereja mazhab Roman Katholik. Ianya siap dibina pada tahun 1225. Pada tahun 1522, fungsi gereja ini berubah menjadi gereja pengikut mazhab Lutheran. Ianya hanya kembali kepada fungsi asalnya pada tahun 1582 selepas ianya diambil alih oleh orang-orang dari Poland.


Riga Cathedral, Riga, Latvia


St Jacob’s Cathedral, Riga, Latvia


St Jacob’s Cathedral, Riga, Latvia

Selepas itu, aku mengatur langkah pula ke bangunan parlimen Latvia yang terletak tidak jauh dari St Jacob’s Cathedral. Aku sendiri kurang pasti mengenai sejarah bangunan ini. Seterusnya, aku meneruskan perjalanan ke sebuah taman yang terdapat di tengah-tengah kota Riga ini. Di dalam taman tersebut, mengalir sebuah terusan. Keadaan di sini masih lagi keputih-putihan. Salji belum lagi cair nampaknya di dalam taman ini. Pemandangan sekeliling cantik sekali.


Parlimen Latvia, Riga, Latvia


Merpati-merpati mencari rezeki berhampiran Parlimen Latvia, Riga, Latvia


Di dalam sebuah taman di Riga, Latvia


Di dalam sebuah taman di Riga, Latvia


Di dalam sebuah taman di Riga, Latvia


Di dalam sebuah taman di Riga, Latvia

Selepas mengambil beberapa keping gambar di dalam taman ini, aku pun bergerak ke lokasi seterusnya, iaitu Freedom Monument (Brīvības Piemineklis). Monumen ini adalah sebuah memorial yang memperingati pengorbanan tentera-tentera Latvia dalam Perang Pembebasan Latvia yang berlaku antara tahun 1918-1920, di mana Latvia pada waktu itu berada di bawah jajahan Empayar Russia & Jerman. Monumen ini adalah simbol penting yang melambangkan kebebasan, kemerdekaan & kedaulatan Latvia. Monumen setinggi 42 meter ini dibina di atas tapak asal monumen patung Peter The Great, iaitu antara Tsar Russia yang ternama. Freedom Monument ini dirasmikan pada tahun 1935. Sewaktu Latvia berada di bawah jajahan Soviet Union antara tahun 1944-1990, terdapat usaha-usaha untuk merobohkan monumen ini. Walau bagaimanapun, usaha tersebut tidak pernah berjaya dijalankan. Kawasan di sekitar monumen ini kini seringkali digunakan dalam upacara-upacara umum & rasmi. Setiap jam dari pukul 9.00 pagi ke 6.00 petang pada setiap hari, terdapat upacara pertukaran pengawal di hadapan monumen ini. Aku tidak berkesempatan untuk menyaksikannya. Selepas bergambar di hadapan Freedom Monument, aku berehat-rehat & menikmati makan tengah hari aku.


Freedom Monument, Riga, Latvia


Freedom Monument, Riga, Latvia

Bersambung...

Read more...

WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG IX)

>> Saturday, June 27, 2009



Hari 4: 27 NOVEMBER 2007

Selepas membersihkan diri & berkemas-kemas, aku pun terus menuju ke stesen bas untuk kembali semula ke Riga, Latvia. Bas Eurolines yang telah aku tempah melalui internet akan mula bertolak pada pukul 10.00 pagi. Selepas beberapa minit menunggu, bas yang dinanti pun tiba & aku pun terus masuk ke dalamnya. Beberapa minit kemudian, ianya pun bergerak meninggalkan kota Vilnius menuju ke Riga. Perjalanan mengambil masa selama 4½ jam.

Lebih kurang pukul 2.30 petang, aku pun tiba di stesen bas Riga. Sesampainya aku di situ, aku terus ke hostel yang telah pun aku tempah melalui internet. Hostel itu tidak jauh dari stesen bas. Sesampainya aku di hostel, aku berehat-rehat dahulu sebelum keluar menikmati suasana malam. Setelah lebih kurang sejam berehat-rehat, aku pun keluar. Keadaan di luar agak sejuk. Salji mulai turun, namun tidak begitu lebat. Ini memaksa aku supaya memakai sweater bersama-sama jaket untuk memanaskan badan. Kota Riga di waktu malam tersangatlah cantik terutamanya di kawasan pinggir Sungai Daugava. Aku mengambil masa lebih daripada 3 jam bersiar-siar di sekeliling kota ini di bawah sinaran bulan. Setelah penat berjalan, aku pun kembali semula ke hostel.


Waktu malam di Riga, Latvia


Waktu malam di Riga, Latvia


Waktu malam di Riga, Latvia


Waktu malam di Riga, Latvia


Waktu malam di Riga, Latvia

Hari 5: 28 NOVEMBER 2007

Hari ini adalah hari terakhir aku di rantau Baltik sebelum aku pulang semula ke Dublin pada waktu malam nanti. Selepas menyiapkan diri, aku pun keluar untuk mencari pengalaman baru di kota Riga, Latvia ini. Latvia atau nama tempatannya Latvija adalah negara terakhir di rantau Baltik yang aku jejaki. Negara ini bersempadan dengan Estonia di bahagian utara, Lithuania di bahagian selatan, Russia di bahagian timur & Belarus di bahagian tenggara. Bahagian baratnya pula adalah persisiran pantai yang menghadap Laut Baltik.

Latvia adalah anggota NATO & Kesatuan Eropah. Keluasan negara ini adalah 64,589 km persegi & jumlah penduduknya pula adalah 2,200,000 orang. Matawang yang digunakan di Latvia ialah Lats. 1.00 Euro bersamaan dengan 0.70 Lats. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 0.15 Lats. Sistem pemerintahan yang diamalkan di sini adalah sistem Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Bahasa Latvia ialah bahasa rasmi negara ini. Penggunaan Bahasa Inggeris di Latvia tidak begitu meluas. Negara ini dibahagian kepada 36 buah wilayah. Iklim negara ini sama seperti 2 buah lagi negara di rantau Baltik iaitu beriklimkan kebenuaan & kelautan.

Menurut sejarah, manusia sudah mulai bertapak di bumi Latvia sejak tahun 9,000 SM lagi. Terdapat juga bukti yang menunjukkan terdapatnya hubungan perdagangan antara penduduk di sini dengan Empayar Rom & Byzantine. Usaha Kristianisasi di bumi Latvia telah bermula sejak tahun 1180. Namun, penerimaannya tidak begitu besar kerana ramai yang masih berpegang teguh dengan ajaran Paganisma. Tentera Salib Jerman yang dihantar ke sini kemudiannya telah berjaya mengkristiankan ramai penduduk di sini dengan cara paksaan. Orang-orang Jerman telah mula berhijrah & berkuasa di sini pada kurun ke-13. Negara yang bernama Livonia telah dibentuk kemudiannya. Walau bagaimanapun, kekalahannya dalam Perang Livonia pada tahun 1583 menyebabkan tanah Latvia ditakluki oleh kerajaan Polish-Lithuanian Commonwealth.

Dalam Perang Polish-Swedish antara tahun 1600-1611, kekalahan Polish-Lithuanian Commonwealth dalam perang tersebut menyebabkan kawasan utara Latvia ditakluki oleh Sweden. Di bawah pemerintahan orang-orang Sweden & Jerman, fahaman ajaran Lutheran telah meresap masuk ke dalam kehidupan seharian penduduk Latvia & akhirnya ianya menjadi agama utama di sini. Walau bagaimanapun, ajaran Kristian Katholik masih kukuh di dalam jiwa sesetengah penduduk terutamanya di bahagian yang mendapat pengaruh yang kuat dari Poland.

Latvia kemudiannya secara rasmi jatuh ke bawah pemerintahan Empayar Russia pada tahun 1795. Setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama iaitu pada tahun 1918, Latvia telah mengisytiharkan kemerdekaannya. Walau bagaimanapun, pengaruh Soviet Union & Jerman masih lagi wujud dalam pemerintahannya. Kemudian, sewaktu permulaan Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1939, Latvia ditakluk oleh Soviet Union melalui pakatan rahsia yang dibuat antara Soviet Union & Jerman, iaitu Pakatan Molotov-Ribbentrop yang membahagi-bahagikan Eropah Utara & Timur di antara kedua-dua kuasa tersebut. Penduduk Latvia ramai yang menentang penjajahan Soviet Union ini. Namun, mereka yang menentang ini akhirnya ditangkap & dibunuh. Tidak berapa lama kemudian, Jerman pula menceroboh & menguasai Latvia, di mana beribu-ribu orang berbangsa Yahudi di sini dibunuh dalam peristiwa Holocaust. Selepas kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua, Soviet Union kembali berkuasa di bumi Latvia.

Latvia, sama seperti negara-negara rantau Baltik yang lain mengalami penderitaan sewaktu berada di bawah pemerintahan Soviet Union. Kemerdekaan sepenuhnya hanya berjaya dicapai pada tahun 1990.


Peta Latvia & kedudukan Riga di dalam Latvia


Bendera negara Latvia

Riga adalah ibu negara Latvia. Ia terletak di muara Sungai Daugava yang mengalir ke Laut Baltik & merupakan bandar yang terbesar di rantau Baltik. Bandar ini telah diisytiharkan sebagai salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’ kerana senibina bangunan-bangunannya yang unik & tidak dijumpai di tempat lain di dunia. Jumlah penduduk yang menetap di sini ialah 700,000 orang. Suhu puratanya pada Musim Panas ialah 18 darjah celcius, sementara purata suhu Musim Sejuk pula ialah -6 darjah celcius.

Pengasasan bandar Riga yang moden bermula pada kurun ke-12 sewaktu kedatangan pedagang-pedagang & juga mubaligh-mubaligh Kristian dari Jerman ke sini. Pada tahun 1282, Riga menganggotai Hanseatic League, zon perdagangan di perairan Laut Baltik & Laut Utara. Ianya menjanjikan kestabilan ekonomi & politik Riga. Riga kemudiannya berada di bawah naungan Polish-Lithuanian Commonwealth mulai tahun 1581. Pada tahun 1621, Riga ditakluki pula oleh Sweden hinggalah ke tahun 1710 apabila ianya jatuh ke tangan Empayar Russia selepas kekalahan Sweden dalam Great Northern War. Di bawah Empayar Russia, Riga merupakan bandar ke-3 terbesar di dalam empayar ini selepas Moscow & St Petersburg. Perang Dunia Pertama & Kedua memberi impak yang besar terhadap Riga. Ianya mengalami kemusnahan yang agak teruk. Selepas berpuluh tahun berada di bawah pemerintahan Soviet Union, Riga akhirnya bebas setelah Latvia mencapai kemerdekaannya pada tahun 1990. Riga dijadikan ibu kota Latvia.

Bersambung...

p/s:

Di sini, aku ingin meluahkan rasa sedih aku atas pemergian Michael Jackson, yang meninggalkan kita semua pada waktu pagi semalam waktu Malaysia. Walaupun aku bukanlah 'big fan' dia, namun aku tak nafikan aku juga meminati beberapa buah lagu beliau seperti 'You Are Not Alone', 'Black Or White', 'We Are The World', etc. Walaupun hidupnya sejak kebelakangan ini penuh dengan kontroversi seperti isu pembedahan plastik, paedophile, dadah dan sebagainya, tapi kita jangan lupa jasa2 yg telah diberikannya sewaktu zaman mudanya. Tak perlulah aku menyebutkan satu demi satu jasa2 beliau. Kita semue sudah sedia maklum & boleh search di Wikipedia & sebagainya.

Aku sebenarnya berasa kesian jugak dgn beliau kerana sering dikutuk & dihina sejak kebelakangan ini. Seolah2 kite semue telah lupa jasa2 yg telah beliau berikan. Bila beliau dah meninggal, baru la semue orang nak bersedih2. Dah jadi lumrah manusia kan. Bila seseorang tu dah takde, baru laa kite nak hargainya. Ape2 pun, semoga Michael Jackson rest in peace. Aku sendiri pun tidak pasti tentang keislaman beliau. Ape2 pun, itu semue kerja Allah. Kita sbg hamba-Nya takde hak langsung nak mengadili keimanan seseorang. Wallahu 'alam...


Mendiang/Allahyarham Michael Jackson


Various Artists - We Are The World (lagu untuk charity ciptaan Michael Jackson & Lionel Richie)


Read more...

WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG VIII)

>> Thursday, June 25, 2009



Suhu di Vilnius pada hari ini agak sejuk. Oleh itu, aku mengenakan pakaian yang agak tebal. Aku mengelilingi kota ini dengan berjalan kaki sahaja kerana jarak antara satu tempat dengan tempat yang lain tidaklah sejauh mana. Lokasi pertama di Vilnius yang aku kunjungi ialah Gates of Dawn (Ausros Vartai) yang merupakan satu-satunya pintu masuk kubu lama kota Vilnius yang masih kukuh. Monumen ini adalah salah satu daripada simbol utama kota ini & merupakan tempat yang suci bagi penganut agama Kristian Katolik kerana terdapatnya gambar Mary yang dilapisi oleh emas di sini. Gambar tersebut telah berada di sini sejak kurun ke-17 lagi. Berhampiran dengan Gates of Dawn, terdapat 2 buah gereja yang bernama Holy Spirit Church (Šv. Dvasios Bažnyčia) & St Teresa’s Church (Šv. Tereses Bažnyčia). Holy Spirit Church adalah sebuah gereja Russian Orthodox.


Gates of Dawn, Vilnius, Lithuania


Gates of Dawn, Vilnius, Lithuania


Gambar Mary di dalam Gates of Dawn, Vilnius, Lithuania


St Teresa’s Church, Vilnius, Lithuania


Holy Spirit Church, Vilnius, Lithuania

Seterusnya, aku meneruskan perjalanan aku ke National Philharmonic Concert Hall (Lietuvos Nacionaline Filharmonija). Senibina bangunan ini agak cantik & unik. Kemudian, aku berjalan pula ke Vilnius Town Hall (Vilniaus Rotušė), yang siap dibina pada tahun 1799. Bangunan ini sering digunakan dalam upacara rasmi kerajaan. Di hadapannya terdapat sebuah dataran kecil yang sesuai untuk dijadikan kawasan rekreasi. Aku kemudiannya meneruskan langkah kaki ke sebuah lagi gereja yang terpenting di kota Vilnius. Nama gereja ini ialah St Anne’s Church (Šv. Onos Bažnyčia). Ia siap dibina antara tahun 1495-1500. Gereja yang dibina daripada 33 jenis bata yang berwarna merah ini merupakan antara gereja yang tercantik di kota ini. Kecantikannya pernah memukau hati Napoleon Bonaparte sewaktu kali pertama dia melihat gereja ini.


National Philharmonic Concert Hall, Vilnius, Lithuania


Vilnius Town Hall, Vilnius, Lithuania


Dataran di hadapan Vilnius Town Hall, Vilnius, Lithuania


St Anne's Church, Vilnius, Lithuania


St Anne's Church, Vilnius, Lithuania

Destinasi seterusnya ialah Cathedral Square (Katedros aikštė), sebuah dataran kecil di tengah-tengah kota Vilnius. Ianya adalah antara lokasi yang terpenting di sini. Di lokasi inilah pelbagai aktiviti seringkali diadakan seperti perarakan, konsert, sambutan tahun baru dan sebagainya. Dataran ini mulai dibuka kepada umum sejak akhir kurun ke-19. Di dataran ini terdapat beberapa monumen penting iaitu Vilnius Cathedral, Gediminas Tower, Hill Of Three Crosses, Monument to Grand Duke Gediminas & Royal Palace. Aku hanya sempat ke Vilnius Cathedral & Monument to Grand Duke Gediminas sahaja.

Vilnius Cathedral (Šv. Vladislovo Arkikatedra Bazilika) merupakan gereja Roman Katolik yang terpenting di kota Vilnius. Di sinilah upacara rasmi perlantikan Grand Duke of Lithuania diadakan. Di dalamnya juga terdapat makam-makam bangsawan-bangsawan Lithuania yang penting seperti Vytautas, Sigismund & Alexander Jagiellon. Menurut sejarah, sebelum gereja ini dibina, tempat ini merupakan tapak kuil Paganisma. Gereja hanya dibina di sini pada tahun 1251 selepas Raja Lithuania yang bernama Mindaugas memeluk agama Kristian. Namun, selepas kematiannya pada tahun 1263, tempat ini kembali menjadi kuil Paganisma. Tempat ini kemudiannya sekali lagi berfungsi sebagai gereja pada tahun 1387 selepas agama Kristian menjadi agama rasmi Lithuania. Gereja ini telah mengalami beberapa insiden kebakaran & pemulihan semula sehinggalah ke tahun 1801, di mana senibinanya kekal sebegitu rupa sehingga ke hari ini. Berhampiran dengan gereja tersebut, terletak Monument to Grand Duke Gediminas, sebuah monumen yang didedikasikan kepada Gediminas yang merupakan Grand Duchy of Lithuania mulai tahun 1316–1341. Beliau adalah penganut Paganisma yang kuat & sepanjang hidupnya, beliau menentang habis-habisan usaha Kristianisasi di Lithiuania.


Cathedral Square, Vilnius, Lithuania


Vilnius Cathedral, Vilnius, Lithuania


Vilnius Cathedral, Vilnius, Lithuania


Monument to Grand Duke Gediminas, Vilnius, Lithuania

Aku seterusnya menikmati makan tengah hari di McDonald’s sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Fillet O’Fish menjadi hidangan tengah hari. Setelah kenyang, aku pun terus mengatur langkah ke Seimas Palace (Seimo Rūmai). Bangunan ini berfungsi sebagai bangunan parlimen Lithuania. Ianya mulai dibina pada tahun 1976 & hanya siap sepenuhnya pada tahun 1980. Ianya berfungsi sebagai parlimen selepas kemerdekaan Lithuania pada tahun 1990.


Seimas Palace, Vilnius, Lithuania


Perkarangan Seimas Palace, Vilnius, Lithuania


Seimas Palace, Vilnius, Lithuania

Seimas Palace adalah destinasi terakhir aku di kota Vilnius sebelum aku kembali semula ke hostel untuk berehat-rehat. Aku keluar semula pada waktu malam untuk menikmati keindahan kota ini di bawah cahaya bulan. Selepas bergambar dengan beberapa monumen penting di kota ini, aku pun kembali semula ke hostel.


St Teresa's Church di waktu malam, Vilnius, Lithuania


Vilnius Town Hall di waktu malam, Vilnius, Lithuania


Vilnius Town Hall di waktu malam, Vilnius, Lithuania

Bersambung...

p/s: Di sini, aku ingin berkongsi dgn korang semua luahan perasaan ibu Ammar Zulkifli (Student Perubatan Malaysia di Mesir yg terkorban dalam kemalangan jalan raya di Mesir 2 minggu lepas) selepas pemergian anaknya itu di dalam blog anaknya itu sendiri:

http://kalam-puncak.blogspot.com/

Walaupun aku tidak pernah bersua muka dengan arwah, namun perjuangan beliau menegakkan agama Allah & penulisannya di dalam blognya itu benar2 menarik perhatian aku. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT & semoga keluarganya tabah menerima kehilangan Ammar. Kehilangan yg mereka rasakan sama seperti kehilangan yg kita rasakan juga. Kehilangan seorang bakal doktor & bakal pendakwah. Selamat membaca blog tersebut & semoga kita semua akan mendapat iktibar daripadanya..


Al-Fatihah buat Allahyarham Ammar bin Zulkifli


Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP