BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXVII) - MaCeDoNia

>> Saturday, February 20, 2010



Macedonia adalah negara ke-6 yang aku kunjungi dalam ekspedisi aku mengelilingi rantau Balkan. Negara ini disempadani oleh Serbia & Kosovo di bahagian utara, Bulgaria di bahagian timur, Greece di bahagian selatan & Albania di bahagian barat. Nama Macedonia sememangnya amat sinonim dengan nama Alexander the Great yang berkemungkinan kecil sama orangnya dengan Iskandar Zulkarnaen yang disebut namanya oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Di bumi Macedonialah lahirnya manusia yang pernah menguasai hampir suku daripada keluasan dunia itu.


Peta kedudukan Macedonia di dalam Eropah


Peta Macedonia


Bendera Macedonia


Alexander the Great

Macedonia mendapat kemerdekaannya daripada Republik Sosialis Yugoslavia pada tahun 1991. Walau bagaimanapun, penggunaan nama ‘Macedonia’ oleh negara bekas jajahan Yugoslavia ini telah dipertikaikan oleh negara Greece kerana menurut orang-orang Greek, kerajaan Macedonia yang pernah wujud pada zaman dahulu mengamalkan kebudayaan Greek & menggunakan Bahasa Greek dalam kehidupan seharian mereka. Sementara penduduk negara Macedonia bekas jajahan Yugoslavia ini pula bukanlah daripada bangsa Greek & mereka tidak menggunakan Bahasa Greek dalam kehidupan seharian. Oleh itu, mereka dikatakan tidak layak menamakan negara mereka dengan nama 'Macedonia'. Di dalam negara Greece sendiri pun sebenarnya sudah terdapat sebuah wilayah yang dinamakan wilayah Macedonia. Sebagai jalan penyelesaian & mengelakkan kekeliruan, nama rasmi negara Macedonia ini terpaksa ditukar menjadi Former Yugoslav Republic of Macedonia & ianya kekal sebegitu sehingga sekarang. Walau bagaimanapun, kehangatan isu tersebut sebenarnya masih lagi belum reda.


Peta wilayah Macedonia di dalam negara Greece

Penduduk negara ini berjumlah 2,100,000 orang. Majoritinya adalah daripada bangsa Macedonia. Penduduk minoriti pula kebanyakannya daripada bangsa Albania yang menetap di bahagian barat negara ini. Bahasa rasmi negara ini adalah Bahasa Macedonia yang menggunakan sistem tulisan Cyrillic. 65% daripada penduduk Macedonia menganut ajaran Kristian Orthodox. 33% pula adalah penganut agama Islam yang kebanyakannya daripada bangsa Albania, Turki & Bosniak. Macedonia menduduki tangga ke-5 selepas Turki, Kosovo, Albania & Bosnia & Herzegovina dalam senarai negara-negara yang mempunyai peratusan penduduk Islam tertinggi di benua Eropah. Sementara itu, baki 2% daripada penduduknya pula adalah penganut ajaran Kristian daripada mazhab-mazhab lain. Terdapat lebih daripada 1,200 buah gereja & lebih daripada 400 buah masjid di seluruh negara ini.


Peta demografi penduduk Macedonia

Macedonia mengamalkan sistem pemerintahan Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Mata wang yang digunakan di negara ini ialah Denar. 1.00 Euro bersamaan dengan 60.00 Denar. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 12.00 Denar.

Pada zaman dahulu, bumi Macedonia ini berada di bawah kerajaan Paeonia & ia menjadi penempatan orang-orang Thrace & Illyria. Kemudian, pada tahun 336 SM, Raja Macedonia berbangsa Greek yang bernama Philip II of Macedon telah berjaya menawannya. Pemerintahan Philip II of Macedon kemudiannya diwarisi oleh anaknya, iaitu Alexander the Great. Beliau ditabalkan menjadi Raja Macedonia yang baru ketika usianya baru mencecah 20 tahun. Walau bagaimanapun, dalam usia semuda itu, Alexander the Great dengan mudahnya menyatukan seluruh bangsa Greek & kemudiannya memperluaskan wilayah jajahan empayarnya sehingga berjaya membentuk salah sebuah empayar yang terbesar di dunia dalam jangkamasa 13 tahun. Empayarnya menjangkau dari bumi Macedonia sehingga ke barat India.


Peta kerajaan Macedonia sebelum perluasan empayar oleh Alexander the Great


Peta Empayar yang dibentuk oleh Alexander the Great

Beberapa ratus tahun kemudian, selepas kemerosotan tamadun Greek, bumi Macedonia jatuh pula ke tangan Empayar Rom. Selepas kejatuhan Empayar Rom, kerajaan Bulgaria mengambil alih pemerintahannya. Pada waktu itulah orang-orang Slav dari Ukraine mula berhijrah ke sini secara beramai-ramai. Merekalah yang kemudiannya mewujudkan bangsa Macedonia di sini. Mereka memeluk agama Kristian pada kurun ke-9, sewaktu pemerintahan Raja Bulgaria yang bernama Boris I.

Pada tahun 1018, Macedonia berjaya ditawan oleh Empayar Byzantine sewaktu pemerintahan Maharajanya yang bernama Basil II. Walau bagaimanapun, pada awal kurun ke-13, Macedonia berjaya diambil alih semula oleh kerajaan Bulgaria. Namun, selepas kejatuhan kerajaan tersebut pada kurun ke-14, Macedonia dikembalikan kepada Empayar Byzantine buat beberapa ketika sebelum ianya jatuh pula ke tangan Empayar Serbia pada kurun yang sama. Tidak berapa lama selepas itu, Macedonia ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah & kekal berada di bawah pemerintahan empayar tersebut selama hampir 500 tahun. Dalam jangka masa itulah sinar Islam menerangi bumi Macedonia.

Sewaktu kurun ke-19, berlaku beberapa rusuhan menentang penjajahan Empayar Turki Uthmaniyah di Macedonia. Namun, semua rusuhan tersebut berjaya dipatahkan. Walau bagaimanapun, selepas kekalahan Empayar Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, Macedonia berjaya dibebaskan & dijadikan sebahagian daripada kerajaan Yugoslavia yang baru dibentuk. Sewaktu Perang Dunia Kedua, Macedonia telah ditawan oleh Kuasa Paksi & dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama diserahkan kepada kerajaan Bulgaria & bahagian kedua diserahkan kepada Albania yang pada waktu itu berada di bawah kekuasaan Itali.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Macedonia sekali lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan Yugoslavia. Akan tetapi, pada kali ini, kerajaan tersebut mengubah sistem pemerintahannya kepada sistem pemerintahan Republik berhaluan Sosialis. Macedonia kekal berada di bawah republik tersebut sehingga ke tahun 1991 apabila republik itu berpecah. Negara Macedonia yang baru kemudiannya dibentuk dengan menjadikan Skopje sebagai ibu negaranya. Tidak berapa lama selepas itu, terjadi beberapa pertelingkahan antara penduduk bangsa Macedonia yang beragama Kristian Orthodox & penduduk bangsa Albania yang beragama Islam. Ketegangan antara kedua-dua bangsa itu masih lagi dirasai sehingga ke hari ini walaupun tiada pertumpahan darah berlaku.

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXVI) - iNTeRMiSSioN

>> Thursday, February 18, 2010



Hari 12: 22 MEI 2008

Selepas solat Subuh & membersihkan diri, aku pun keluar dari hostel yang aku tumpangi seawal pukul 8.00 pagi. Aku terus menuju ke stesen bas Sofia untuk menanti ketibaan bas ke Skopje, Macedonia. Tidak lama kemudian, bas yang dinantikan pun tiba. Aku lalu terus masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 8.30 pagi, bas itu pun mulai bergerak meninggalkan Sofia menuju ke Skopje. Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 6 jam lamanya. Aku memilih untuk menaiki bas kerana perkhidmatan keretapi dari Sofia ke Skopje agak jarang. Mujurlah harga tiket bas tidak terlampau mahal.

Lebih kurang pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan Macedonia, aku pun tiba di stesen bas Skopje. Sesampainya aku di stesen bas tersebut, aku tercari-cari mesin ATM kerana aku perlu mengeluarkan wang dalam matawang negara Macedonia. Setelah penat mencari, aku akhirnya berjaya menjumpainya. Aku pun terus memasukkan kad ATM aku ke dalam mesin tersebut. Belum sempat aku menaip nombor pin aku, skrin mesin ATM tersebut tiba-tiba terpadam. Aku terus menjadi panik. Aku menekan-nekan butang ‘cancel’ untuk mengeluarkan semula kad ATM aku, tetapi tiada apa yang berlaku. Aku menjadi semakin cemas. Itu sahajalah sumber kewangan yang aku ada. Tanpa kad ATM itu, bagaimana hendak aku keluarkan wang sepanjang aku berada di perantauan ini? Pengembaraan aku di bumi Balkan masih lagi tinggal beberapa hari. Walau bagaimanapun, aku masih mempunyai kad kredit. Aku boleh sahaja mengeluarkan wang dengan menggunakan kad kredit tersebut. Cuma penggunaannya akan dikenakan caj tambahan.

Aku kemudiannya terus berlari ke sebuah bilik pejabat berdekatan di mana terdapat seorang pekerja wanita di dalamnya. Aku cuba memberitahunya tentang masalah yang aku hadapi & aku cuba meminta pertolongannya. Wanita yang sedang dalam keadaan mood yang tidak begitu baik itu kemudiannya menyuruh aku pergi ke bank di pusat bandar untuk membuat laporan. Aku lantas memberitahunya bahawa ini adalah pertama kali aku tiba di Skopje & aku tidak tahu selok-belok bandar ini. Wanita itu kemudiannya dengan nada suara yang tinggi mengulangi arahannya menyuruh aku pergi mencari bank di pusat bandar. Aku dikatakan seolah-olah membuang masanya.

Aku tidak tahu lagi bagaimana untuk memberi respon. Wanita itu benar-benar tidak memahami situasi yang sedang aku alami. Aku agak terkejut dengan apa yang sedang berlaku. Rasa seperti hendak menangis pun ada. Aku benar-benar cemas. Bagaimana aku hendak mengambil semula kad ATM aku yang tersangkut di dalam mesin ATM itu? Aku benar-benar buntu. Aku harapkan apa yang sedang berlaku ini hanya sekadar sebuah mimpi ngeri. Namun, ianya adalah kenyataan pahit yang perlu aku terima. Yang termampu aku lakukan pada waktu itu hanyalah berdoa kepada Allah SWT agar aku diberi petunjuk oleh-Nya.

Secara tiba-tiba, muncul seorang lelaki tempatan berusia 40-an di pejabat itu yang kelihatan seperti bekerja sebagai tukang sapu di stesen bas tersebut. Dia bertanyakan kepada wanita itu apa yang sedang berlaku. Wanita itu pun menceritakan tentang hal yang berlaku dalam bahasa mereka. Lelaki itu kemudiannya menarik tangan aku ke mesin ATM tadi. Dia kemudian menekan butang ‘cancel’ itu selama lebih kurang seminit. Setelah itu, dengan tidak semena-mena, kad ATM aku yang tersangkut itu pun keluar. Ya Allah. Adakah lelaki itu malaikat yang diutuskan oleh-Mu? Aku bersyukur sangat-sangat. Tiada kalimah lain yang mampu aku ucapkan selain Alhamdulillah.

Lelaki itu kemudiannya membawa aku ke sebuah mesin ATM berdekatan & cuba menerangkan kepada aku bahawa mesin ATM tersebut berfungsi dengan baik. Walaupun Bahasa Inggerisnya tidak begitu fasih, aku tetap boleh memahami apa yang cuba dikatakannya. Aku lalu mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepadanya. Syukur kepada Allah SWT kerana telah mengutuskan lelaki itu untuk membantu aku. Mungkin ini adalah ujian kecil daripada-Nya untuk melihat sejauh mana kesabaran aku. Wallahu ‘alam. Apa-apa pun, aku benar-benar bersyukur kerana aku telah mendapat semula kad ATM aku.

Selepas mengeluarkan wang, aku pun terus berjalan mencari lokasi hostel yang aku rujuk di dalam buku panduan aku. Aku menggunakan peta yang terdapat di dalam buku tersebut. Sedang aku berusaha untuk mencari hostel itu, secara tiba-tiba hujan turun dengan begitu lebat sekali. Ini adalah pertama kali aku merasai hujan sepanjang aku berada di rantau Balkan. Aku lantas terus berlari ke sebatang pokok untuk berteduh di bawahnya. Hujan turun semakin lebat. Pokok tempat aku berlindung sudah tidak mampu lagi menahan titisan air hujan daripada membasahi aku. Aku kemudiannya mendapat idea untuk berteduh di bawah kolong sebuah rumah berdekatan dengan pokok itu. Hahaha. Mujurlah tuan rumah tidak perasan akan kehadiran aku. Agak lama juga aku berteduh di situ, sementara menanti hujan reda. Akhirnya, setelah hampir 20 minit menunggu, hujan pun mulai reda. Aku pun kemudiannya meneruskan perjalanan mencari hostel tersebut. Baju, seluar & beg aku basah sedikit akibat terkena air hujan. Tidak selesa rasanya.

Hampir 20 minit lamanya aku tercari-cari hostel yang aku rujuk di dalam buku panduan aku itu. Namun, ianya masih belum dijumpai. Adakah aku tersalah membaca peta? Aku berulang-alik melalui sebatang jalan raya untuk mencari lokasi hostel itu. Hampir semua orang yang lalu-lalang di situ aku tegur untuk bertanyakan tentang lokasi hostel itu. Namun, kesemuanya memberi jawapan yang menghampakan. Aku akhirnya berputus asa. Aku lantas terus menahan sebuah teksi yang lalu di jalan raya tersebut. Kemudian, aku menunjukkan alamat hostel itu kepada pemandunya. Pemandu teksi itu berkata bahawa hostel itu terletak tidak jauh dari situ. Aku yang sedang dalam kepenatan hanya meminta pemandu teksi itu membawa aku ke hostel itu. Aku tidak terdaya lagi untuk berjalan. Dan aku tidak kisah berapa tambang yang akan dikenakannya. Aku cuma hendak tiba di hostel itu sahaja.

Lebih kurang 5 minit kemudian, aku pun tiba di hostel yang dimaksudkan. Rupa-rupanya, memang dekat seperti yang dikatakan oleh pemandu teksi itu tadi. Cuma ianya agak tersorok. Aku lalu mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi tadi & bertanya akan tambang yang dikenakannya. Ianya tidaklah terlampau mahal. Tetapi, malangnya aku tidak mempunyai wang kecil. Akhirnya, aku terpaksa membayarnya dengan wang Euro. Mujurlah dia bersetuju untuk menerimanya. Selepas itu, aku terus masuk ke dalam hostel tersebut. Nasib aku seperti jatuh ditimpa tangga. Satu demi satu masalah datang menimpa diri aku. Kali ini, aku diberitahu oleh pemilik hostel itu yang hostel itu sudah pun penuh. Ya Allah. Hebat sekali ujian-ujian yang diberi oleh-Mu kepada hamba-Mu di bumi Skopje ini. Baru sahaja aku menjejakkan kaki di kota ini, sudah bermacam-macam masalah yang timbul.

Walau bagaimanapun, pemilik hostel itu kemudiannya memberitahu aku bahawa dia mempunyai kenalan yang juga merupakan seorang pemilik hostel. Hostel kepunyaan kenalannya itu besar kemungkinan masih terdapat kekosongan. Dia bertanya sama ada aku bersetuju jikalau dia hendak menghantar aku ke hostel tersebut. Aku dengan serta-merta bersetuju tanpa berfikir panjang. Ya Allah. Aku bersyukur sangat-sangat. Tidak berapa lama selepas itu, datang sebuah teksi untuk membawa aku ke hostel yang dimaksudkan itu. Lebih kurang 10 minit perjalanan, aku pun tiba di hostel tersebut. Pemilik hostel itu datang menjemput aku & membayar tambang teksi itu dengan menggunakan wangnya sendiri. Selepas itu, dia membawa aku masuk ke dalam hostelnya untuk mendaftar masuk. Kemudian, aku dibawa ke bilik aku. Bilik tersebut agak besar & selesa. Lengkap dengan peti televisyen, bilik air & sebagainya.

Aku berehat-rehat dahulu di dalam bilik hostel yang aku tumpangi sebelum keluar untuk menjelajahi kota Skopje. Penat sungguh rasanya selepas melalui banyak sungguh dugaan sejak aku mula-mula menjejakkan kaki di stesen bas tadi sehinggalah aku tiba di hostel ini. Walau apa pun, aku bersyukur kepada Allah SWT kerana telah membantu aku menyelesaikan setiap masalah yang menimpa. Benarlah kata orang. Jikalau niat kita baik, Allah SWT akan membantu memudahkan segalanya buat kita.

Selepas membersihkan diri, solat & sebagainya, aku pun keluar untuk memulakan ekspedisi aku. Aku menaiki teksi ke pusat bandar kerana aku sendiri tidak pasti di mana lokasi hostel yang aku tumpangi ini. Ianya tidak terdapat di dalam buku panduan aku. Setibanya di pusat bandar, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Skopje, Macedonia ini.

Bersambung...

Read more...

MuSiC oF BaLKaN

>> Wednesday, February 17, 2010



I’m currently in love with Balkan music, music of Southeastern European region that includes Albania, Bosnia & Herzegovina, Bulgaria, Croatia, Greece, FYR Macedonia, Montenegro, Serbia, Kosovo, Moldova, Romania, Slovenia & Turkey. It is a type of music which is different from other types of music in the continent of Europe. This is mainly because it was influenced by the mixture of traditional music of Southeastern European ethnic groups & traditional music of Muslim Turks. This type of music started to flourish when the Balkan region was under the rule of Ottoman Empire.


Balkan Region Map

Few of my favourite Balkan songs are:

1) ZELJKO JOKSIMOVIC - LANE MOJE
This song represented Serbia & Montenegro in Eurovision Song Contest 2004 which was held in Istanbul, Turkey & it won the 2nd place. The song is in Serbian language. It was written & sung by Zeljko Joksimovic himself. The melody of this song has a mixture of ethno elements and traditional Serbian music.


ZELJKO JOKSIMOVIC - LANE MOJE



2) HARI MATA HARI - LEJLA
This song represented Bosnia & Herzegovina in Eurovision Song Contest 2006 which was held in Athens, Greece & it won the 3rd place. The song is in Bosnian language and it was sung by Hari Mata Hari, a popular music band from Bosnia & Herzegovina. The lyrics have a touch of Bosnia & Herzegovina and tell about an unhappy love. Its visual identity contained elements of ancient national decoration and the rich ethnic tradition of the people of Bosnia & Herzegovina in a modern styled variant.


HARI MATA HARI - LEJLA



3) NO NAME - ZAUVIJEK MOJA
This song represented Serbia & Montenegro in Eurovision Song Contest 2005 which was held in Kiev, Ukraine & it won the 7th place. This song is in Montenegrin Language & was performed by a popular music band from Montenegro called 'No Name'. This song is quite simple, yet it has a very beautiful melody especially when it comes to the violin playing.


NO NAME - ZAUVIJEK MOJA



4) DINO MERLIN & ZELJKO JOKSIMOVIC - SUPERMEN
This song is in Serbian Language & is sung as a duet by 2 famous Serbian singer, Dino Merlin & Zeljko Joksimovic


DINO MERLIN & ZELJKO JOKSIMOVIC - SUPERMEN



5) JELENA TOMASEVIC - ORO
This song represented Serbia in Eurovision Song Contest 2008 which was held in Belgrade, Serbia & it won the 6th place. It was performed by a popular Serbian singer named Jelena Tomasevic. The song is in Serbian language, but it also has several versions in different languages such as Spanish, Greek, Portuguese, English, Russian, Swedish, Hebrew and Finnish.


JELENA TOMASEVIC - ORO



6) REGINA - BISTRA VODA
This song represented Bosnia & Herzegovina in Eurovision Song Contest 2009 which was held in Moscow, Russia & it won the 9th place. It is in Bosnian Language. It was performed by a renowned rock band from Bosnia & Herzegovina named Regina. There is also an English version of the song, which is not however a translation of the Bosnian lyrics.


REGINA - BISTRA VODA


Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXV) - SoFia II

>> Monday, February 15, 2010



Selepas bergambar dengan Sveta Nedelya Cathedral, aku meneruskan perjalanan aku ke President’s Building yang merupakan kediaman rasmi Presiden Bulgaria. Aku hanya sekadar bergambar di hadapannya sahaja. Berhampiran dengannya, terletak sebuah gereja kecil bernama Church of St George. Gereja ini diperbuat daripada bata-bata merah yang dibina oleh penganut-penganut awal ajaran Kristian sewaktu pemerintahan Empayar Rom di bumi Sofia. Ianya dipercayai sebagai bangunan tertua yang masih wujud di kota ini. Sewaktu pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di Sofia, gereja ini ditukar fungsinya menjadi masjid & segala fresco yang terdapat di dalamnya ditampal. Selepas kemerdekaan Bulgaria, tampalan yang dibuat di atas fresco-fresco tersebut dikikis semula untuk dipamerkan.


President’s Building, Sofia, Bulgaria


Church of St George, Sofia, Bulgaria

Aku kemudiannya mengorak langkah menuju ke Aleksander Nevski Church. Dalam perjalanan ke gereja itu, aku singgah di Ethnographical Museum untuk bergambar di hadapannya. Aku kurang pasti mengenai sejarah bangunan itu. Kemudian, aku berhenti pula di hadapan St Nikolai Russian Church. Gereja kecil ini adalah kepunyaan komuniti penganut ajaran Kristian Russian Orthodox di bumi Sofia. Gereja ini sebenarnya dibina di atas tapak Saray Mosque yang telah dirobohkan pada tahun 1882, sewaktu pendudukan Empayar Russia di Bulgaria. Pembinaan gereja ini dimulakan pada tahun 1907, setahun sebelum kemerdekaan Bulgaria & ia siap sepenuhnya pada tahun 1914. Ia dibina sebagai membalas jasa Empayar Russia yang telah membantu Bulgaria mendapatkan kemerdekaan daripada Empayar Turki Uthmaniyah. Nama gereja ini diambil bersempena dengan nama Tsar Russia yang memerintah sewaktu gereja ini dibina, iaitu Nicholas II. Sewaktu era pemerintahan Komunis di Bulgaria, gereja ini masih tetap dibuka. Walau bagaimanapun, paderi-paderinya sentiasa diawasi. Gereja ini mempunyai 5 buah kubah yang disalut emas. Itulah yang menjadi daya tarikannya.


Ethnographical Museum, Sofia, Bulgaria


St Nikolai Russian Church, Sofia, Bulgaria

Selepas itu, aku singgah pula di Tsar Osvoboditel Statue, sebuah monumen patung berkuda yang terletak di tengah-tengah sebuah dataran di Tsar Osvoboditel Boulevard. Monumen patung ini dibina sebagai memberi penghormatan kepada Tsar Russia yang bernama Alexander II atas jasanya membantu membebaskan Bulgaria daripada jajahan Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1878. Monumen patung ini siap dibina & diletakkan di lokasinya pada tahun 1903. Ianya dirasmikan oleh Raja Bulgaria pada waktu itu, iaitu Ferdinand I.


Tsar Osvoboditel Statue di Tsar Osvoboditel Boulevard, Sofia, Bulgaria


Tsar Osvoboditel Statue di Tsar Osvoboditel Boulevard, Sofia, Bulgaria

Kemudiannya, barulah aku tiba di Aleksander Nevski Church. Gereja ini adalah sebuah gereja Orthodox yang bercirikan senibina Byzantine. Bentuknya seakan-akan Hagia Sophia di Istanbul, cuma saiznya lebih kecil. Gereja ini adalah antara gereja Orthodox yang terbesar di dunia & merupakan mercu tanda utama Sofia yang menjadi tumpuan utama para pelancong. Ianya boleh memuatkan seramai 5,000 orang pada satu masa. Kubahnya yang paling besar disalut dengan emas & mempunyai ketinggian 45 meter dari paras permukaan bumi. Pembinaan gereja ini dimulakan pada tahun 1882 & siap sepenuhnya pada tahun 1912. Ia dibina sebagai memberi penghormatan kepada tentera Empayar Russia yang telah berjuang memerangi tentera Empayar Turki Uthmaniyah yang akhirnya berjaya membebaskan Bulgaria daripada penjajahan Empayar Turki Uthmaniyah.


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria

Seterusnya, aku berjalan menuju ke National Palace of Culture yang terletak berdekatan dengan Yuzhen Park. National Palace of Culture ini atau nama singkatannya, NDK adalah bangunan serbaguna yang terbesar di rantau Balkan. Bangunan ini mempunyai 13 buah dewan. Ianya digunakan untuk perjumpaan rasmi, kongres, konvensyen & pameran. Festival Filem Sofia juga turut diadakan di sini. National Palace of Culture ini dibuka pada tahun 1981. Pada tahun 2005, ia dianugerahkan sebagai pusat kongres terbaik dunia oleh International Organisation of Congress Centres.


National Palace of Culture, Sofia, Bulgaria

Selepas melawat National Palace of Culture, aku singgah di sebuah gerai yang menjual pizza dengan harga yang amat murah. Aku membeli pizza tomato & keju kerana itu sahaja yang halal untuk dimakan. Saiz pizza tersebut amat berbaloi dengan harganya. Selepas makan, aku kembali semula ke hostel untuk solat & berehat-rehat. Apabila malam sudah menjelma, aku menunaikan solat jamak Maghrib & Isyak. Kemudian, aku keluar untuk menikmati suasana malam di Sofia yang sememangnya cantik di bawah sinaran bulan. Aku sempat bergambar di beberapa monumen penting di sini. Selepas puas menikmati keindahan malam di kota ini, aku pun kembali semula ke hostel untuk melelapkan mata.


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria


Aleksander Nevski Church, Sofia, Bulgaria


Banya Bashi Mosque, Sofia, Bulgaria

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP