JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG V) - JaKaRTa II

>> Tuesday, March 08, 2011



Destinasi pertama kami di kota Jakarta ini ialah Monumen Nasional (MONAS). Kami ke sana dengan menaiki teksi ‘Blue Bird’ yang kami tahan berhampiran dengan rumah Zafran. Kebetulan, Monumen Nasional terletak berhampiran dengan Stesen Gambir, iaitu stesen keretapi utama kota Jakarta. Maka, kami mengambil kesempatan untuk membeli tiket keretapi untuk ke Bandung pada esok petang. Setelah selesai urusan membeli tiket, barulah kami memulakan ekspedisi mengelilingi kawasan sekitar Monumen Nasional itu.

Monumen Nasional yang terletak di dalam Jakarta Tengah itu terletak di tengah-tengah Medan Merdeka yang merupakan sebuah dataran besar yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan penting kerajaan seperti Istana Merdeka (istana rasmi Presiden Indonesia), Mahkamah Agung & beberapa buah bangunan kementerian. Monumen setinggi 129 meter yang mempunyai arca berbentuk api yang diselaputi oleh foil emas di puncaknya itu menjadi simbol kepada perjuangan kemerdekaan Indonesia. Idea untuk membina sebuah monumen yang sehebat Eiffel Tower di Paris, Perancis di kota Jakarta telah dicetuskan oleh Presiden pertama Indonesia, iaitu Sukarno, selepas kemerdekaan Indonesia diiktiraf oleh negara Belanda pada tahun 1949. Usaha pembinaannya dimulakan pada tahun 1961. Ia siap dibina sepenuhnya & mula dibuka kepada orang ramai pada bulan Oktober 1975.

Di tingkat bawah monumen ini terdapat sebuah muzium yang mempamerkan 48 diorama yang menggambarkan sejarah Indonesia sejak zaman pra-sejarah hinggalah ke zaman selepas kemerdekaannya. Selain daripada muzium tersebut, terdapat juga sebuah ruang bilik yang diberi nama Ruang Kemerdekaan. Di dalamnya terdapat warkah pengisytiharan kemerdekaan Indonesia yang asli. Untuk masuk ke tingkat bawah Monumen Nasional tersebut, para pengunjung perlu membeli tiket. Untuk ke puncak monumen itu, tiket berasingan perlu dibeli. Kami bertiga sekadar berlegar-legar di ruang bawah monumen itu sahaja. Kami tidak naik ke puncaknya.


Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Bersama Shafiq di Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Bersama Shafiq di Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Di sekitar Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia


Di sekitar Monumen Nasional, Jakarta, Indonesia

Apabila sudah puas menghabiskan masa di sekitar kawasan Monumen Nasional, kami bertiga berjalan menuju ke Masjid Istiqlal yang letaknya tidak jauh dari monumen tersebut. Agak sukar juga untuk mencari pintu masuk utama masjid itu. Kami terpaksa bertanya-tanya kepada orang ramai yang lalu-lalang. Setelah penat berjalan, akhirnya kami menjumpai juga pintu masuk yang kami cari itu. Kami singgah dahulu di sebuah kedai runcit yang ada di dalam kawasan masjid itu untuk membeli air. Kering sungguh anak tekak kami. Setelah masing-masing menghilangkan dahaga, kami terus mengambil wuduk & menunaikan solat jamak qasar Zohor & Asar secara berjemaah.

Masjid Istiqlal yang bermaksud Masjid Kemerdekaan adalah masjid yang terbesar di Indonesia & juga di rantau Asia Tenggara yang boleh memuatkan seramai 120,000 orang jemaah dalam satu masa. Idea untuk membina masjid tersebut telah dicetuskan selepas Indonesia mendapat kemerdekaan sepenuhnya daripada Belanda. Jawatankuasa untuk pembinaannya telah ditubuhkan pada tahun 1953 di bawah persetujuan & galakan Presiden Sukarno. Usaha pembinaan masjid tersebut akhirnya dimulakan pada bulan Ogos 1961 dengan menggunakan khidmat arkitek Kristian yang bernama Frederich Silaban. Pembinaan masjid ini siap sepenuhnya 17 tahun selepas itu, iaitu pada bulan Februari 1978. Ia dirasmikan oleh Presiden yang kedua, iaitu Suharto.

Selepas menunaikan solat, kami bertiga berehat-rehat untuk beberapa minit di dalam Masjid Istiqlal tersebut untuk menghilangkan penat. Kami sempat juga mengambil beberapa keping gambar di dalam masjid yang mempunyai senibina yang mengagumkan itu. Bangga pula rasanya kami kerana dapat menjejakkan kaki & bersolat di dalam masjid yang terbesar di rantau Asia Tenggara. Ditambah lagi, masjid tersebut adalah masjid yang terpenting di Indonesia, negara yang mempunyai populasi orang Islam yang paling ramai di dunia. Bersebelahan dengan masjid itu, terdapat pula sebuah gereja besar. Ini adalah simbol toleransi agama yang diamalkan di Indonesia. Walaupun berlainan agama, masyarakatnya dapat hidup dengan harmoni tanpa perbalahan.


Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia


Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia


Ruang dalaman Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia


Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia


Sebuah gereja berhampiran Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia

Apabila sudah hilang penat, kami bertiga berbincang mengenai destinasi kami yang seterusnya. Memandangkan kami sudah tiada tempat lain yang perlu ditujui, kami mengambil keputusan untuk menghabiskan sisa hari yang ada di sebuah kompleks membeli-belah yang bernama Grand Indonesia. Ia juga turut terletak di dalam Jakarta Tengah. Kami ke sana dengan menaiki teksi. Kompleks membeli-belah ini berkongsi bangunan dengan Hotel Indonesia, salah sebuah hotel yang ternama di kota Jakarta yang merupakan hotel 5 bintang yang pertama di Indonesia. Kompleks beli-belah Grand Indonesia setinggi 8 tingkat yang terbahagi kepada 2 blok utama, iaitu East Mall & West Mall adalah antara pusat membeli-belah yang terbesar di rantau Asia Tenggara.


Grand Indonesia, Jakarta, Indonesia


Ruang dalaman Kompleks Membeli-belah Grand Indonesia, Jakarta, Indonesia

Kami bertiga menghabiskan masa yang agak lama di dalam kompleks membeli-belah tersebut untuk ber’window shopping’. Kami sempat singgah di sebuah kedai buku yang bernama Gramedia. Gramedia adalah antara syarikat kedai buku yang ternama di Indonesia. Selepas membelek-belek buku-buku yang ada di situ, kami singgah pula di ‘Food Court’ untuk makan tengah hari. Lapar pula rasanya. Kami makan sambil berbual-bual & menghilangkan penat.


Bersama Shafiq di Kedai buku Gramedia di dalam Kompleks Membeli-belah Grand Indonesia, Jakarta, Indonesia


Bersama Syahir sewaktu makan tengah hari di dalam Kompleks Membeli-belah Grand Indonesia, Jakarta, Indonesia

Setelah selesai makan, kami bertiga pulang semula ke rumah Zafran dengan menaiki teksi. Disebabkan lalulintas jalan raya sedang sibuk kerana waktu itu adalah waktu orang pulang dari pejabat, maka perjalanan pulang ke rumah Zafran mengambil masa yang agak lama, iaitu hampir sejam lamanya. Mujurlah pemandu teksi seorang yang peramah. Kami berbual-bual tanpa henti dengannya sehinggalah kami tiba di rumah Zafran. Antara isu yang kami bincangkan adalah isu kemiskinan & korupsi di Indonesia yang rupa-rupanya lebih menjadi-jadi selepas reformasi yang berlaku pada tahun 1998 yang menjatuhkan Presiden Suharto. Sebelum ini kami bertiga menyangka bahawa keadaan Indonesia selepas kejatuhan Suharto adalah lebih baik. Rupa-rupanya sangkaan kami meleset sama sekali.

Sedih pula rasanya apabila memikirkan keadaan yang melanda Indonesia. Negara mereka sebenarnya adalah antara negara-negara yang terkaya di dunia kerana ia mempunyai banyak sumber-sumber galian & hutan. Namun, kepincangan yang dilakukan oleh ahli-ahli politik & korporat menyebabkan jurang perbezaan antara yang miskin & kaya semakin hari semakin jauh. Yang kaya bertambah kaya. Yang miskin bertambah miskin. MasyaAllah.

Apabila tiba di rumah Zafran, hari sudah pun senja. Zafran lalu membawa kami bertiga ke masjid berdekatan rumahnya untuk menunaikan solat. Aku, Syahir & Shafiq menunaikan solat jamak qasar Maghrib & Isyak. Selesai sahaja solat, kami berempat kembali semula ke rumah untuk bersiap-siap untuk keluar makan malam. Aku, Syahir & Shafiq berhajat untuk membelanja Zafran makan sebagai membalas jasanya menumpangkan kami bermalam di rumahnya. Zafran membawa kami ke sebuah restoran Nasi Padang dengan menaiki bas. Sedap juga makanan yang kami nikmati di restoran tersebut. Namun, harganya agak mahal. Kami bertiga sebenarnya tidak berani untuk makan di gerai-gerai di tepi jalan walaupun harganya jauh lebih murah. Ini kerana kami kurang yakin dengan kebersihannya. Wabak Hepatitis A, demam kepialu & macam-macam lagi sememangnya adalah perkara yang biasa di sini. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Selepas makan, kami berempat pun pulang semula ke rumah dengan menaiki bas. Setibanya di rumah, kami bergilir-gilir membersihkan diri dengan mandi. Kemudian, kami berempat duduk berbual-bual. Banyak perkara yang kami bualkan. Kebanyakannya menyentuh tentang isu kerjaya sebagai doktor di Malaysia. Sambil berbual-bual, sempat juga aku, Syahir & Shafiq meminjam laptop salah seorang ahli rumah Zafran untuk meng’update’ status Facebook masing-masing. Hahaha. Pada masa yang sama, kami bertiga teringatkan Acab. Entah bagaimanalah perasaannya pada waktu itu. Semoga dia tetap tabah. Apabila sudah mengantuk, kami semua pun baring melelapkan mata.

Bersambung...

Read more...

JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG IV) - JaKaRTa I

>> Monday, March 07, 2011



Lebih kurang pukul 8.20 pagi waktu tempatan Indonesia Barat, kami pun tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta. Setelah selesai urusan imigresen, kami pun terus mendapatkan beg-beg pakaian kami, termasuklah beg pakaian Acab yang merupakan sebuah beg tarik, sama seperti jenis beg pakaian aku & Syahir. Shafiq bersetuju untuk mengusung beg pakaian Acab itu memandangkan beg pakaiannya hanyalah beg galas. Aku & Syahir terlepas daripada tanggungjawab mengusung beg Acab, dengan alasan kami berdua masing-masing menggunakan beg tarik. Heheh. Mengusung beg Acab sudah tentu akan membebankan kami yang sudah sedia dibebani dengan beg tarik sendiri. Hahaha. Kami kemudiannya berjalan menuju ke sebuah kiosk telefon bimbit untuk membeli kad SIM nombor Indonesia untuk memudahkan kami menghubungi satu sama lain selama 8-9 hari kami di bumi Indonesia. Kami membeli kad SIM syarikat Simpati.

Sesudah membeli kad SIM, kami singgah di sebuah restoran kecil di dalam lapangan terbang itu kerana Shafiq kelaparan. Aku & Syahir sudah pun makan di dalam penerbangan tadi kerana kami berdua menempah ‘pre-book meal’. Sewaktu berada di dalam restoran itu, aku telah mendapat sms daripada Abadi menyatakan yang Acab sudah selamat tiba di rumahnya & mereka sudah pun membuat laporan polis. Alhamdulillah. Lega rasanya. Syahir kemudiannya menghubungi Zafran, kawan kepada Acab yang belajar Perubatan di salah sebuah universiti di kota Jakarta. Kami bertiga bakal menumpang bermalam di rumahnya malam ini. Syahir menceritakan apa yang berlaku kepada Acab sewaktu di LCCT. Mujurlah Zafran masih sudi menumpangkan kami bertiga di rumahnya walaupun dia tidak mengenali kami bertiga.

Selepas Shafiq sudah selesai makan, kami bertiga mencari-cari teksi di bahagian luar lapangan terbang itu untuk ke rumah Zafran. Alamat rumah Zafran sudah kami tulis. Kami memilih syarikat teksi ‘Blue Bird’ kerana menurut ramai orang, itu adalah syarikat teksi yang paling boleh dipercayai di Pulau Jawa kerana pemandu-pemandunya diwajibkan menggunakan meter. Mana-mana pemandu yang didapati melanggar peraturan tersebut, akan dibuang kerja tanpa sebarang notis. Kami lalu menunjukkan alamat rumah Zafran kepada pemandu teksi yang bakal membawa kami. Dia kemudian mengangguk-angguk & memasukkan beg-beg kami ke dalam ‘trunk’ teksinya. Selepas itu, kami bertiga pun dibawa menyelusuri kota Jakarta untuk ke rumah Zafran. Hampir 45 minit lamanya kami mengambil masa untuk ke destinasi kami itu. Sempat juga kami bertiga berbual-bual dengan pemandu teksi yang peramah itu. Pebagai perkara dibualkan.


Teksi 'Blue Bird'

Apabila sudah tiba di kawasan rumah Zafran, Syahir pun terus menghubungi Zafran menyatakan bahawa kami sudah pun tiba. Kami kemudian membayar tambang kepada pemandu teksi tersebut & mengucapkan terima kasih kepadanya. Tidak berapa lama kemudian, Zafran pun muncul & membawa kami ke rumahnya. Dia tinggal bersama-sama dengan beberapa orang junior. Rumah sewanya itu tidaklah sebesar mana, namun amat selesa. Terhutang budi pula kami kepadanya kerana sudi menumpangkan kami bertiga walaupun dengan ketiadaan Acab. Selepas hampir sejam kami berempat berbual-bual, aku, Syahir & Shafiq kemudiannya mula bersiap-siap untuk memulakan pengembaraan kami di kota Jakarta.

Jakarta atau nama rasminya Daerah Khusus Ibukota Jakarta adalah ibu negara Indonesia & bandar yang terbesar di negara tersebut. Ia terletak di bahagian barat laut Pulau Jawa, di kuala Sungai Ciliwung yang mengalir ke Laut Jawa. Kota ini mempunyai jumlah penduduk seramai 8.5 juta orang. Ia adalah bandar yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai di rantau Asia Tenggara. Selain pusat pentadbiran, kota ini juga memainkan peranan sebagai pusat ekonomi, kebudayaan & politik Indonesia. Kota ini dibahagikan kepada 5 bahagian, iaitu Jakarta Utara, Jakarta Selatan, Jakarta Barat, Jakarta Timur & Jakarta Tengah. Kebanyakan penduduk yang tinggal di kota ini adalah daripada kaum etnik Jawa, Sunda & Betawi.


Kedudukan Jakarta di dalam peta Pulau Jawa


Pembahagian kota Jakarta kepada 5 bahagian

Sejarah Jakarta bermula apabila ia diasaskan oleh pemerintah kerajaan Tarumanagara yang mengamalkan ajaran agama Hindu yang bernama Purnawarnam pada tahun 397 M. Namanya pada waktu itu ialah Sunda Pura & ia dijadikan ibukota kerajaan tersebut. Seterusnya, apabila kekuasaan kerajaan Tarumanagara semakin lemah, pemerintahan kota Sunda Pura diambil oleh kerajaan Sunda mulai pertengahan kurun ke-7. Nama kota tersebut kemudiannya ditukar kepada Sunda Kelapa. Mulai kurun ke-14, Sunda Kelapa mula menjadi kota pelabuhan perdagangan utama kerajaan Sunda. Orang-orang Portugis mulai tiba di Sunda Kelapa pada tahun 1513 dalam misi mereka untuk memonopoli perdagangan rempah-ratus di Timur. Kerajaan Sunda kemudiannya menandatangani perjanjian dengan orang-orang Portugis, membenarkan mereka membuka sebuah pelabuhan di situ, dengan syarat mereka membantu kerajaan tersebut mempertahankan kerajaan mereka daripada ancaman kerajaan Islam Kesultanan Demak yang semakin berkuasa di Jawa Tengah.

Walau bagaimanapun, kerajaan Kesultanan Demak akhirnya berjaya dalam serangan ke atas kerajaan Sunda pada tahun 1527 & berjaya menawan kota Sunda Kelapa. Nama Sunda Kelapa kemudiannya ditukar kepada Jayakarta. Kerajaan baru kemudiannya diwujudkan di situ, yang dinamakan kerajaan Kesultanan Banten. Putera kerajaan tersebut yang bernama Jayawikarta kemudiannya menjalin hubungan baik dengan orang-orang Belanda yang mula tiba di Jayakarta pada tahun 1596. Seterusnya, tiba pula orang-orang British di kota ini. Persengketaaan yang berlaku antara ketiga-tiga pihak ini kemudiannya mencetuskan peperangan & kemenangan berpihak kepada orang-orang Belanda. Orang-orang Belanda yang berjaya menguasai kota ini kemudian menukarkan namanya kepada Batavia pada tahun 1619. Kota ini kemudiannya jatuh pula ke tangan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Nama kota ini ditukar lagi pada waktu itu. Tentera Jepun menukarkan nama kota ini kepada Jakarta & nama tersebut kekal sehingga ke hari ini.

Selepas Indonesia mendapatkan kemerdekaannya, Jakarta dijadikan ibu negara tersebut. Dan pada tahun 1966, kota Jakarta dinaik taraf kepada Daerah Khusus Ibukota Jakarta yang melayakkannya mendapat status yang sama seperti wilayah-wilayah atau propinsi-propinsi yang lain di negara itu.

Bersambung...

Read more...

JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG III) - PRoLoG III

>> Saturday, March 05, 2011



Hari 1: 21 JUN 2010

Penerbangan Air Asia aku, Acab, Syahir & Shafiq ke Jakarta dijadualkan bertolak pada pukul 7.00 pagi hari ini. Malam sebelumnya, kami telah bermalam di rumah sahabat kami, Abadi yang terletak di Sepang. Kami sengaja bermalam di rumah sahabat kami itu kerana lokasi rumahnya yang berhampiran dengan LCCT. Maka tidak perlulah kami bangun terlalu awal untuk bersiap-siap untuk ke terminal lapangan terbang tersebut. Kami sempat berbarbeku pada malam itu.

Lebih kurang pukul 4.15 pagi, kami mulai bangun untuk membersihkan diri & bersiap-siap untuk ke LCCT. Setelah semuanya sudah siap, kami berempat dibawa oleh Abadi ke LCCT dengan menaiki keretanya. Kami bertolak dari rumahnya lebih kurang pada pukul 5.00 pagi. Perjalanan dari rumahnya ke LCCT memakan masa lebih kurang 30 minit sahaja. Sesampainya di LCCT, kami berempat mengucapkan terima kasih kepada Abadi & terus mendaftar masuk. Setelah itu, kami ke surau untuk menunaikan solat Subuh & kemudiannya, kami terus melalui zon pemeriksaan sekuriti.

Sewaktu di zon pemeriksaan sekuriti, satu mala petaka telah menimpa kami. Beg Acab dengan tidak semena-mena hilang lesap begitu sahaja selepas memasuki mesin X-Ray. Dia mula menyedarinya apabila dia hendak mengambil semula begnya itu selepas dia melalui pintu pemeriksaan badan. Dia berasa yakin bahawa orang lain telah mengambil begnya itu. Aku, Syahir & Shafiq turut menjadi panik. Suasana di zon pemeriksaan sekuriti itu sebenarnya agak kelam kabut sedikit kerana terdapat sekumpulan warga Cina yang memotong barisan-barisan yang ada di situ atas dakwaan yang mereka sudah terlambat untuk menaiki pesawat. Itu adalah punca utama kehilangan beg Acab. Kelalaian pihak sekuriti LCCT untuk memastikan para penumpang beratur mengikut giliran & tidak memotong. Mereka juga lalai untuk memastikan keselamatan barang-barang yang discan oleh mesin X-Ray.

Salah seorang daripada pegawai sekuriti yang bertugas di situ kemudiannya membawa kami berempat ke balai perlepasan dalam usaha untuk mencari beg tersebut. Pada firasat kami, beg itu sama ada telah disalah ambil ataupun telah dicuri. Namun, naluri kami lebih merasakan yang beg itu telah dicuri. Tak mungkin ianya disalah ambil. Sungguh tidak logik. Pegawai itu kemudiannya mendapat panggilan yang menyatakan ‘suspek’ yang mengambil beg itu memakai baju berwarna hijau, merujuk kepada video kamera litar tertutup yang dipasang di kawasan zon pemeriksaan sekuriti. Hampir setiap sudut balai perlepasan telah kami jejaki, namun beg Acab itu masih belum ditemui. Di dalam beg tersebut terdapat kesemua barang-barang berharga miliknya, seperti passport, dompet, kad pengenalan, kad ATM, telefon bimbit & wang melebihi RM1,000 yang telah ditukar ke dalam matawang Rupiah.

Setelah puas mencari beg tersebut & masih belum ditemui, aku, Syahir & Shafiq akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan Acab di situ. Berat hati sebenarnya kami bertiga hendak meninggalkannya seorang diri di situ sehelai sepinggang. Jikalau diikutkan hati & belas kasihan kami, hendak sahaja kami batalkan trip kami ke Pulau Jawa ini. Namun, memandangkan kami sudah pun menempah tiket penerbangan & hotel & ditambah pula Shafiq tidak mudah untuk mendapatkan cuti, kami akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan Acab di situ. Walau bagaimanapun, kami tidak meninggalkannya begitu sahaja. Shafiq telah menghubungi Abadi untuk menceritakan apa yang berlaku & memintanya datang mengambil Acab pulang. Kemudian, Shafiq memberikan sejumlah wang kepada Acab untuk perbelanjaannya pada hari ini memandangkan dia cuma sehelai sepinggang tanpa sesen pun di tangan.

Selepas sudah selesai semuanya, aku, Syahir & Shafiq pun terus berlari-lari untuk masuk ke dalam pesawat. Kami sudah lambat sebenarnya, disebabkan peristiwa yang berlaku. Sebelum itu, kami bersalam-salaman dahulu dengan Acab & memintanya untuk bersabar & menjaga diri. Sudah pasti ada hikmahnya di sebalik mala petaka yang berlaku ini. Kami memintanya menyuruh Abadi menghantar sms kepada kami untuk memberi ‘update’. Kasihan pula kami padanya. Dia yang mula-mula merancang untuk ke Pulau Jawa. Akhirnya, dia yang tidak dapat ikut bersama. Walau bagaimanapun, beg pakaiannya yang telah didaftar masuk ke dalam kargo akan terus dibawa ke Jakarta bersama-sama dengan beg-beg pakaian kami bertiga.

Tidak berapa lama selepas kami bertiga sudah masuk ke dalam pesawat, pesawat pun mula bersedia untuk berlepas. Kami adalah penumpang-penumpang terakhir yang memasuki pesawat itu. Hahaha. Beberapa minit kemudian, iaitu lebih kurang pukul 7.20 pagi, pesawat pun mula berlepas meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Jakarta. Perjalanan ke Jakarta memakan masa lebih kurang 2 jam.

Di dalam pesawat, kami masih lagi dihantui oleh peristiwa yang berlaku di LCCT tadi. Banyak pengajaran yang kami perolehi. Selepas ini, kami perlu lebih berhati-hati apabila memasukkan beg-beg & barang-barang kami ke dalam mesin X-Ray di zon pemeriksaan sekuriti. Kami tidak boleh hanya mengharapkan pegawai-pegawai sekuriti yang bertugas sahaja. Kami perlu memastikan passport & dompet kami berada di tangan sewaktu melalui pintu pemeriksaan badan. Terlampau bahaya untuk meletakkan kedua-dua barang berharga itu di dalam beg kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku kepada beg-beg kita yang melalui mesin X-Ray di sebelah. Mencegah lebih baik daripada mengambil risiko. Selain itu, pihak sekuriti juga perlulah lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan barang-barang penumpang-penumpang & tidak leka dalam melakukan tugas. Kejadian seperti kehilangan beg Acab itu sedikit sebanyak telah memberi imej buruk dalam diri aku terhadap LCCT yang merupakan hab utama syarikat penerbangan Air Asia.

Read more...

JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG II) - PRoLoG II

>> Thursday, March 03, 2011



Menurut kajian sejarah, kepulauan Indonesia ini sudah pun dihuni oleh manusia sejak beratus-ratus ribu tahun dahulu lagi. Majoriti penduduk yang ada di kepulauan ini pada masa kini sebenarnya berasal daripada penghijrahan beramai-ramai nenek moyang mereka dari Pulau Taiwan sekitar tahun 2000 SM. Kesuburan tanah di kepulauan ini hasil daripada lava gunung-gunung berapi menjadikan aktiviti pertanian sebagai sumber ekonomi yang utama. Dan disebabkan kepulauan ini terletak di persimpangan jalan perdagangan laut antara India & China, kegiatan perdagangan semakin menjadi penting di kalangan penduduknya & seterusnya mewujudkan beberapa buah kerajaan yang mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan China & India.

Mulai kurun ke-7, kerajaan Srivijaya yang amat kuat & masyhur mula bertapak di Pulau Sumatera. Disebabkan hubungan perdagangan yang baik dengan kerajaan India & China, ajaran agama Hindu & Buddha yang dianuti oleh penduduk-penduduk di sana juga turut diserap bersama & menjadi pegangan & amalan penduduk-penduduk tempatan Srivijaya. Di Pulau Jawa pula muncul kerajaan Buddha seperti kerajaan Sailendra & kerajaan Hindu seperti kerajaan Mataram sekitar kurun ke-8. Seterusnya, pada akhir kurun ke-13, muncul sebuah kerajaan Hindu di Jawa Timur yang bernama kerajaan Majapahit. Di bawah pemerintahan Raja yang bernama Hayam Wuruk & pimpinan Perdana Menteri yang bernama Patih Gajah Mada pada kurun ke-14, kerajaan Majapahit mencapai zaman kegemilangannya sehingga berjaya meluaskan pengaruhnya hampir ke seluruh kepulauan Indonesia.


Peta Empayar Srivijaya

Kerajaan Majapahit adalah kerajaan Hindu yang paling kuat & paling berpengaruh dalam sejarah Indonesia. Dan ia juga adalah kerajaan Hindu yang terakhir sebelum kedatangan Islam menggantikan agama Hindu & Buddha di kepulauan Indonesia & juga Tanah Melayu. Kerajaan Majapahit menjadi semakin lemah selepas kematian Patih Gajah Mada sehingga ia tidak dapat menandingi kebangkitan Kesultanan Melayu Melaka di Tanah Melayu pada kurun ke-15. Akhirnya, kerajaan Majapahit telah dicerobohi oleh kerajaan Islam Demak pada tahun 1527 & mulai dari saat itu, tamatlah riwayat kerajaan yang pernah mencipta sejarah itu.


Peta Empayar Majapahit

Agama Islam dikatakan sudah mula bertapak di utara Pulau Sumatera sejak kurun ke-13 melalui kegiatan perdagangan. Agama ini begitu cepat tersebar di kepulauan Indonesia. Pada akhir kurun ke-16, hampir seluruh penduduk di Pulau Sumatera & Pulau Jawa berjaya diislamkan. MasyaAllah. Begitu hebat sekali penerimaan masyarakat pada zaman itu terhadap agama Islam.

Orang Eropah pertama yang tiba di kepulauan Indonesia adalah orang-orang Portugis. Mereka tiba di sini pada tahun 1512, bertujuan untuk memonopoli perdagangan rempah. Orang-orang British & Belanda pula kemudiannya menyusul & bergaduh sesama sendiri berebut tanah masing-masing di kepulauan tersebut. Kedua-duanya akhirnya menandatangi perjanjian sempadan antara tanah jajahan masing-masing. Perjanjian sempadan inilah yang menandakan sempadan antara Malaysia & Indonesia pada masa kini. Kawasan Malaysia di bawah pentadbiran orang British, sementara kawasan Indonesia dibawah pentadbiran orang Belanda. Syarikat Kompeni Hindia Timur Belanda ditubuhkan pada tahun 1602. Walau bagaimanapun, syarikat tersebut muflis & seterusnya pada tahun 1800, kerajaan Belanda secara rasminya menjadikan kepulauan Indonesia sebagai tanah jajahannya & diberi nama Hindia Timur Belanda.


Peta pembahagian wilayah British & Belanda

Kepulauan Indonesia kemudiannya ditawan oleh Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua yang berlangsung dari tahun 1942 hingga tahun 1945. Ini secara tidak langsungnya menamatkan penjajahan Belanda ke atas kepulauan tersebut. Dua hari selepas Jepun menyerah kalah, iaitu pada tanggal 17 Ogos 1945, seorang pemimpin nasionalis yang berpengaruh yang bernama Sukarno telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia dari mana-mana kuasa penjajah & beliau dilantik sebagai Presiden Indonesia yang pertama. Walau bagaimanapun, kerajaan Belanda cuba untuk mendapatkan kembali tanah jajahan mereka itu. Maka, berlakulah peperangan antara tentera Belanda dengan tentera Indonesia yang berakhir pada bulan Disember 1949. Di bawah tekanan masyarakat antarabangsa, kerajaan Belanda akhirnya mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada tarikh 27 Disember 1949.

Presiden Sukarno kemudiannya menukarkan corak pemerintahannya daripada demokrasi kepada authoritarian. Satu percubaan perampasan kuasa telah berlaku pada 30 September 1965 & berjaya dipatahkan oleh pihak tentera. Partai Komunis Indonesia dituduh terlibat dalam percubaan perampasan kuasa tersebut & pemberontakan mereka akhirnya telah mengorbankan hampir sejuta nyawa. Partai Komunis Indonesia akhirnya berjaya dilenyapkan. Pemerintahan Sukarno yang semakin lemah akhirnya digulingkan oleh ketua angkatan tentera yang bernama Suharto & beliau kemudiannya dilantik menjadi Presiden Indonesia yang kedua pada bulan Mac 1968. Kepimpinannya mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat & ini dikatakan penyumbang utama kebangkitan ekonomi Indonesia. Walau bagaimanapun, pemerintahannya yang bersifat diktator selama 30 tahun menimbulkan banyak korupsi & tekanan terhadap parti-parti pembangkang.


Sukarno


Suharto

Sekitar tahun 1997 & 1998, ekonomi Indonesia dipukul hebat akibat krisis kewangan yang menimpa negara-negara Asia. Perkara ini telah membangkitkan semangat reformasi oleh rakyat Indonesia yang akhirnya menyebabkan Suharto terpaksa meletak jawatan sebagai Presiden pada 21 Mei 1998 kerana kegagalannya membaikpulih ekonomi Indonesia & korupsi kerajaan pimpinannya. Selepas perletakan jawatan Suharto, pelbagai program baru telah dibuat. Antaranya pemberian kuasa autonomi kepada beberapa wilayah, contohnya seperti Aceh & Yogyakarta. Keadaan politik & ekonomi Indonesia dikatakan lebih stabil selepas itu.

Pulau Jawa adalah salah sebuah pulau yang terdapat di Indonesia. Ia adalah pulau yang terpenting sekali di negara kepulauan tersebut kerana peranannya sebagai pusat tumpuan utama ekonomi & politik negara itu sejak dari zaman kerajaan Hindu-Buddha, zaman kerajaan Islam, zaman penjajahan Belanda sehinggalah ke zaman sekarang. Dengan jumlah penduduk seramai 140 juta orang, Pulau Jawa menampung lebih kurang 60% daripada jumlah keseluruhan penduduk Indonesia. Ia juga adalah pulau yang mempunyai jumlah penduduk yang paling ramai di dunia. Kepadatannya ialah 1026 orang / km persegi & merupakan antara kawasan yang terpadat di muka bumi ini.


Peta Pulau Jawa

Terdapat 3 kumpulan kaum etnik utama yang terdapat di pulau ini, iaitu kaum etnik Jawa (70%), kaum etnik Sunda (20%) & kaum etnik Madura (10%). Kaum etnik Jawa kebanyakannya tertumpu di Jawa Tengah & Jawa Timur. Kaum etnik Sunda kebanyakannya bertumpu di Banten, Jawa Barat, Jakarta & bahagian barat Jawa Tengah. Sementara kaum etnik Madura pula kebanyakannya tertumpu di bahagian timur Jawa Timur & Pulau Madura. Ketiga-tiga kaum etnik tersebut mempunyai bahasa ibunda masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka masih boleh bertutur dalam Bahasa Indonesia. 90% daripada keseluruhan penduduk Pulau Jawa adalah penganut agama Islam. Yang selebihnya adalah penganut agama Kristian, Hindu & Buddha.


Peta demografi penduduk Pulau Jawa

Pulau ini dibahagikan kepada 6 wilayah atau propinsi, iaitu Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Daerah Khusus Ibukota Jakarta & Daerah Istimewa Yogyakarta. Pulau ini terletak di dalam zon Waktu Indonesia Barat. Waktu tempatannya 7 jam lebih cepat berbanding waktu GMT, iaitu sejam lebih lambat berbanding waktu tempatan Malaysia.


Peta pembahagian propinsi

Pulau Jawa mempunyai 38 buah gunung berapi yang kebanyakannya masih lagi aktif. Gunung berapi tertinggi ialah Gunung Semeru yang terletak di Jawa Timur. Ketinggiannya mencecah 3,676 meter. Sementara itu, gunung berapi yang paling aktif di pulau ini & juga di seluruh Indonesia ialah Gunung Merapi yang terletak di Jawa Tengah, berhampiran kota Yogyakarta. Kali terakhir ia meletup adalah pada tahun lepas pada bulan Disember.


Peta kedudukan Gunung Berapi Semeru


Gunung Berapi Semeru


Peta kedudukan Gunung Berapi Merapi


Gunung Berapi Merapi

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP